Kerapkali apabila bertemu dengan orang yang berakhlak baik, kita akan memuji-muji ketinggian akhlaknya. Namun akhlak yang baik itu tidak datang dengan mudah, biarpun iman tidak diwarisi, tetapi keturunan yang baik akan menjamin generasi yang baik.
Sebagai contoh, perihal ulama’ sufi Syeikh Abdul Qadir Jailani, beliau bukan beribu-bapakan calang-calang orang. Kedua ibu bapanya Abu Salleh dan Aminatul Khair merupakan dua manusia yang begitu menjaga diri dari berbuat dosa dan perkara-pekara syubhah dan mencapai taraf wali di akhir hayat mereka.
Tanpa ibu bapa yang serius mentauhidkan Allah bagaimanakah dapat seseorang menyuruh atau membentuk seorang anak menjadi seperti Syeikh Abdul Qadir Jailani?
’seperti ketam mengajar anak berjalan lurus’
Namun kebanyakan antara kita sering lupa yang kita sendiri sangat bertanggungjawab besar dalammenentukan siapakah dan jenis apakah zuriat yang bakal dilahirkan kelak?
Seorang yang melanggar perintah Allah kan dia? Lembut hatikah dia? Malas bersolatkah dia? Suka mementingkan hiburan kah dia? Kedekutkah dia? Takburkah dia?
Sifat-sifat dan hubungan Allah dengan kita sekaranglah yang akan mencorakkan anak itu dan bukannya hanya ketika didikannya nanti. Amalan itu harus bermula dari kita sendiri. Kita malas, malaslah anak kita. Kita suka menjawab dengan ibu bapa, menjawablah anak kita kelak.
”Amat besar kemurkaan Allah apabila kamu mengatakan sesuatu tetapi kamu sendiri tidak melakukannya” (Al-Saff 61:3).
Sungguhpun soal hidayah itu adalah 100% milik Allah di mana, boleh sahaja anak yang dilahirkan oleh ibu bapa yang soleh dan solehah menjadi seorang yang dimurkai Allah kerana ianya diturunkan sebagai ujian untuk ibu bapanya seperti kisah anak Nabi Nuh dan isterinya yang kafir, tetapi usaha kita untuk lebih bertanggungjawab untuk menjaga hubungan dengan Allah dan hubungan dengan manusia sekeliling adalah satu usaha yang dilihat Allah sebagai perjuangan untuk menegakkan syariat. Insya Allah jika ujian seperti yang disebutkan bukan untuk kita, perihal keturunan itu akan memainkan peranan penting.
Renungan: Impian untuk mendapatkan anak yang beriman, dan cantik akhlak dan peribadinya adalah impian semua orang tapi tidak semua pengimpi itu beriman atau berperibadi dan akhlak cantik bukan? Tapi di mana hendak tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi?
Renungan 2: Kita gusar jika persiapan perkahwinan tidak sempurna, baju, pelamin, hantaran dll, tetapi itu semua hanya berguna sehari sahaja, mari kita tanya diri, bagaimana persediaan iman, taqwa, akhlak dan peribadi yang akan dibawa ke akhir hayat? Cukup bersediakah? Atau kita akan menjadi seperti yang tersalah tafsir tujuan dijadikan bumi iaitu sebagai persinggahan. Yang persinggahan dibuat cantik, destinasi sebenar ibarat pondok buruk usang.
Kisah Epal Hijau
"Indah sungguh suasana di tepi sungai ini. Airnya mengalir tenang dan anginnya bertiup lembut. Biarlah saya duduk di sini untuk berzikir kepada Allah," kata Abu Salleh sendirian lalu duduk di tepi sungai.
Sungai itu terletak di sebuah pekan kecil bernama Jilan. Di situlah tempat tinggal Abu Salleh. Dia berasal dari keturunan Imam Hassan, salah seorang cucu Nabi Muhammad.
Ketika dia sedang berzikir, terpandang olehnya sebiji epal hanyut di tebing sungai. Perutnya yang memang belum diisi sejak awal pagi berbunyi beberapa kali. "Mungin ini rezeki untuk saya," katanya lalu mengambilnya.
Abu Salleh memakan sebiji epal itu sehingga habis. Tiba-tiba dia berdiri dengan wajah yang terkejut, "Saya memakan epal ini tanpa izin tuannya. Tentu pemilik epal ini berada di hulu sungai."
Abu Salleh berjalan menyusur tebing sungai menghala ke hulu sambil memerhati kesekeliling kalau-kalau ada pokok epal di situ. Jauh dia berjalan meninggalkan pekan Jilan. Dia terus berjalan sehingga akhirnya dia menemui sebuah ladang epal
"Syukurlah akhirnya saya menemui ladang epal. Saya yakin epal yang saya makan tadi datang dari ladang ini. Lebih baik saya segera menemuinya."
Abu Salleh terus memasukki ladang epal itu dan menemui pemiliknya. Pemilik itu bernama Sheikh Abdullah, berasal dari keturunan Imam Hussin, salah seorang cucu Nabi Muhammad juga. Beliau ialah seorang yang kuat beribadat dan disegani oleh penduduk di kawasan itu.
"Saya memohon maaf dan mohon dihalalkan sebiji epal yang saya memakannya," pinta Abu Salleh kepada Sheikh Abdullah.
Sheikh Abdullah memerhatikan Abu Salleh untuk beberapa ketika. Namun terdetik di hatinya sedikit kekaguman kerana selama epalnya yang hanyut tidak pernah pun datang sesiapa yang meminta dihalalkan sebiji epal lalu dia tersenyum. Dia menarik nafas panjang dan berkata, "Saya boleh memaafkan saudara dengan satu syarat."
"Katakanlah apakah syarat itu? Saya akan memenuhinya."
"Saya mahu saudara bekerja di ladang epal ini selama dua belas tahun!"
Tanpa banyak soal, Abu Salleh mengangguk dan menyatakan persetujuannya. Bekerjalah Abu Salleh di ladang epal milik Sheikh Abdullah itu selama dua belas tahun dengan penuh amanah dan tanggong jawab kerana mahu dihalalkan sebiji epal hanyut yang dimakannya. Sheikh Abdullah memerhatikan tingkah laku Abu Salleh sepanjang tempoh itu dan mula tertarik hati. Dia bercadang untuk mengahwinkan puterinya dengan Abu Salleh.
Akhirnya tamatlah tempoh dua belas tahun lalu Abu Salleh menemui Sheikh Abdullah. "Saya sudah menunaikan syarat tuan. Halalkanlah epal yang saya makan itu."
Sheikh Abdullah terpegun dengan kata-kata Abu Salleh yang jelas menggambarkan dia adalah seorang anak muda yang jujur lalu dia berkata, "Tetapi saya ada satu lagi syarat ke atas saudara sebelum saya dapat menghalalkan epal itu."
"Katakanlah syarat itu, saya akan tunaikan."
"Syaratnya ialah, saudara mesti mengahwini puteri saya. Tetapi biarlah saya berterus terang tentang keadaan puteri saya itu."
"Katakanlah! Saya akan mematuhinya."
"Puteri saya bernama Ummu Khair Fatimah. Dia seorang yang lumpuh, pekak, buta dan bisu. Mahukah saudara mengahwini puteri saya itu sebagai syarat kedua untuk saya memaafkan saudara?"
Sejenak Abu Salleh termenung membuatkan dada Sheikh Abdullah berdebar-debar. Akhirnya Abu Salleh memandang ke arah Sheikh Abdullah dan tersenyum, "Saya akan mengahwini puteri tuan sekiranya tuan menghalalkan sebiji epal yang saya makan tanpa izin dua belas tahun yang lalu."
"Baiklah. Saya akan menghalalkan sebiji epal yang saudara makan itu sekiranya saudara mengahwini puteri saya."
Maka berlangsunglah satu majlis perkahwinan di antara Abu Salleh dan Ummu Khair Fatimah. Pada malamperkahwinan itu, Abu Salleh masuk ke bilik pengantin dan memberi salam.kepada isterinya. Sebaik sahaja isterinya menoleh ke arahnya. Wajah Abu Salleh berubah kerana dia amat terkejut lalu berlari ke ruang tamu menemui bapa mertuanya, Sheikh Abdullah kerana wanita yang menoleh itu kelihatan sangat cantik dan sempurna sifatnya.
"Adakah seorang perempuan lain di dalam bilik pengantin? Di manakah isteri saya yang lumpuh, buta, pekak dan bisu itu?"
Sheikh Abdullah tersenyum mendengar pertanyaan Abu Salleh lalu menjawab, "Perempuan yang berada di dalam bilik pengantin itu ialah puteri saya, Ummu Khair Fatimah. Saya mengatakan dia lumpuh kerana kakinya tidak pernah menjejak ke tempat maksiat. Saya mengatakan dia pekak kerana dia tidak pernah mendengar perkara yang terlarang. Saya katakan dia buta kerana dia tidak pernah melihat perkara yang haram dan saya mengatakan dia bisu kerana dia tidak pernah menuturkan sesuatu yang sia-sia."
Tersenyumlah Abu Salleh sebaik sahaja Sheikh Abdullah menghabiskan kata-katanya lalu dia menadah tangan, "Ya Allah! Hambamu mengucapkan syukur yang tidak terhingga!"
Hasil perkawinan Abu Salleh dan Ummu Khair Fatimah ini lahirlah seorang ahli agama yang terkenal diberi nama Sheikh Abdul Kadir Jailani. Beliau digelar Mahyuddin yang bermaksud, Yang menghidupkan Agama!
Subhanallah, ianya sebuah epilog kehidupan yang hebat. Ramai antara kita yang pandai tapi kurang bijak ini jelas kerana tidak meng'ibrah' dari kisah sejarah, terdapat banyak kisah-kisah kehidupan tokoh2 ilmu agama yang kalau diamati pastinya memberi kesan terhadap diri. Semuanya tertakluk pada hati. Moga Allah memelihara kamu dengan mengekalkan hatimu yang suci.
ReplyDeleteperkongsian yg sangat menarik, sungguh sirah menrupakan antara sumber motivasi yg mampu menggetarkan jiwa dan meningkatkan iman. jzk ukthi.semoga Allah merahmati
ReplyDelete