Trend
Seandainya kita melayari laman youtube,
kita pasti sedar bahawa video-video cara pemakaian hijab yang disediakan oleh
adik-adik remaja Islam kita berselerakkan bagaikan embun di pagi hari. Sebut
sahaja cara memakai hijab dari fabric jenis apa, pashmina? Cotton? Satin?
Crumpled cotton? Viscose? Jojet? Semuanya ada. Just a click away!
Selain itu ada juga adik-adik yang berbakat
dalam bidang fesyen, lalu adik-adik ini tampil ke hadapan untuk memberi
cadangan pemakaian muslimah yang dirasakan sesuai dengan function yang
bakal dihadiri. Pakaian ke kelas begini, untuk bersantai di waktu petang begini
pula, tidak lupa juga pakaian bergembira bersama teman-teman dihujung minggu.
Menjadi post-post ‘in-trend ’juga di
kalangan blogger wanita untuk berkongsi rahsia kejelitaan mereka (khususnya
buat blogger yang cantik jelita). Di sini kita akan mendapat tahu rahsia
produk-produk yang digunakan untuk mendapatkan hasil kulit yang mulus dan
cantik seperti rakan blogger itu. Lebih menarik, kadangkala cara-cara
mengenakan ‘make-up’ juga diajar secara intensif langkah demi langkah agar
pembaca blog dapat mengikuti dengan tepat konsep DIY(Do It Yourself) ini.
Mudah bukan? Sememangnya teknologi maklumat memudahkan segala-galanya.
Yang Mengikut
Umpama menilik katalog professional
informasi dan pengetahuan yang dipelajar daripada laman web ini akan dicerna di
dalam otak para remaja muslimah khususnya dan disini berlakulah pergolakan
tolak dan tarik, prinsip lawan tekanan masyarakat, kebiasaan dan fesyen semasa.
Yang menang akan menjadi hala tuju baru adik-adik dalam menampilkan diri dengan
lebih berkeyakinan di khalayak ramai.
Pendirian yang menang juga akan menjadi
paksi pergantungan adik-adik dalam membuat keputusan kelak apabila membeli
belah pakaian adik-adik. Seumpama satu perjanjian, dengan bulatnya tekad dalam
memilih pendirian baru, adik-adik kini seakan-akan menjadi seseorang yang baru dengan personaliti baru
yang sudah difikir semasak-masaknya.
Tekongnya
Kebanyakan adik-adik yang berkongsi video
atau blog post sedemikian berniat baik, mahu berkongsi ilmu, menyebarkan cara
menzahirkan keindahan kurniaan Allah SWT agar tampil lebih istimewa dari biasa.
Dan sememangnya video-video sebegini mendapat sambutan yang menggalakkan
berdasarkan jumlah statistic tontonan. Itu tidak syak lagi.
Rasanya jika ditanya motif atau tujuan di
sebalik penghasilan video-video ini pun, boleh jadi ini jawapannya.
“Kami mahu mengubah pandangan orang bahawa
menutup aurat itu imej kekampungan, tampak selekeh, selebet dan terlalu
‘plain’. Ia juga boleh jadi sesuatu yang cool, urban, menarik dan cantik,
jadi semakin ramai akan rasa mahu bertudung!”
“Ini sebahagian daripada dakwah bukan?”
“Saya mahu berkongsi ilmu. Takkan nak
cantik seorang diri. Itu kedekut ilmu namanya. Niat saya baik”
“Tak salah bukan, Allah sukakan keindahan
kan?”
Termenung panjang saya memikirkan jawapan
sebegini.
…………………..
Betulkah jawapan-jawpan yang diberi dengan
skema jawapan yang dikehendaki? Benarkah begitu?
Sebenarnya hari ini saya tidak mahu menulis
berkenaan jawapan sebenar persoalan-persoalan yang dilontarkan di atas.
Sebaliknya melalui kisah di atas, saya ingin membawa adik-adik menelurusi cara
kita semua berfikir tatkala berhadapan dengan imej dunia baharu ini dengan
harapan pada akhir perbincangan ini adik-adik sendiri akan menilai jawapan
kepada soalan-soalan di atas.
Siapa Wanita?
Disebalik suara lantang yang mengatakan
bahawa apa yang sedang dilakukan adalah satu proses memberi makna baru kepada
pemakaian Islam agar dipandang tinggi, sedarkah adik-adik bahawa,ironinya kita; dengan tangan kita sendiri sedang
secara halusnya merendahkan nilai seorang wanita itu sendiri?
Mengapa saya berkata demikian? Sebab, pada
masa kini, sedar atau tidak imej wanita begitu rendah sehingga yang kerapkali
dikaitkan atau menjadi tumpuan lambakan minat hanyalah pada aspek memanipulasi
keindahan insan bernama wanita di khalayak ramai sahaja. Sedangkan wanita bukan
hanya dijadikan sebagai pemuas halua mata sang lelaki-lelaki ajnabi (asing).
Ya
tidak salah ingin kelihatan ‘presentable’, yang mana sememangnya Islam adalah
agama yang mementingkan kebersihan dan keindahan. Namun adik-adik kehidupan
seorang wanita di dunia ini bukan hanya berkisar tentang mahu menjadi cantik, digilai
ramai, dipuji dan dimegah-megahkan. Bukan. Pernahkah adik-adik mendengar
kata-kata tangan yang menggoncang buaian boleh menggoncang dunia? Ya pepatah
itu menggambarkan betapa besarnya kuasa dan peranan yang boleh dimainkan wanita
jika dilakukan di dunia ini dengan serius walaupun tidak melebihi seorang
lelaki.
Malangnya, wanita pada zaman sekarang telah
hilang semangat perjuangan seperti wanita-wanita di zaman Rasulullah SAW. Kebanyakkan
daripada kita telah leka dibuai arus kejahiliahan yang dibungkus dengan jenama
pembaharuan agama. Walhal kita sedang ditertawakan barat kerana cuba kelihatan
moden dan intektual lalu hanya berjaya menciplak rupa luaran sahaja sedangkan
otak masih ketinggalan di belakang.
Kita cuba mengubah dan memberi pembaharuan terhadap
berbagai hukum hakam seakan-akan apa yang telah disyariatkan atau yang telah
terbiasa dilakukan itu terlalu membosan padahal terlalu banyak hal lain yang
boleh dilakukan untuk memberi inspirasi kepada muslimah-muslimah di luar sana
agar membaiki diri terutamanya dari segi kekuatan iman dan jiwa supaya boleh
diluahkan dengan perlakuan. Sayang seribu kali sayang adik-adik, wanita pada
hari ini hanya sibuk untuk memperelok rupa luaran sehingga terlupa mengisi
dalaman dengan ilmu dan iman dan keindahan hati.
Lalu Adik-adik, jadilah kita seperti belon
beraneka bentuk yang indah dipandang dan dicemburui namun pada hakikatnya bila
dicucuk, meletup, isinya kosong tak berguna lagi. Kita mungkin marah, geram dan
berasa tidak puas hati membaca penyataan ini, tetapi salahkah telahan itu?
Sama-samalah kita fikirkan. Ikuti sambungan perbincangan ini pada Bahagian 2:
Hikayat Bidadari Syurga?
Article ini juga boleh dibaca di : http://muslimteendigest.my/hikayat-bidadari-syurga