Teguran Allah ni datang dalam berbagai
cara. Mungkin selama ini, di kala kita sedang lena diulit nikmat, dengan lemas
didakap bahagia, Allah pernah memanggil kita. Cumanya, barangkali panggilan itu
terlalu lembut untuk kita dengari. Umpama bunyi kokokan ayam di pagi hari, dek
kerana terlalu selalu didengari panggilan itu seakan-akan basi. Seakan tidak
kedengaran lagi.
Panggilnya Allah akan kita, bukan kerana
kita lupa akan Dia, tapi sekadar menegur seorang kekasih yang dulunya berjanji
setia, yang tidak lekang Allah dari lintasan lidah dan hati, yang
malam-malamnya lebih banyak terisi menangisi kerinduan seorang hamba kepada
Penciptanya, yang masa lapangnya penuh dengan gambaran inspirasi apa yang mahu
diperbuat akan lebih dekat dan dicintai Kekasih Agung itu. Ya, Allah memanggil
hambanya yang itu. Allah cemburu barangkali.
Ternyata hamba itu tidak sekuat mana
tatkala ditaburi nikmat. Umpama kata-kata sahabat kepada Rasulullah saw “ Ya
Rasulullah, kami tidak apa diuliti kemiskinan, kerana kami tahu kami mampu
menghadapi ujian ini, yang kami takut adalah ujian kekayaan, kemewahan kerana
kami takut kami tidak berdaya menghadapinya”.
Dan Allah sedar akan kekurangan hambanya
itu, Dia sudah awal-awal lagi tahu lemahnya di hamba tatkala ditaburi nikmat
berbagai arah. Dan kerana itulah dia memanggilnya. Tapi, malang sekali kita
terlalu leka untuk mendengar panggilan itu.
…Dan kerana sayang, Allah memanggil lagi,
namun kali ini panggilan itu kasar sekali. Berupa ujian yang mungkin tidak kita
suka, yang berat, yang menyakitkan, yang meruntun hati. Namun hakikatnya itu
hanyalah panggilan Allah terhadap hamba yang masih dicintaiNya, agar
cepat-cepat sedar, supaya berpaling dan sedar, hanya Allah sandaran hati,
sandaran seluruh jiwa raga.
Jadi ingatlah jangan marah ketika Allah
membaling batu memanggil kita kerana apabila Allah melemparkan kain sutera kita
terlalu alpa untuk berpaling kepadaNya.
Alhamdulillah. Ahlan Wa Sahlan wahai ujian.
Selamat berpesta, sesungguhnya kita masih disayangi Allah. Wallahu’alam.