Thursday, October 6, 2011

Review - Jalan Cinta Para Pejuang by Salim A. Fillah

Bismillahirrahmanirrahim.

Satu kata cinta Bilal:

“Ahad!”

Dua kata cinta Sang Nabi:

“Selimuti aku…!”

Tiga kata cinta Ummu Sulaim

“Islammu, itulah maharku!”

Empat kata cinta Abu Bakr

“Ya Rasulullah, saya percaya…!”

Lima kata cinta ‘Umar

“Ya Rasulullah, izinkan kupenggal lehernya!”

Selamat datang di jalan cinta para pejuang!

Jikalau ada sepuluh bintang untuk memberi makna dari segi markah akan hasil sesebuah penulisan, pasti buku ini adalah buku pilihan saya untuk mendapatkan 10 bintang itu. Di dalam buku Jalan Cinta Para Pejuang ini, Ustaz Salim A. Fillah telah menggarap maksud pejuang secara menyeluruh sekali. Dan satu bonus juga bagi para pembaca kerana garapan ini dibuat dengan bahasa yang sangat indah dan berseni, seindah kisah nama-nama manusia yang dicoretkan di dalam buku.

Bermula dengan perbahasan mengenai definisi cinta menurut pandangan dunia barat seperti Romeo, epic Laila dan Majnun, serta teori-teori Saintifik hasil kajian para ilmuan, beliau membawa kita perlahan-lahan merungkai dari mana datangnya cinta yang begitu agung iaitu Cinta kepada Pencipta yang bahkan lebih hebat dari kecanduan cinta sesama manusia.

Pada bahagian kedua iaitu dinamakan langkah kedua Ustaz Salim turut membincangkan tentang kekuatan yang ada pada pemberian makna yang membezakan cara kita melihat sesuatu situasi. Bahagian ini bagi saya, antara bahagian yang saya gemari kerana ianya mengingatkan saya bahawa kita semua punya keterbatasan yang sama iaitu, keterbatasan dalam takdir. Kita berusaha selayaknya tetapi takdir itu adalah limit kepada jalan cerita yang kita coretkan. Namun, kita kadang-kadang lupa, kita masih punya satu kebebasan, tidak kira di dalam situasi apapun, tak kira dibawah takdir apa sekalipun, iaitu kebebasan memberi makna kepada takdir yang berlaku itu sendiri. Jika berbaik sangka, manislah takdirnya, tetapi jika buruk sangka, terpaksalah menelah kepahitan itu.

Buku ini juga dihiasi dengan coretan sirah Rasulullah saw, kisah sahabat-sahabat Rasulullah dalam berjuang menegakkan islam. Masing-masing melakukan sesuatu untuk menegakkan agama dalam erti kata perjuangan walaupun kadangkala lorong perjuangan itu tidak sama. Kesemua kisah ini sangat meruntun hati, namun memberi sejenis perasaan bersulam kekuatan untuk tidak lelah dan kalah dalam berjuang meninggikan agama Allah. Tiupan nafas perjuangan ini juga sangat kuat terutamanya apabila hikmah-hikmah disebalik Kisah seperti ketabahan Nabi Ibrahim dan keluarganya, Ummu Sulaim dan lain-lain dicungkil secara kritis.

Salim tidak hanya menyelitkan kisah-kisah ini secara total, sebaliknya dikaitkan dengan misi perjuangan generasi pertama dan lain-lain generasi termasuk kita pada hari ini. Inilah yang menjadikan buku ini istimewa dan sangat sesuai untuk mereka yang sama ada sudah berjiwa pejuang atau mahu mencambahkan jiwa pejuang di dalam nurani masing-masing.

Akhir kata, buku ini bukan sekadar buku biasa yang membawa kita mengembara di satu daerah, kemudian kembali ke tapak asal tanpa apa-apa beza, sebaliknya menarik kita ke satu zaman, satu era, satu dunia yang asing di mata, cinta adalah segala-galanya, Cuma bezanya, ini cinta pada yang Esa.

No comments:

Post a Comment