Saturday, December 18, 2010

Krisis Keyakinan

gambar ni takde kaitan sebenarnya, Aku saja je hihi abaikan

Apabila diuji kerapkali kita melihat ujian itu sebagai satu seksaan dan malapelaka yang kadangkala kesedihan atau kegusaran itu berapa di tahap melampau-lampau. Kita menangis semahu-mahunya, bercerita tidak henti-henti dan menyalahkan diri sendiri dan orang sekeliling yang boleh disalahkan. Terlalu cepat kita melatah. Terlalu dangkal dan singkat sekali pemikiran kita yang pada dasarnya dilapisi ilmu agama. Tanpa kita sedari cerminan ini jugak mungkin bermakna kerendahan iman.

Di luar kotak musibah, boleh sahaja kita menasihati orang lain agar bersabar, supaya banyakkan berserah kepada Allah, bertawakkal dan redha dengan qada’ dan qadar tetapi lihatlah saja berapa ramai antara kita yang akhirnya memakan kata-kata sendiri apabila dihembus angin musibah. Kata-kata nasihat yang bersemangat keluar dari mulut kita sendiri kini pudar dan longlai dipukul ujian dunia. Mungkin ada yang kata
’Tak rasa mana tahu. Kena batang hidung sendiri baru tahu’

”Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan...?” (al-Shaf:2)

Mengapa ini terjadi?

Mengapa ada di antara orang-orang yang lebih dulu ’makan garam’ dan mereka yang dalam ilmu kefahamannya tentang hakikat dan takdir Allah juga tidak terlepas dari berkelakuan demikian walaupun mereka tahu ilmu agama? Mereka sepatutnya lebih arif bukan?

...................

Ini kerana kita tidak bercakap soal ilmu. Kita bercakap berkenaan satu kuasa yang jauh lebih kuat dari ilmu yang tersimpan di otak – akal fikiran. Kita bercakap tentang hati. Organ yang menjadi raja kepada tubuh badan setiap dari kita. Jika baik hatinya maka baiklah keseluruhannya.

Hati lah yang membimbing kita untuk kuat menghadapi kesusahan atau ujian Allah. Kerana di hati tersimpannya keyakinan yang tidak bisa muncul melalui ilmu pengetahuan yang kita perolehi semata-mata. Keyakinan dari hati itu terbit tidak lain tidak bukan bersama iman – iman yang datang daripada ilmu pengetahuan yang disertai amalan. Disebabkan itu, mengetahui tidak semestinya meyakini lantas bisa dizahirkan keyakinan itu dengan perbuatan.

Mengetahui itu berpangkalan di otak manakala meyakini berpangakalan di hati dan bersangkutan dengan perihal iman seseorang. Oleh yang demikian, boleh sahaja kita menyuruh seseorang bersabar menghadapi kematian ibu atau ayah tersayang atau difitnah rakan sekerja, dan pasti orang yang ditimpa musibah itu juga tahu dia harus bersabar, tetapi setakat mana kemampuannya untuk bersabar itu bukan di dalam kawalan pengetahuan tentang kesabaran itu. Kemampuan itu ditentukan oleh kekuatan hati dan keyakinan terhadap takdir, qada’ dan qadar’ dan janji-janji Allah sendiri.

Tidak yakinkah kita perjuangan kita dalam bersabar dan terus mentaati perintah Allah ini yang sememangnya tampak berat ini akan di balas dengan balasan lebih baik?

Jika tidak upaya bersabar, redha, tidak ada salah siapa-siapa, salah kita yang tidak yakin. Tidak yakin dengan janji Allah dan lemahnya kita dalam mengenal sifat-sifat Allah. Kita mungkin fasih melaungkan asma-ul-husna tetapi mungkin juga gagal dalam meyakini kebenaran nama-nama Agung yang basah di lidah kita. Bila difikirkan aku sendiri rasa malu dan terlalu daif dan super duper kerdil hendak mencongak iman yang ntah hanya berada di tahap mana kalau hendak dihitung berdasarkan hal ini semata. Disebabkan itulah, kadangkala, mungkin selalu juga kita gagal tenang apabila berhadapan dengan konflik dalam kehidupan seharian.

Sahabat-sahabat yang dikasihi, aku menulis bukan untuk memandai-mandai meneliti kesalahan orang lain tetapi menasihat diri sendiri dan sebagai nota fikir bersama yang aku harap dengan izin Allah dapat menjadi titik bermulanya usaha untuk sama-sama meneliti dan memperbaiki diri dalam mensyukuri nikmat Islam yang kita dapat percuma ini.

Benarkah cinta kita pada Allah jika sifat-sifat Allah pun kita gagal percaya dan yakin?

Di dalam Islam sistem keyakinan itu hakikatnya berada pada tahap foundation atau background dalam beragama. Rukun iman sendiri berkisar tentang kepercayaan yakni keyakinan kita kepada 6 perkara pokok. Dan enam perkara pokok ini sememangnya adalah perkara-perkara ghaib yang tidak bisa kita lihat dengan mata kasar kecuali kitab Al-Quran. Mengapa perkara ghaib? Kerana Allah hendak menguji keyakinan kita. Yakni Haqqul yakin, keyakinan sepenuh hati tanpa melibatkan bukti atau akal. Keyakinan yang diharapkan ini juga membawa maksud keberserahan secara total kepada Allah tanpa bersebab atau bukti. Ringkasnya, Allah mahu kita percaya dan yakin hanya kerana Allah mengatakannya sebegitu.

Teladan Sahabat

Dalam meneladani Haqqul Yakin, satu ketika, di waktu berlakunya peristiwa Israk Mikraj, betapa ramainya yang tidak yakin dengan kenyataan Nabi SAW bahawa beliau telah dijalankan oleh Allah di waktu malam ke Baitulamaqdis Masjid Al-Aqsa daripada Masjidil Haram pada malam yang sama diangkat hingga ke Sidratul Muntaha. Menurut tafsiran Sya’rawi, ramai yang tidak percaya sehingga ada yang murtad sementara golongan kafir Mekah lebih ke arah memaksa Nabi SAW mengaku yang perjalanan itu cumanya perjalanan roh yakni mimpi dan bukan jasad kerana ianya lebih logik dan boleh diterima akal.

Namun di kala itu, Abu Bakar sahabat Nabi SAW menerima berita itu dengan penerimaan seorang mukmin yang membenarkan peristiwa itu.

”Jika Muhammad berkata demikian maka dia benarKemudian dia berkata lagi,
”Bahkan kita mempercayainya jika dia mengatakan yang lebih jauh dari itu, kita telah mempercayainya dalam hal berita langit (wahyu), lalu bagaimana kita tidak mempercayainya dalam hal ini?”

Sayu memikirkan betapa tingginya iman Abu Bakar yang diterjemahkan melalui keyakinannya secara total kepada Rasulullah tanpa memerlukan bukti atau dalil. Begitukah kita? Hikmah kejadian israk’ Mikraj ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai ujian keimanan dan permbersihan keyakinan manusia sehingga tidak menetap orang-orang disekeliling Rasulullah melainkan mereka yang memiliki keimanan dan keyakinan yang kuat yang tidak dapat digoyahkan.

Ashabul Kahfi

Kisah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi sekali lagi mengajar kita tentang keimanan. Perjuangan mereka melarikan diri ke sebuah gua (yang sepatutnya; zahirnya sempit) bagi menyelamatkan akidah dan keimanan adalah berdasarkan prinsip keyakinan juga.

Cuba kita bayangkan, mereka semua pergi perlindung ke dalam gua dan meninggalkan semua harta, keluarga dan segala-galanya yang mereka miliki. Modal yang ada dibawa cuma agama yakni keimanan, ke tempat yang sempit yang tiada apa pun di dalamnya yang boleh menjamin kehidupan mereka. Namun sedikit tidak terdetik di hati mereka untuk gusar dan risau ketika itu kerana mereka yakin mereka mempunyai Tuhan yang akan menguruskan semua urusan mereka dan mereka cuma berdoa sepenuh hati.

Kemudian Allah menjawab doa mereka. Allah menghadiahi keimanan mereka dan mencukupi keperluan mereka dengan sesuatu yang diluar logik akal.

”Maka Kami tutup telinga mereka beberapa tahun dalam gua itu” (Al-Kahfi: 11)

Mengapa ditutup telinga? Kerana Allah mahu membenarkan mereka tidur yang tidak akan diganggu dengan apa sekali pun kerana telinga merupakan organ yang masih berfungsi di kala kita masih tidur. Dengan tertutupnya telinga, Allah menidurkan mereka selama kurang lebih 309tahun sekaligus mencukupkan keperluan mereka untuk hidup sedangkan mereka tidak sedar langsung akan hal itu.

Mengapa mereka dibantu? Kerana yakin. Kerana keteguhan hati dalam beriman kepada janji Allah dan beramal untuknya.

”Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata, ’Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian, telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran” (al-Kahfi; 14)

Halangan

Lalu apa yang menghalang kita daripada meyakini janji Allah? Tidak cukupkah pengajaran dari dalam Al Quran mengenai janji-janji Allah yang tepati dengan kurnian terbaik di luar imaginasi kita? Aku mengira ini tidak lain tidak bukan kerana kerendahan iman kita sendiri.

Kita terbiasa melihat ’alat atau medium’ yang digunakan untuk menguji kita sebagai penyebab utama dan bukanlah Allah. Dalam ayat yang lebih ringkas kita mahu ’someone to put the blame on’. Lemah benar iman kita. Sedar tidak sedar kita sudah terlalu terbiasa menjadikan manusia, kejadian atau material sebagai sebab musabab terjadi sesuatu. Kita gagal dalam meyakini semuanya datang dari Allah dan ini semua hanyalah ujian. Hati ini terlalu keras untuk memahami yang semua ini berlaku hanya berlaku kerana Allah mahu ianya berlaku. Kerana jika Allah mentakdirkan sesuatu ke atasmu, nescaya seluruh cakerawala akan bekerjasama menjalankan ’kun’ Allah itu, tetapi seandainya tidak ditakdirkan berlaku, bekerjasamalah keseluruhan jin dan manusia pun, tidak akan bisa membuatkannya terjadi.

Jenuh juga mengingatkan diri berkali-kali di kala terjadinya apa-apa masalah yang sebenarnya kita semua sedang diuji Allah sebenarnya.

Buat sahabat dan diri sendiri, takdir Allah itu sudah tertulis. Apabila dikunjung kesempitan, masalah, konflik, ujian, kesedihan, musibah yang menggoncang keyakinanmu, kembalilah kepada Allah. Tidak usah berterus-terusan melawan takdir dan menyalahkan dunia sekeliling. Kita diuji kerana Allah masih sayangkan kita dan masih mahu menunjukkan jalan yang lurus kepada kita agar tidak dibiar hanyut,leka dan alpa dalam keseronokan, kegembiraan sementara yang belum tentu baik buruknya.

Yakinlah apa sahaja yang hilang; sahabat, kepercayaan, harga diri, saudara, kegembiraan, kebiasaan, kemewahan, maruah, keyakinan diri, atau anak, yang gantian Allah atau balasan atas kesabaran dari kehilangan itu adalah lebih baik. Yang pasti yakinlah kita, seyakin-yakinnya barulah Allah akan memberi yang terbaik kepada kita. Bukankah Allah itu mengikut sangkaan kita terhadapNya?

Penutup

Di dalam kisah Nabi Musa, Allah memberi jaminan kepada bonda Nabi Musa apabila dia perlu menghanyutkan Musa ke sungai. Dalam jaminan Allah, Allah telah menyebut Dia menguatkan hati bonda Nabi Musa supaya iman menjadi kuat dan mampu bersabar serta percaya kepada janji Allah. Kerana secara logiknya ibu mana yang sanggup menghanyutkan anak sendiri di dalam sungai daripada menjaganya sendiri, walaupun keadaan memaksa. Sesungguhnya Allah lah yang memberi ilham dan keyakinan itu.

”Dan hati ibu Musa menjadi kosong, Sungguh hampir saja dia menyatakan (rahsia tentang Musa) seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, agar dia termasuk orang-orang yang beriman (kepada janji Allah) (28:10)

Syaratnya kita harus berada dalam kategori orang beriman yakni yakin dahulu. Di dalam surah al-Fath Allah menyebut sekiranya Dia mengetahui keimanan ada dalam hati salah seorang hambanya, pasti Dia akan menurunkan ketenangan ke dalam hati orang itu pada saat terjadinya musibah.

”Sesungguhnya Allah reda kepada orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)” (48:18)

Renungan

Ketika Nabi Ibrahim mahu meninggalka Siti Hajar di tanah gersang dan kontang yang mana tidak ada hidupan pun di situ, Siti Hajar betanya,Disinikah kami ditinggalkan? Apakah kamu meninggalkan kami di sini atas pilihanmu atau atas pilihan Tuhan?”

Ibrahim menjawab:
”Ini adalah perintah Allah”

Hajar membalas dengan yakin:
”Kalau begitu kami tidak akan ditelantarkanNya”

SELAMAT MENYEMAI KEYAKINAN YANG TIDAK BERBELAH BAHAGI KEPADA ALLAH


Allah is near, dekat dari urat nadimu.

Rujukan:
Lautan Maha Kasih dalam Kisah – saduran tafsir Sya’rawi (2008) – Pustaka Jiwa
Khadijah: Cinta Abadi Kekasih Nabi (2009) -PTS

Tuesday, December 7, 2010

Nota Tahun Baru

Unta sedang bersiar-siar bersama sanak saudara ditemani gembala

Setahun lagi berlalu meninggalkan kita. Tatkala menjelang malam Awal Muharram atau Maal Hijrah, pesanan ringkas masuk bertalu-talu daripada sahabat, rakan sekerja, teman lama hatta sehingga pesanan ringkas dari nombor-nombor yang tidak dikenali pun turut mengambil peluang mendoakan keselamatan dan rahmat untuk tahun baru dalam kalender Islam yang bakal menjelang. Amin itu saja yang boleh dikatakan.

As my eyes tip toed through the messages sent, I tried to digest the meaning beneath the word Hijrah. Samakah sambutan Awal Muharram dengan menyambut tahun baru kalendar Gregory? Dari segi penerimaan masyarakat setempat, lebih kurang sahaja, cumanya doa akhir tahun dan doa awal tahun akan di baca ketika selepas solat Asar dan Maghrib bagi memohon ampun, rahmat dan keberkatan daripada Allah swt bagi tahun yang mendatang manakala bagi tahun Baru, lebih banyak di sambut dengan letupan bunga api dan mercun.

Sesekali ada juga ceramah Maal Hijrah yang menceritakan semula kisah Hijrah Nabi Muhammad saw ke Kota Madinah bersama Kaum Muhajirin. Penceramah akan menyampaikan ceramah dengan bersungguh-sungguh manakala pendengar pula akan mengangguk-angguk kepala tanda faham dan setuju. Sesekali penonton akan tersenyum mendengar penceramah membandingkan zaman Nabi saw dan zaman sekarang. Namun keesokannya, kesemuanya kembali seperti biasa, semangat ceramah semalam untuk menjadi manusia baru yang ber’hijrah’ hilang entah ke mana dan hari berlalu dan terus berlalu sehingga sampai ke sambutan Maal Hijrah tahun hadapan pula. Di situ rutin ini berulang lagi.

Hanya setakat mengulang-ulang fakta sejarah terjadinya hijrah di zaman Nabi Muhammad saw dan termeterainya Perjanjian Aqabah sahaja kah erti Hijrah ini? Sekadar menonton sambutan Maal Hijrah peringkat kebangsaan di kaca televisyen sahaja kah erti Hijrah ini?

Sahabat yang dikasihi, tidak sekali-kali tidak. Roh sebenar hijrah itu terletak pada penghayatan butir-butir perjanjian al-Aqabah kedua dan kesan penghijrahan terhadap Islam dan diri sendiri.

Hari ini masuklah tahun kelima aku ber’hijrah’. Dan kekuatan hijrah itu tidak datang dari siapa-siapa kecuali Allah swt. Hadiah hidayah yang Allah berikan di tengah jalan raya di tanah asing jauh dari tanah air sendiri tidak mungkin aku dilupakan. Siapa sangka di antara semua tempat di dalam dunia ini, disitu Allah memilih untuk mentarbiah, mengingatkan, mengetuk hati dan melimpahkan kasih sayangNya yang mengalir deras yang tak henti aku syukuri kepada aku dan rakan-rakan seperjuangan.

Dan ’hijrah’ itu bukan mudah, ’hijrah’ itu juga bukannya datang ibarat ombak besar yang bisa menghanyutkan kota kejahilan dan kemaksiatan sekali lalu sahaja. Angin ’Hijrah’ itu harus dikekang agar tidak hilang, dididik, dilentur, dipelihara agar bisa membibitkan perubahan-perubahan kecil yang istiqamah. Yang penting istiqamah dan serahkanlah kepada Allah untuk memberi kekuatanNya kepadamu. Ingatlah perjuang menuju Allah itu, pasti disambut dengan bantuan Allah kerana Allah telah berjanji

“Whosoever shows enmity to s
omeone devoted to Me, I shall be at war with him.” (Bukhari)

Setelah 5 tahun memilih jalan yang baru, aku masih terumbang-ambing dan hatiku masih hitam berdaki dengan kecintaan pada dunia dan isinya. Dalam pencarian yang masih jauh dan perjalanan yang masih panjang kerana lewatnya memulakan ’perjalanan’, hari-hari aku bersyukur kerana masih dipinjamkan nyawa untuk terus mencari cinta Allah yang hakiki. Bagi sahabat-sahabat yang telah lama memulakan ’perjalanan’ ini bersyukurlah dan berterima kasihlah kepada Allah kerana menjadi insan terpilih yang tidak tersesat di awal perjalanan.

Namun aku kira yang paling penting, apabila Allah menghantar hidayah mengetuk jendelamu, bukalah jendela itu, biarkan ia masuk, kerana mungkin hanya sekali itu saja ’hadiah’ itu dihantar kepadamu.

Salam Maal Hijrah dan Selamat Terus Bermujahadah. Semoga Allah meminjamkan setahun lagi untuk kita manfaatkan sebaik-baiknya. Amin.

“Know that with patience comes victory, after suffering comes relief, and with difficulty comes ease.” (Tirmidhi)

Tahun Baru

Setahun berlalu Allah masih berikan nikmat nyawa untuk meluruskan yang dulu bengkok, yang kusut menjadi licin, yang hilang agar ditemui, yang kosong agar diisi, yang hitam untuk dibilas putih, yang jahil agar tidak lagi, yang hina untuk menjadi mulia. Syukur ya Allah, nikmat tuhanmu yang manakah yang kamu dustakan?
Salam Maal Hijrah

Wednesday, December 1, 2010

Nikmat Iman


"Sungguh, Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada ketakutan, dan kelaparan, dan kekurangan harta, dan jiwa, dan buah-buahan; dan berilah berita gembira kepada orang-orang yang sabar," (2:155)


Jika di baca dan diteliti kisah-kisah yang tertulis di zaman Rasul-rasul, ternyata cara menyerapnya masuk iman ke dalam hati berbeza-beza jalannya.

Anugerah Iman

Ada antara sahabat yang sememangnya terjaga akhlaknya sedari kecil seperti Ali bin Abi Talib kerana begitu akrab dengan Rasulullah, justeru beriman dari awal. Ada juga sahabat seperti Umar Al Khattab yang pada awalnya bermati-matian menentang Rasulullah tetapi setelah mendengar bacaan ayat Al-Quran lantunan adindanya, telah meresapnya iman di dalam hati, menjadi terlalu mencintai Rasulullah.

Jika kisah awal juga hendak dihitung, Iblis laknatullah juga lebih tinggi keimanannya kepada Allah sebelum terciptanya Nabi Adam a.s. Sujud dan rukuk beribu-ribu tahun sehingga disayangi Allah dan dilantik sebagai ketua malaikat, iblis diberi nama Azazil. Cuma satu sahaja kekurangannya, tatkala telah banyak beribadat, Azazil kecundang dalam menerima takdir Allah menyuruhnya memuliakan Adam. Kerana kejadian inilah Azazil tidak lagi digelar Azazil, sebaliknya iblis dan dilempar keluar dari syurga.

Kisah awal keimanan yang cemerlang juga boleh dilihat di dalam kisah Bal’am bin Baura’. Di zaman Nabi Musa itu hidup seseorang yang bernama Bal’am bin Baura’.Kerana kealiman dan ketaatannya, Allah telah memberi keistimewaan kepada Bal’am iaitu, apabila dia melihat ke langit, maka ia dapat melihat ‘Arasy Allah. Namun, tatkala disayangi Allah dan berada di kemuncak, Bal’am lupa diri dan menidakkan kekuasaan Allah dan akhirnya Allah telah mencabut makrifatnya, dan menjatuhkannya ke dalam kesesatan sehingga selama-lamanya.

Laluan iman juga tidak mengenal keturunan. Nabi Nuh sendiri tidak dapat mentauhidkan anaknya agar beriman kepada Allah sedangkan dia seorang Rasul. Akhirnya anaknya tenggelam di dalam banjir besar kerana tidak mahu menaiki bahtera ayahnya dan rela bersembunyi di atas bukit seperti orang fasiq yang lain.

Hadiah Allah

Pokok pangkalnya, iman itu adalah anugerah Allah. Dan hanya Allah sahaja yang mengetahui siapakah antara kita yang lebih layak diberi petunjuk dan dengan cara apa atau bila waktunya iman akan terserap di dalam dada.

Tidak dipilih Allah bermakna, tidak ada jalan keluar, tidak kira siapa kita. Bersyukurlah kerana walaupun pengorbanan kita untuk agama tidak sebesar mana, mungkin lebih kecil dari hama, kita tetap terpilih untuk beriman Insya Allah sedangkan Abu Talib yang berkorban jiwa dan raga sehingga ke akhir hayat mempertahankan Rasulullah tidak juga dipilih Allah untuk beriman.


Hari ini

Hari ini, betapa takjubnya manusia dengan salahsilah keturunan dan imej beriman yang diwarisi keluarga sehingga kadangkala mengguris hati orang lain yang ber’kasta’ biasa-biasa saja. Tidak sedarkah kita yang jika benar selama ini keluarga kita dipilih untuk terus dilimpahi keimanan yang tinggi bahawa ini semua adalah nikmat berharga yang Allah berikan dan kita hanya bernasib baik terpilih dan nikmat ini boleh ditarik bila-bila masa sahaja? Tidak sedarkah kita di luar sana berapa ramai orang-orang beriman yang diuji imannya oleh Allah dan diberikan anak-anak yang derhaka, fasiq dan lupa daratan tetapi masih bersyukur kepada Allah. Betapa sedikitnya kesyukuran kita kepada Allah dan betapa bongkaknya kita memandang manusia lain yang diuji Allah dengan jalan permulaan yang gelap.

Kadangkala kita sibuk, mencongak susur galur keluarga orang lain meneliti setinggi mana iman keluarga itu. Tidak pernahkah kita dengar, iman tidak boleh diwarisi? Kita berasa tidak layak untuk bersuami, beristeri,atau bermenantukan orang yang tidak ditakdirkan Allah untuk menikmati pendedahan agama yang mantap sejak kecil. Kita pantas melabel, memberi kasta, atau meneka-neka orang sebagaimana yang layak buat orang seperti ini, memandang kejahilan yang dan kekurangan ilmu agama, dan kerendahan iman di masa lalu sebagai cermin memandang masa hadapan.

Sedarlah iman ini anugerah Allah yang sangat bernilai. Nescaya jika boleh memilih, manusia mana yang mahu beriman dan bertaqwa dilewat usianya? Tapi qada’ dan qadar Allah itu ada sebabnya yang tidak diketahui manusia.

Kehormatan itu bukan diukur dengan jenis apa yang dilahirkan. Kemuliaan di sini adalah milik Allah, rasul dan orang-orang mukmin yang diberikan husnul qotimah. Kita menjadi mulia kerana keimanan yang dianugerahkan Allah dan bukan kerana keturunan kerana itu bukan jaminan untuk kita turut beriman sehingga ke akhir hayat. Berapa ramai juga manusia yang pada awalnya beriman tetapi akhirnya kecundang dan menemui su-ul qotimah. Tegarkah kita berbangga menjadi Bal’am dan seperti Azazil yang masyur pada awalnya tetapi tewas dihujungnya. Hidup ini bukan berkenaan bila ia bermula tetapi bagaimana ia berakhir.

Ibrah Kisah Nuh a.s

Tatkala anaknya yang kafir dipanggil oleh Nabi Nuh ”Hai anakku naiklah ke kapal bersama kami dan janganlah berada bersama orang-orang kafir” Anaknya menjawab ”Aku akan mencari perlindungan ke gunung yang dapat memeliharaku dari air bah!”
Nuh berkata,
Tidak ada yang melindungi hari ini dari azab Allah selain Allah (sahaja) Yang Maha Penyayang” (Hud;42-43).

Nuh mengenang anaknya, dia sangat khuatir akan keselamatannya dan berkata,
”Ya Tuhanku, sesungguhnya anakku, termasuk keluargaku, dan sesungguhnya janji Engkau itulah yang benar” (Hud; 45)

Tapi Allah menjawab,
”Dia bukanlah termasuk keluargamu (yang dijanjikan akan diselamatkan), sesungguhnya (perbuatannya) adalah perbuatan yang tidak baik” (Hud;46)

Ibrahnya, anak disini bukanlah keluarga Nuh kerana status anak disini bersifat amal bukannya darah atau nasab keturunan. Benarlah bahawa manusia itu mencintai kehormatan dan mencarinya untuk diri sendiri, tetapi hendaklah ia melihat kehormatan hakiki dan apa sebab-sebabnya.

Ambillah kehormatan bersama Allah, rasul dan lingkungan iman maka seluruh anak-anak akan menjadi anakmu kerana mereka bersamamu dalam keyakinanmu terhadap Allah dan keimananmu kepadaNya.

Tetapi jika kita mencari kehormatan dengan jalan kita sendiri dengan menganggap nasab keturunan kita adalah sebab musabab kehormatan kita, siapa yang akan menjamin bahawa kita akan menemui penghormatan di dalamnya di masa hadapan?

Siapa juga akan menjamin buruk sangka kita terhadap kelewatan Allah mengurniakan keimanan di hati orang lain, padahal Allah lebih mengetahui yang terbaik?

"Dan ketahuilah bahawa harta kamu dan anak-anak kamu adalah cubaan," (8:28).

Ketahuilah yang tidak ada suatu pun yang berlaku tanpa Allah mengetahuinya dan berbaik sangkalah terhadap Allah dan makhluknya. Biarlah gelap jalan awalnya asalkan terang laksana purnama di akhirnya daripada semulia Azazil awalnya akhirnya terlempar ke neraka. Allah sedang menguji hatimu dan hatiku tapi antara kita ada yang akan tewas diuji, Semoga Allah menjauhkan kita dari menjadi golongan yang tewas itu dan menggolongkan kita dikalangan hambaNya yang bersyukur. Amin.

Marilah kembali kepada Allah.Buanglah jauh-jauh jubah kesombongan itu kerana ia tidak bisa membawa kita ke syurga. Bersyukurlah kepada Allah dengan segala nikmatnya, apabila kita merasa telah baik, percayalah ada yang lebih baik dari kita tetapi jika kita berasa lelah dengan ujian Allah,percayalah ada yang lebih lelah dan teruk diuji. Selamat bermujahadah! :)