Sunday, April 3, 2011

Cerita Khalifah

Hobi saya ialah membaca. Antara bacaan kegemaran saya ialah sirah dan kisah-kisah Khulafah Ar-Rasyidin. Bagi saya sirah adalah bacaan istimewa dan berjaya menyihir kegilaan membaca di hati saya. Biarpun diulang-ulang baca, tidak pula pernah merasa bosan.

Di sekolah, pelajar-pelajar pun suka mendengar sirah kalau menegur mereka. Rasa fresh kot! Yer lah, kat TV mana ada. Dalam TV banyak hantu berterbangan dan bersembunyi di pokok-pokok saja (dan hilang bila kita toleh untuk cek kenapa rasa meremang bulu roma). Jadi tak dapek lah, cerita hantu dah tak dilayan pelajar-pelajar.

Sirah

Kisah-kisah Nabi dan para sahabat tidak pernah gagal untuk menyuntik inspirasi, semangat, kekuatan jiwa, dan memberi pencerahan bermakna di kala perasaan lemah menyelubungi.

Kisah-kisah ini jugalah yang saya jadikan perbandingan dalam kehidupan seharian yang sangat jauh dari realiti dan hakikat sebenar fitrah kita. Tetapi tidak pula niat saya untuk mengatakan yang saya berjaya meneladaninya. Kerana sebetulnya jika dapat menjejak sedikit sahaja pun amat saya syukuri.

Manusia Berubah

Berlalunya waktu dan zaman menyingkap perubahan hidup manusia. Ibarat pembentukan batu-batu stalaktit dan stalakmit di dalam gua. Ianya mengambil masa yang sangat lama, kadangkala beratus-ratus tahun. Perubahan yang berlaku sangat halus dan amat perlahan sehingga seakan-akan tak terjadi di mata kasar. Namun sedar-sedar, batu itu sudah tersergam menghiasi atap dan perut gua.

Begitu juga dengan perubahan perilaku manusia dari zaman Nabi sehingga kini. Ulama’ –ulama’ zaman dahulu dan kini pun terlalu jauh berbeza. Sememangnya kita tidak layak membandingkan iman kita yang senipis kulit bawang dengan para sahabat, tabii dan tabiin, namun hanya melalui perbandingan dan kesedaran inilah realiti dapat kita tonton dibawah mikroskop hati yang semakin lama semakin kelam di tutup kejahiliahan moden.

Umar Garang

Dahulu, Umar ditakuti kerana ketegasannya sehinggakan apabila Umar melintasi kota kanak-kanak akan berlarian sambil berkata ‘Umar datang mari kita lari’. Kejadian ini menggambarkan betapa Umar amat digeruni kerana perwatakan dan keras hatinya sebagaimana diketahui umum.

Namun ketegasannya bertempat dan bukanlah tak tahu pucuk pangkal. Ketegasan dan garangnya Umar juga tidak pula menjadi bencana, factor kelemahan dan bahaya kepada agama. Kerana apa? Kerana dalam kehidupan para sahabat, sebagaimanapun sifat azali mereka, semuanya dilapisi dan didasari dengan kekuatan iman di jiwa. Justeru, tidak timbul kegusaran di hati penduduk yang dipimpin kerana jiwa khalifah mereka adalah jiwa seorang hamba, hamba Allah yang Esa.

Abu Bakar

Kelembutan jiwa dan sifat Abu Bakar juga tidak pula menjadi sebab beliau untuk lemah dalam mentadbir negara di awal-awal kewafatan Nabi Muhammad saw, di mana semua masalah negara seperti kemunculan nabi-nabi palsu, kawasan jajahan dan keengganan membayar zakat di kalangan penduduk, mula membuka tabir kekhalifahannya.

Khalifah Berjiwa Kental

Banyaknya orang-orang yang murtad dan nabi-nabi palsu membuat para sahabat sangat ketakutan, dan kondisi kemurtadan di sekitar Madinah menjadi lebih memprihatinkan. Justeru sebahagian sahabat mengusulkan orang-orang yang murtad dan nabi-nabi palsu sahaja diperangi, sedangkan orang-orang yang tidak membayar zakat tidak perlu diperangi.

Umar r.a mengatakan bahawa;

“Selama orang mengucapkan ‘La ilaha illallah’ selama itu pula mereka jangan diperangi. Dan setelah mengucapkan kalimah tauhid, diri dan harta mereka terjaga, tidak perlu engkau mengangkat senjata untuk memerangi orang yang mengingkari berzakat. Padahal mereka telah diberi keamanan.”

Setelah Ali r.a juga berkongsi kesepakatan dengan pemikiran Umar r.a, Abu Bakar yang ketika itu menjadi Khalifah berseorangan dalam pendiriannya. Lantas beliau berkata:

“Demi Allah, jika sahaja orang-orang mengurangi pembayarannya walaupun sebesar tali yang biasa digunakan untuk mengikat binatang, sebanyak mana yang biasa dibayar kepada Rasulullah saw, aku akan memerangi mereka.”

Abu Bakar memaksudkan bahawa, orang yang tidak mahu membayar zakat, bererti mereka ingin menghancurkan satu tiang agama sehingga Islam akan roboh.

Abu Bakar berkata lagi:

“Demi Allah, akan aku perangi orang-orang yang membezakan solat dan zakat”

Setelah itu Abu Bakar pantas meninggalkan Umar r.a dan Ali r.a dan pulang ke rumah. Pada hari itu juga, Abu Bakar r.a bertekad mahu berperang sendirian menjulang prinsip yang dirasakan benar dan diambil daripada Rasulullah tanpa ada perubahan sedikitpun. Maka pergilah Abu Bakar r.a menaiki unta dengan niat mahu berjihad seorang diri meredah padang pasir yang panas.

Ali r.a yang mengenderai kudanya dengan kencang menyusul memujuk Abu Bakar dan berkata kepadanya: “Amirul Mukminin, kembalilah. Masukkan pedang ke sarungnya. Jika Khalifah mengalami suatu musibah, islam tidak akan tegak.” Maka kembalilah Abu Bakar. Setelah itu semua pasukan tentera Islam dikirim ke seluruh penjuru kawasan jajahan untuk memerangi golongan yang tidak mahu berzakat itu.

Terharu bukan, membaca kisah-kisah pengorbanan para sahabat demi cinta kepada Allah dan Rasul dalam menegakkan agama Islam?

Pengorbanan

Pahit jerih silih berganti. Keseronokan berkeluarga entah ke mana. Luka-luka dan cedera tak usah dikira. Tetapi kesucian jiwa dan keluhuran hati mereka tiada tolok bandingannya. Ini lah kisah manusia-manusia yang menghambakan hampir seluruh hidup mereka bagi memastikan risalah dan agama yang dibawakan Nabi Muhammad s.a.w sampai kepada kita pada hari ini.

Itu cuma sedikit daripada coretan keperitan yang dihadapi para sahabat dalam menegakkan tiang agama kita. Banyak lagi kisah lain yang bisa saja dan dengan senangnya menyebabkan kita menitis air mata. Menitis air mata kerana apa? Kerana sebak, terharu, sedih, bersyukur, berterima kasih, mungkin juga kecewa dengan diri sendiri?

Kadangkala kita seronok bersuka-suka. Hujung minggu mengatur rencana mahu ke mana, nak tengok cerita apa? Nak makan di restoren mewah mana? Nak membeli-belah dan shopping apa? Namun tanyalah hati, tiliklah sejarah pengorbanan khalifah tercinta. Dan soal lah diri dengan satu persoalan yang mudah. Kemudian jawab lah sejujurnya.

“Untuk Islam sebeginikah khalifah-khalifah berkorban, bermati-matian, menghabiskan sisa-sisa perjuangan sehingga hembusan nafas terakhir semata-mata untuk memastikan agama ini sampai kepadaku?”

Terkesima dengan soalan itu sendiri bukan?

Doa Sedih Perang Badar

Pada malam itu, malam jum’at 17 Ramadhan 2 H, Nabi Allah Muhammad s.a.w lebih banyak mendirikan shalat di dekat pepohonan. Sementara Allah menurunkan rasa kantuk kepada kaum muslimin sebagai penenang bagi mereka agar bisa beristirahat. Sedangkan kaum musyrikin di pihak lain dalam keadaan cemas. Allah menurunkan rasa takut kepada mereka.

Mengikut logik akal, tentera Islam terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan tentera golongan kafir. Berperang ketika Perang Badar boleh diibaratkan seaka-akan menghulurkan leher sendiri untuk dilapah dengan senang, jika dilihat dengan mata kasar. Mana mungkin tentera yang sedikit itu akan dapat mengalahkan tentera-tentera yang berlipat kali ganda jumlahnya dan lengkap persiapannya. Tetapi rencana Allah siapa yang tahu? Tiada siapa. Dan jika sahaja Allah mahu memberikan ajaiban, itu sesungguhnya amat mudah bagi Nya.

Malam itu, dalam keheningan malam Rasulullah s.a.w memanjatkan do’a kepada Allah memohon pertolongan dan bantuan dari-Nya, mengharap kemenangan bagi kaum Muslimin.

Berberulang-ulang Baginda menyeru:

“Ya Hayyu Ya Qayyum...Ya Hayyu Ya Qayyum" mengisyaratkan pengharapan dan sandaran yang teramat sangat.

"...Ya Allah, jika Engkau berkehendak (orang kafir menang), nesacaya Engkau tidak akan disembah. Ya Allah, jika pasukan yang kecil ini Engkau binasakan pada hari ini, nescaya Engkau tidak akan disembah…..”

Beliau s.a.w mengulang-ulang do’a ini sampai selendang beliau tarjatuh karena lamanya berdo’a, kemudian datang Abu Bakar As Shiddiq r.a memakaikan selendang beliau yang terjatuh sambil memeluk beliau… “Cukup-cukup, wahai Rasulullah…”

Tentang kisah ini, diabadikan Allah dalam FirmanNya,

إِذْ يُوحِي رَبُّكَ إِلَى الْمَلَائِكَةِ أَنِّي مَعَكُمْ فَثَبِّتُوا الَّذِينَ آَمَنُوا سَأُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ فَاضْرِبُوا فَوْقَ الْأَعْنَاقِ وَاضْرِبُوا مِنْهُمْ كُلَّ بَنَانٍ (12) ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ شَاقُّوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَمَنْ يُشَاقِقِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (13)

“Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap ujung jari mereka. (Ketentuan) yang demikian itu adalah karena sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya; dan barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah amat keras siksaan-Nya.” (Qs. Al Anfal: 12-13)


Dan hari itu juga,Allah mengabulkan doa Nabi tercinta kita, dan menanglah kaum Muslimin dalam Perang Badar. Kemenangan yang didasari keyakinan dan kebergantungan kepada Allah semata-mata dan tiada yang lain. Juga kemenangan yang dicipta agar mengalirnya dan tertancapnya Islam di hati insan-insan terpilih sehingga ke akhir zaman dan tidak terhenti begitu sahaja dengan kewafatan Nabi selepas itu. Oleh itu tidak mungkinlah dapat kita membandingkan kekuatan tentera Islam dan tentera kafir senadainya tujuan dan niat berperang itu sendiri sudah menjawab keajaiban yang bakal berlaku.


Sayangnya Nabi s.a.w kepada kita umat akhir zaman.

Penutup

Persoalannya sekarang berbaloikah pengorbanan mereka semua untuk kita? Ya ‘kita’, golongan manusia yang tidak pernah bersua dengan Rasulullah dan merasai keperitan hidup menyebarkan Islam tetapi dapat merasa nikmat beragama. Sama-sama lah kita membuka minda dan meneliti refleksi di cermin sejarah ini. Dan soal lah berkali-kali “Untuk kitakah mereka berkorban sebegini rupa?”

Ya, jawapannya ya, untuk kita, kita yang…sebenarnya sedikit sekali mengikut jejak mereka dalam beragama. Sedih tetapi inilah kebenarannya, kita dengan senyuman dan gelak tawa, menggantikan pahit jerih perjuangan silam dengan kehidupan penuh warna dan suka di atas pentas bernama dunia.Astaqfirullahalazim.

p/s: aduh.sedihnya.

Saturday, April 2, 2011

Jangan Fikir. Jangan Tanya.

Bismillahirrahmanirrahim.

Fikir fikir

Apabila sesuatu ketentuan menjengah, kita bisa sahaja menjadi buntu.

Buntu memikirkan sebab-musabab kejadian. Buntu memikirkan salah silap sendiri. Buntu dalam memahami hikmah tarbiah Allah s.w.t yang dicuba disampaikan melalui apa yang terjadi. Ringkasnya segala-galanya menjadi sempit. Nafas bagaikan tersekat dicelah tekak. Tak tertelan dek paru-paru.

Mujur nyawa masih dipinjamkan, kadangkala kerana terlalu rumit memikirkan hal-hal sebegini, kita boleh sahaja melangkah ke alam separa sedar. Tahu-tahu telah melanggar lampu isyarat dan menderu laju menuju ke ‘I don’t know where’.

Daya fikir itu adalah pemberian Allah. Dan tindakan berfikir itu sendiri adalah atas gerakkan Allah jua. Namun, percayalah, sekiranya dikerahkan seluruh sel-sel , neuron yang berpangkalan di seluruh pelosok otakpun, kau tidak akan dapat membaca percaturan Allah. Otak ini tidak mampu mengingkap ilmu ghaib Allah. Dan tidaklah ianya dijadikan untuk tujuan itu.

“Dia telah menciptakan manusia dari mani, tiba-tiba ia menjadi pembantah yang nyata.” (An-Nahl:4)

Kunci Keyakinan

Kuncinya Allah mahu kita meyakini bahawa Allah telah menetapkan suatu ketentuan atas segala sesuatu, bahkan sebelum sesuatu itu ada dan terjadi. Semuanya telah tertulis. hatta kejadian seperti kad bank yang terlekat di mesin ATM pun telah ditakdirkan apatah lagi, ujian-ujian yang tersusun rapi menghiasi kehidupan sehari-harian.

Lalu apa yang bisa terlepas dari takdir atau ketentuan Allah. Tak ada.Tidak ada.

Jadi siapa aku untuk menghitung sebab musabab turun naik iman. Kenapa itu kenapa ini?

Kisah Perit Lukisan Allah

Diceritakan daripada Syeikh Afifuddin az-Zahid, bahawasanya, ketika berada di Mesir, dia mendengar khabar tentang peristiwa pelanggaran dan penaklukan Kota Baghdad yang dilakukan oleh orang-orang kafir terhadap kaum muslimin. Selama hampir 3-4 tahun, Baghdad menjadi kota mati tanpa kepimpinan seorang khalifah.

Pada waktu itu, orang-orang kafir berleluasa melakukan penindasan terhadap Islam dengan cara mengalungkan mashaf-mashaf al-Quran pada leher-leher anjing mereka serta membuang kitab-kitab karangan ulama Islam di Sungai Tigris, sehingakan kerana banyakkan kitab yang mereka lemparkan di sungai tersebut, orang-orang kafir dapat menjadikannya sebagai jambatan untuk dilalui oleh tentera dan kuda2 mereka.

Suasana begitu membuatkan Syeikh Afifuddin az-Zahid sedih dan prihatin hingga dia pun mengadu kepada Allah

"Wahai Tuhanku, bagaimana (kau biarkan keadaan seperti) ini terjadi begitu sahaja sementara di sana banyak anak-anak kecil dan orang2 yang tidak berdosa?

Pada malam harinya, Syeikh Afifuddin az-Zahid bermimpi bertemu seorang lelaki yang membawa suatu kitab di tangannya. Kemudian dia mengambil kita b tersebut, lalu ia membukanya. Di dalamnya dia mendapati dua bait syair berikut .

"Tinggalkanlah rasa keberatanmu kerana itu bukanlah urusanmu dan tiada suatu hukum pun atas pergerakan bahtera (di lautan).

Dan jangnlah engkau menentukan atas apa yang akan dilakukan Allah, kerana barangsiapa berusaha meredakan gelombang samudera maka ia sendiri akan binasa."

Penutup

Wahai otak yang berdaya fikir. Berhentilah meneka-neka. Kerahkan usahamu, fikirkan keagungan Allah bukan bertanya-tanya kenapa itu dan ini nescaya kau akan selamat. Astaqfirullahalazim.

Ya Allah kasihani aku. Ampunkan aku. Ameen.

Rujukan: Mutiara-mutiara keimanan – Sheikh Nawawi Al-Bantani

Monday, March 28, 2011

Jangan Bersedih

'Lihatlah bagaimana Allah membahagi-bahagikan nikmat' - HAMKA

"Jika Allah hendak memberikan kebahagiaan kepada seseorang, ia tidak boleh ditahan dengan apa-apa tangan sekalipun,

Jika Allah hendak menghalang kebahagiaan seseorang dia tidak boleh dihulurkan apa-apa tangan sekali pun"

Let us come back to The Almighty

Cukupkan bagi kami Allah

Saturday, March 19, 2011

Asal Usul Sembahyang 5 Waktu


Setengah Hukama’ mengatakan: Setiap sembahyang itu ditentukan kepada seorang nabi daripada Anbia Allah menyembahyangkan pada waktunya.

Subuh

Orang yang mula-mula sembahyang Subuh adalah Nabi Adam a.s tatkala keluar daripada syurga. Ketika itu beliau melihat kegelapan dan merasa amat takut. Maka tatkala tiba waktu subuh dan ternampak fajar, beliau sembahyang dua raka’at.

Rakaat pertama untuk bersyukur kerana terlepas daripada kegelapan dan raka’at kedua adalah untuk bersyukur kerana kembalinya siang hari.

Zohor

Orang yang mula-mula sembahyang Zohor adalah Nabi Ibrahim a.s tatkala Allah menyuruh menyembelih anaknya, yang kemudiannya ditukar kepada menyembelih kibas. Suruhan itu berlaku ketika gelincir matahari (mula masuk waktu Zohor). Beliau bersembahyang empat raka’at .

Rakaat pertama untuk bersyukur kerana anaknya ditebus dengan kibas. Raka’at kedua untuk bersyukur kerana dibuang dukacita daripada anaknya. Raka’at ketiga untuk menuntut keredhaan Allah dan raka’at keempat untuk melahirkan perasaan gembira kerana mendapat penebus yang amat besar (kibas Habil dari syurga) seperti dalam firman Allah:

وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ (37:107)

Dan Kami tebuskan dia dengan sembelihan kibas yang amat besar.

Asar

Orang yang mula-mula sembahyang Asar itu ialah Nabi Yunus a.s tatkala Allah mengeluarkannya daripada perut ikan Nun dalam keadaan seperti anak burung yang tidak berbulu. Beliau mengalami empat kegelapan.

Pertama kegelapan kesalahannya. Kedua, kegelapan air, ketiga kegelapan malam dan keempat kegelapan perut ikan. Beliau dikeluarkan daripada perut ikan pada waktu Asar. Maka beliau sembahyang empat raka’at kerana bersyukur kepada Allah yang melepaskannya daripada empat kegelapan tersebut.

Maghrib

Orang yang mula-mula sembahyang Maghrib itu ialah Nabi Isa a.s tatkala Allah mengeluarkan beliau daripada kepungan kaumnya. Peristiwa ini berlaku sewaktu lenyap matahari.

Raka’at pertama untuk menafikan ketuhanan yang lain selain Allah. Raka’at kedua untuk menafikan tohmahan terhadap ibunya yang dituduh oleh kaumnya. Raka’at ketiga untuk menyatakan bahawa tiada tuhan yang dapat member kesan melainkan Allah jua. Sebab itulah dua raka’at pertama berhubung dan raka’at terakhir tingga bersendirian.

Isyak

Orang yang mula-mula sembahyang Isyak itu adalah Nabi Musa a.s ketika tersesat jalan, waktu keluar dari negeri Madyan (suatu daerah dalam Negara Jordan berdekatan dengan Sinai dan Laut Merah). Beliau mengalami dukacita tentang isterinya, Harun saudaranya, Firaun serta seterusnya beberapa orang anaknya. Semua dukacita itu dilepaskan oleh Allah berpegang kepada janjiNya yang benar. Peristiwa ini berlaku pada waktu Isyak yang akhir. Maka beliau bersembahyang empat raka’at kerana bersyukur kepada Allah yang melepaskan dirinya daripada semua dukacita itu.

Penutup

Menurut riwayat lain, sembahyang Subuh itu dimulai oleh Nabi Adam a.s, sembahyang Zohor oleh Nabi Daud a.s, sembahyang Asar oleh Nabi Sulaiman a.s, sembahyang Maghrib oleh Nabi Yaakob a.s, dan sembahyang Isyak oleh Nabi Yunus a.s

Taken from:

Munyatul Musolli& Bahjah Mardhiah – Sheikh Daud Abdullah Al-Fathoni

Monday, March 14, 2011

Rindu


Kenapa suka main wau(layang-layang)?

Sebab rindu Tuhan

Sebab langit Allah itu lepas bebas. Di langit itu Allah turun meninjau hamba-hamba yang berdoa di sepertiga malam. Di langit itu malaikat penuh, bersesak-sesak bersujud kepadaNya. Dari langit itu turun rahmat, harapan kadangkala bala, mungkin juga azab tetapi langit itu sendiri, terlalu indah; bumbung dunia yang memayungi kita semua bertukar-tukar warna sesuka hatiNya lambing cintaNya kepada kita tiada taranya.

Jadi, tidakkah ianya sesuatu yang mengujakan, dapat memegang benang halus dari bumi yang seakan-akan dapat menghubungkan dirimu dengan kesempurnaan ciptaan Maha Agung ini sambil melepaskan layang-layang (wau) itu bebas?

Tak dapatkah kau merasa getaran Cinta Ilahi berlari-lari di segenap ruas jarimu tatkala menyentuh tali itu? This is love, definitely love. Greater than anything; everything.

Ilham/rujukan:

Dari Abu Hurairah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda,“Rabb kami -Tabaroka wa Ta'ala- akan turun setiap malamnya ke langit dunia ketika tersisa sepertiga malam terakhir.

Allah ialah Dia yang mengutuskan angin, yang menggiatkan awan, dan Dia menjulurkannya di langit sebagaimana yang Dia mengkehendaki, dan membuatnya berkecai; kemudian kamu melihat hujan keluar dari celah-celahnya, dan apabila Dia menimpakan dengannya kepada sesiapa daripada hamba-hamba-Nya yang Dia mengkehendaki, tiba-tiba mereka bergembira (30:48)

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kebesaranNya dan kekuasaanNya, Dia memperlihatkan kilat kepada kamu, untuk menakutkan (dari panahan petir) dan memberi harapan (dengan turunnya hujan) dan Dia menurunkan hujan dari langit, lalu Dia hidupkan bumi sesudah matinya dengan hujan itu. Sesungguhnya yang demikian mengandungi keterangan-keterangan bagi orang-orang yang menggunakan akal untuk memahamiNya.(30:24)

Dan langit itu Kami dirikan dengan kekuasaan Kami (dalam bentuk binaan yang kukuh rapi). Dan sesungguhnya Kami adalah mempunyai kekuasaan yang luas tidak terhingga.(51:47)

Saturday, March 5, 2011

Teaching with Love


Teaching is one wonderful profession. Why? Because no matter how much you detest the workloads to the point that you feel like breaking into two, four of maybe eight, the students will never fail to make you smile. Though at times, it did cross my mind that I’ll grow old and tired of getting to know new students and that attachment hurts especially when they leave school after form 5.

But..how wrong am I. The heart is never tired of learning, learning to love; to love the next group of students you’re supposed to teach at the same time care for with all your heart fillah.

“The heart of the believer is between two fingers of the Merciful”

God lend me your strength and make me a good dai'e to that i can lead them to you. Ameen. (insya Allah)

Salahkah Menjadi Miskin?


Bismillahirrahmanirrahim

Sebaik sahaja saya duduk di meja makan di kantin, seorang rakan sekerja ringan mulut bertanya

“Bagaimana dengan rumah baru? Sudah penuhkah isi rumah?”

Saya cuma tersenyum teringatkan mereka semua tertanya-tanya keadaan rumah baru saya yang kini saya duduki seorang diri. Mahu beruzlah, mengurangkan percakapan sia-sia dan yang sebetulnya dijemput Tuhan untuk berpindah melalui mimpi dan gerak hati (walaupun ramai yang menyangka saya berjenaka apabila saya mengatakan datang seru dari mimpi kerana perpindahan saya sangatlah tiba-tiba dan tak ada pucuk pangkal;beyond explanation).

“Tak beli apa pun. Beli tilam sahaja. Mesin basuh pun tak ada. Yang lain macam orang bujang la.Buku –buku saja penuh rumah saya hihi”

Sebetulnya duduk di rumah baru itu sangat mencabar minda, fizikal dan ekonomi saya kerana tinggal seorang diri dan menuntut pengorbanan dari segi kehendak duniawi. Di rumah lama, saya berkongsi dengan rakan-rakan, kelengkapan ruman semuanya lengkap, kerana masing-masing membeli bahagian masing-masing memenuhkan isi rumah.

Rumah lama juga sangat dekat dengan tempat kerja sampai hanya jalan kaki ke tempat kerja. Rumah baru lebih jauh, dan saya pula pergi ke tempat kerja sehari kadang-kadang berkali-kali untuk program itu dan ini dari pagi sampai ke malam, maknanya minyak kereta pun berkali-kali gandalah jadinya.

Berpindah ke rumah baru ibarat memulakan kehidupan baru. Yang ada cuma televisyen yang mana piring Astronya belum saya pasang di bumbung sehingga kini (dah lebih sebulan), rak buku serta beberapa barang-barang rumah lain yang sangat basic, kalau yang lengkap tu mungkin perencah nak memasak saja.

Ibu dan ayah yang sudah beberapa kali datang meninjau-ninjau rumah baru anak mereka ada juga cuba untuk memenuhkan isi rumah katanya agar lebih selesa tetapi saya tolak kerana takut bahawa keselesaan akan menjadikan saya lagi malas. (Ada kipas kecik pun dah rasa takmau bangun tidoq)

Dan rasanya itulah yang cuba Allah didik; ya tinggalkan kegilaan dunia yang tak pernah habis dan surut. Keinginan tidak akan pernah kenyang, bisikan-bisikan akan sentiasa datang mengatakan kita perlukan itu, ini, dan lain segala-galanya yang sebetulnya cumalah kehendak yang diada-adakan.

Saya yakin inilah jalan pilihan Allah untuk saya. Tinggal di rumah kecil ini dan menggunakan rezeki kurniaan Allah untuk apa yang perlu bukan apa yang saya nak. Kenapa semua orang sangat takut hidup susah? Teruk sangatkah jadi miskin?

Kisah Nabi.

Menelusuri sirah dan menyingkap hikmah di sebalik kehidupan manusia agung, cinta kedua kita setelah Allah s.w.t iaitu Muhammad bin Abdullah, penghulu kita di akhirat kelak, menimbulkan persoalan-persoalan yang tidak ada penghujungnya di kotak fikiran.

Persoalan-persoalan ini membuat saya bertanya
'Di mana cacat celanyanya sirah ini sehingga kita gagal membuka mata seluas-luasnya mengambil iktibar serta menjadikannya panduan kehidupan?'

Jawapannya tiada.Tidak ada.

Penyempurna Akhlak

Dilahirkan pada hari Isnin, 12 Rabiulawal, Tahun Gajah, Nabi Muhammad diutuskan bagi menyempurnakan akhlak manusia. Jika dikaji dan diikuti dengan teliti, setiap peristiwa yang terjadi di dalam hidup Baginda tidak ada yang kebetulan sebaliknya penuh dengan pengertian dan sebab musababnya.

Pengajaran di zaman Kanak-kanak

Ketika baru dua bulan di dalam perut ibunya Allah swt telah mewafatkan ayah Nabi, Abdullah bin Abdul Mutalib dan apabila menginjak usia 6 tahun satu lagi tempat bergantung iaitu ibunya Aminah telah diwafatkan Allah.

Mengapakah Allah menghilangkan kasih sayang ibu bapa daripada Muhammad ketika beliau masih kecil? Ini tidak lain tidak bukan untuk mengajar Nabi sedari kecil agar cekal dalam menghadapi kehidupan. Tambahan lagi, kecekalan dan kekuatan jiwa inilah yang akan diperlukannya kelak dalam menghadapi penentangan penyebaran dakwahnya kelak apabila diangkat menjadi Nabi.

Percaturan Allah dalam melakar kekuatan jiwa Muhammad saw juga boleh dilihat dengan pemilihan Abu Talib sebagai penjaga Nabi setelah ketiadaan ibu bapa walhal terdapat anak-anak Abdul Mutalib yang lain yang dilihat lebih mampu memelihara Nabi kerana lebih kaya dan segi harta dan wang ringgit. Namun hak penjagaan diberikan kepada Abu Talib; iaitu antara saudara termiskin ketika itu. Abu Talib sendiri mempunyai ramai anak tetapi dengan berbesar hati memelihara Nabi Muhammad saw. Ibrahnya di sini Allah juga tidak mahu lelaki istimewa yang bakal menyeru umat manusia kepada Allah menjadi seorang pemimpin yang dimanjakan dengan wang ringgit dan harta kekayaan dunia.

Mengapa? Kerana mana mungkin seorang lelaki yang tidak tahu erti kesusahan dan kepayahan dalam hidup dapat menjadi seorang pemimpin yang memahami dalam erti kata benar-benar dapat menyelami hati pengikut-pengikutnya terutama yang serba daif dan kekurangan. Berbeza dengan pemimpin hari ini yang mana pemimpinnya mempunyai harta melimpah-ruah serta rumah-rumah mewah tersergam indah laksana istana tetapi mengaku faham akan kesusahan rakyat.

Tidak sama, antara mengetahui dengan melihat, merasai, mengalami sendiri..dan menyangka anda memahami…setiap satu ini cukup berbeza pengertiannya antara satu sama lain.

Seorang pemimpin yang tidak mengamalkan gaya hidup zuhud, boleh sahaja menderma beberapa bahagian daripada hartanya kepada orang susah tetapi pulang ke rumah masih mampu tersenyum kerana masih mempunyai tilam empuk yang menyambutnya berpenat lelah bertemu rakyat.

Nabi Muhammad saw tidak begitu. Malahan tidak ada orang yang lebih mengetahui pengertian kepayahan, kesusahan hidup melainkan beliau tetapi pada masa yang sama membesar sebagai individu yang cukup hebat akhlak, perlakuannya, tingkalakunya, tuturkatanya di kala dunia sekitarnya rosak remuk redam di godam kejahiliahan manusia. Inilah manusia yang dijaga Allah s.w.t untuk memimpin kita beriman kepadaNya.

Tatkala dijaga Abu Talib, Nabi Muhammad juga tidak pernah berebut makanan dengan sepupu-sepupunya. Acapkali beliau hilang apabila tiba waktu makan, tetapi selalu menjadi yang terdahulu apabila menawarkan diri untuk membuat kerja. Tidur dalam keadaan lapar juga merupakan satu kebiasaan bagi beliau. Indahnya akhlak Nabi adalah apabila beliau selalunya lebih lapar dari sahabat-sahabat tetapi apabila ada yang menawarkan makanan, beliau tidak sanggup kenyang sendirian walaupun makanan itu hanya cukup untuk beliau dan beberapa orang sahabat sahaja sebenarnya.

Rahsia

Sedarkah kita sejak dari awal kehidupan Nabi Muhammad saw, Allah telah melukiskan sebuah kisah yang mana mengajar kita keyatiman itu bukan satu keaiban, kemiskinan itu tidak bermakna kemelaratan, dan kekurangan itu bukan satu kelemahan tetapi sumber kekuatan, kecekalan, acuan hebat dalam mencorak akhlak agung yang menjadi suri teladan sekalian umat.

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu” (Al-Ahzab:21)

Lalu siapa yang mengajar kita bahawa miskin itu hina? Bahawa miskin itu rendah darjatnya? Bahawa kekurangan itu kecacatan. Tidakkah kita sedang ditipu oleh ideology yang hebat menggasak ketamadunan manusia hari ini bahawa kaya bisa membuat kita bahagia, kaya bisa membuat kita di pandang mulia, kaya dan keselesaan hiudp itu segala-galanya. Kita diajar malu menjadi miskin.

Mana mungkin Allah terlupa menyebutkan ini di dalam kitabNya seandainya inilah tujuan kita dijadikan…seandainya inilah kiblat tujuan kita dalam kehidupan ini, menjadi kaya sekaya-kayanya. Kita takut dengan bayang-bayang kesusahan padahal itulah sebenarnya jalan untuk berkenalan dengan kisah hebat seorang Rasul ulung walaupun tidak mungkin dapat kita rasai kesusahan seperti Baginda.

An eye-opener

Perjalanan saya ke kawasan perumahan(di sebuah perkampungan terpencil) seorang pelajar yang amat akrab dengan saya membuka mata saya dengan lebih luas. Tidak saya sangka, rumah-rumah mereka terletak begitu dekat antara satu sama lain, persis kisah-kisah sinetron dari seberang yang ditonton dalam televisyen. Dari luar, terpancar jelas kehidupan mereka serba kekurangan dan mereka ditinggal kemewahan moden yang telah menjadi darah daging di dunia luar.

Tidak lama kemudian ibu pelajar tersebut muncul, riak wajahnya hiba, barangkali terharu saya datang menjemput anaknya sehingga ke kampung mereka yang jauh dari Bandar. Ketika bersalaman terasa hangat tangan kasih seorang ibu mengharap saya menjaga anaknya seperti dia menjaganya setelah menitipkan pelajar itu kepada saya. Dia seakan-akan tidak mahu melepaskan tangan saya.

“Cikgu datanglah ke rumah nanti. Cikgu tidur di rumah kami ya?”

Ketika itu menjalar sejenis perasaan di hati saya, mungkin kagum pada masa yang sama terharu dan sebak. Teringat saya, pada hari sebelumnya pun pelajar itu beriya-iya mengajak saya bermalam di rumahnya.

“Insya Allah lain kali saya datang ke rumah. Hari ni dah tak sempat.sebabnya pengajian mula 9 pagi, sekarang pun dah nak pukul 9”

Setelah ibu dah ayah itu melambai-lambai, kereta saya menderu laju memecah laluan sunyi ke Bandar.

Sepanjang perjalanan ke masjid, perasaan saya jadi tidak menentu. Fikiran pula melayang jauh. Saya malu. Saya malu dengan kejahilan saya sendiri. Saya pernah malu dan berasa rendah diri kerana satu ketika dulu saya pernah merasa malu menjemput sahabat ke rumah kerana rumah saya tidak sebesar rumah mereka. Di manakah kesyukuranku, ya Allah. Ceteknya akalku. Besarnya hati mereka. Ya Allah janganlah kiranya kau membiarkan dunia mengotorkan hati mereka yang bersih ini.

Penutup

Seandainya pintu hijrah terbuka, berhijrahlah.Berhijrahlah kerana Allah. Berhijrahlah kepada Allah. Tidak usah takut kepada kesusahan, kekurangan, kesempitan atau kesulitan. Bukankah rezeki itu milik Allah dan Allah juga yang mencukupkanmu?

Tidak pernahkah kau mendengar orang yang terasa kurang, sempit, sulit di dalam kecukupan malah kemewahan lantas merasa hidup kosong dan tidak berguna? Ya Allah jauhi lah kami dari tergolong dalam golongan sebegitu. Ameen.

Friday, February 25, 2011

The Arrivals

“Dah tengok The Arrivals? Tengok la. I’m addicted to it. Dajjal nak datang!”

Entah mengapa, sedari awal saya kurang berminat dengan video ini. Bukan kerana tidak takut akan fitnah yang telah dijanjikan Allah di akhir zaman iaitu turunnya Dajjal ke muka bumi tetapi kerana berlakunya percanggahan atau pun “information disparity” yang sangat hebat antara penutur-penutur yang menyatakan mereka amat terkesan dengan siri The Arrivals dengan perlakuan mereka yang masih jauh daripada hakikat yang membuktikan sesungguhnya mereka terkesan dengan video ini.

Jika hanya menonton, dapat informasi tentang The Arrivals, tahu Dajjal nak datang tetapi masih mengamalkan gaya hidup yang mengagungkan hedonism, kejahiliahan dan terlalu mengejar keseronokan duniawi seperti biasa, tak terkesan lah tu. Dan di situ hakikat sebenarnya akan terjawab yang mana siri itu cumanya kita anggap sebagai satu lagi media hiburan yang pintar yang mana ianya diakui sangat menarik kerana bersifat penyelesaian masalah, menyambung titik-titik persoalan yang akhirnya merungkai jawapan yang menakjub dan mengejutkan kita.

Tersangat silap lah jika kita menyangka mengetahui adalah meyakini.

Meyakini itu harus disertai amalan manakala mengetahui bisa saja bersifat tidak tenggelam dan meresap di dalam hati kerana hanya diperhatikan sepintas lalu. Tambahan pula, ada saja babak-babak di dalam siri The Arrival yang kurang sesuai ditonton yakni menjolok mata dan boleh menghitamkan hati, jadi tidak hairanlah mengapa ada antara penonton-penonton siri ini tersilap dalam memahami makna terkesan itu sendiri. Bukan bertujuan memperkecilkan pembuat video itu, jauh sekali malahan berterima kasih kerana sudi berkongsi hasil kajian mereka yang penting tu, sebaliknya mahu mengajak kawan-kawan termasuk diri sendiri sebagai penonton-penonton berfikir semula dengan apa yang dimaksudkan menonton sesuatu yang membawa manfaat.

Mari kita fikirkan semula, betulkah kita terkesan atau kita sedang hanyut dengan satu lagi permainan media masa yang mana kita sendiri mengemudi kehanyutan itu menggunakan nafsu kita?

Permainan syaitan itu sangat licik.

Friday, February 11, 2011

A Better Mukmin


Dari Abi Hurairah r.a, katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallaLlahu ‘alaihi wassalam): Mukmin yang kuat adalah lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah, dan pada tiap-tiap (mereka) ada kebaikan. Bersungguh-sungguhlah kamu mendapatkan apa yang mendatangkan manfaat bagi kamu, dan pohonlah pertolongan kepada Allah dan janganlah kamu lemah, dan sekiranya suatu (musibah) menimpa kamu maka janganlah kamu mengatakan: Kalau saya melakukan itu (dulu) sudah tentu saya akan begini dan begitu, tetapi katakanlah: (Ini adalah) takdir Allah, Dia berkuasa melakukan apa yang Dia kehendaki. Sesungguhnya “Kalau” membuka amalan syaitan.”(Riwayat Muslim)