Bismillahirahmanirahim. Assalamualaikum warahmatullahi wa barakatuh. Segala puji bagi Allah yang memimpin sesiapa sahaja dari kalangan hamba-Nya pada perjalanan yang Dia sendiri aturkan. Selawat dan salam buat Rasulullah saw, Habiballah, yang dipilih buat membimbing umat manusia kepada Yang Haq.
Hari ini warga sekolah digemparkan dengan kematian seorang bekas pelajar yang baru berusia 16 tahun. Beliau menghembuskan nafas terakhir di pangkuan pelajar saya dalam perjalanan ke hospital. Namun menurut yang lain, pelajar terbabit, Asyraff, mati ditempat kejadian, setelah motorsikal yang dinaikinya ditendang oleh seorang lagi penunggang (pesaing) dalam satu misi ‘balas dendam’ setelah kalah dalam pertandingan rempit haram antara kampung. Wang pertaruhan hanyalah RM15, tetapi harganya adalah sebuah kehidupan yang sejujurnya sudah tamat pusingan rezeki dan waktu yang diberi Tuhan untuk terus menginap di dunia ini.
Ketika ditendang, motorsikal ditunggang dengan sangat laju. Pelajar-pelajar saya juga memberitahu bahawa badan Asyraff ‘terbang’ dan merempuh tiang elektrik dengan kuat sehingga menyebabkan organ bahagian dalamnya terutamanya di bahagian dada hancur remuk, termasuk tulang-tulang. Terkedu, saya lihat mata mereka redup dan kemerah-merahan menceritakan kejadian itu. Hoesni pula, saksi utama yang memangku Asyraff, yang diberikan Allah nikmat melihat sakaratul maut tidak jemu-jemu memandang ke luar tingkap. Matanya tembus entah ke mana. Ada senyuman kelat yang cuba diukir apabila ditanya mengenai kertas soalan Bahasa Inggerisnya namun, yang terlihat cuma percubaan menarik dan memaksa otot-otot pipi dan mulut melawan kehendak hati.
Tragis dan menyayat hati, sepanjang hari saya tidak jemu-jemu membayangkan satu gambaran yang saya sendiri tidak pernah tontoni. Gambaran kedasyatan sakaratul maut.
Di dalam kehidupan kita sehari-harian, berapa kali agaknya, perihal kematian menjengah ke dasar hati dan ke minda kita? Berapa kali agaknya kita membayangkan saat-saat disoal Mungkar dan Nangkir? Mungkin sahaja kita menjawab banyak kali dan kita kadangkala berasa kurang senang apabila terlalu kerap kematian diulang-ulang cerita, pemati mood dan menurut sesetengah orang, ‘tak cool asyik fikir mati sahaja, dunia kena juga’. Ya semua orang tahu kita akan mati tetapi persoalannya berapa ramai daripada kita yang benar-benar mengambil pengajaran akan kematian itu sendiri.
…………………………………………………………
“Hari ini aku melihat wajah-wajah yang telah lama tidak kulihat mengunjungiku sambil menangis sedih, tetapi aku terlalu sakit,pedih untuk peduli. Aku meraung menjerit-jerit sekuat hati tetapi tiada siapa yang mendengar malah ada juga yang bertepuk-tampar gembira bertemu satu sama lain setelah lama berpisah. Kulit ku rasa bagai disiat-siat. Kemudian aku dimandikan, sekali lagi merasakan azab kepedihan apabila kulitku yang baru tadi disiat-siat, disirami air. Kakiku yang sudah mengeras dikepak kasar. Sakit, sakit teramat-amat sehingga tak tergambar dengan perkataan. Rambutku terlekat dijari-jari mereka akhirnya terenggut keluar. Apabila selesai aku lihat persalinan putih menantiku dan bukannya baju-bajuku yang mahal lagi pelbagai. Tidak ada kerudung singkat yang warnanya serirama dengan baju-bajuku juga. Aku dibaluti dengan 5 helai kain putih. Itu sahaja.
Hari ini akan aku mulakan perjalanan ke negeri abadi, berbekalkan kain putih, sehelai sepinggang ini. Tidak akan aku bawa keretaku yang mewah bersport-rim tercanggih, tidak akan aku bawa suamiku yang kacak bergaya serta anak-anak yang tidak sudah-sudah meminta-minta, hari ini aku akan bertemu dengan seorang Raja yang akan menuntut satu perjanjian yang telah aku persetujui di dalam Rahim ibuku, iaitu menjadi seorang Khalifah, mentauhidkan Allah serta mengikut ajaran Rasulullah.
Tiada lagi pangkat, anugerah, pekerjaan dan status. Hari ini yang berguna hanyalah bekalku yang telah kukumpul selama dibiarkan Allah melata dibuminya. Terlintas masa-masa yang aku buang begitu sahaja, menonton ceritera manusia dilensa kamera, terlintas pertandingan senyap antara rakan-rakan yang tak pernah terzahir di lidah bagi menunjukkan aku terhebat dari segi rupa, harta gaya dan segala-galanya yang pada hakikatnya menjerat orang lain yang kurang dariku yang lemah imannya meragui keadilan Allah dalam membahagikan nikmat; akulah yang mencorongkan mereka ke situ, terlintas bagaimana aku melambat-lambatkan solat di kala rancangan kegemaran terpacul di kaca televisyen, little did I know, itulah bekal yang aku lengahkan. Hari ini tiada lagi, perbualan kosong bersama rakan-rakan, umpatan-umpatan yang aku mulakan dengan kata-kata ‘bukannya nak mengumpat tapi…’, tiada lagi keluh kesah berpanjangan manusia tidak bersyukur yang gagal melihat nikmat Allah, dan tiada lagi gelak ketawa berlebih-lebihan yang padahal tidak berguna sedikitku kepadaku, mulut aku telah terkunci.
Hari ini, aku tersedar dari mimpi yang panjang, rumah yang selama ini aku hias dengan segala-gala kemewahan yang aku ada, yang aku banggakan kerana dipuji-puji semua akan aku tinggalkan, rumah aku rupanya hanyalah ruang kecil di dalam lahad yang mungkin sahaja menjadi lebih kecil daripada apa yang ada sehingga berselisih tulang-tulangku ketika disoal malaikat, tetapi mungkin juga boleh menjadi seluas-luasnya, lebih luas dari rumah yang aku banggakan itu, tetapi….
Hari, tidak ada apa pun yang dapat menolongku, aku memandang anak-anakku yang aku salut dengan kemewahan dan dunia segala bagai. Berapa lama dapat mereka tahan lidah itu dari melupakan kematian yang harus diambil pengajaran pada hari ini dan berapa lama dari sekarang mereka akan ketawa semula dan meneruskan kehidupan mencari sebanyak-banyak bekal dunia seperti biasa. Aku perlukan bantuan, lebih dari sekadar bacaan Yassin mingguan…
Manusia bisa menangis, tetapi itu tidak akan membawaku ke syurga. Apabila menaiki kenderaan terakhirku, aku sedar…aku telah tertipu..aku sangat amat mahu dikembalikan ke dunia…diberi peluang kedua melunaskan janji yang telah lama aku lupakan, atau aku sangka telah aku jalankan padahal jauh menyimpang dari yang diajar Nabi kita….tetapi sudah terlambat… Aku sungguh tertipu dengan kemilau dunia…”
…………………………………….................................
“Rebutlah lima perkara sebelum datang lima perkara lain, yaitu masa muda engkau sebelum datangnya hari tua, masa sehat engkau sebelum dilanda sakit, masa kaya engkau sebelum masa miskinmu, masa lapang engkau sebelum datangnya waktu sibuk, dan masa hidup engkau sebelum datangnya saat kematian.”
(Hadith Riwayat Muslim dan Tirmizi dari Amru bin Maimun r.a.)
No comments:
Post a Comment