Sejak kebelakangan ini ramai artis-artis dilihat memilih jalan hijrah menutup buku lama kejahiliahan bagi memulakan langkah baru dengan jiwa fitrah. Daripada berjambul perang, dan berbaju kecil, kini mereka anggun berbusana yang lebih menutup aurat. Daripada melagukan nyanyian berselera cinta manusia yang mendayu-dayu lagi melalaikan, mereka kini selesa memuji-muji Allah dan menghambakan diri disebalik bait-bait lagu.
Walaupun di hati kecil ada yang mempertikai penghijrahan itu kerana apa yang sebahagian daripada mereka labelkan sebagai hijrah itu masih pekat terpalit kejahiliahan, seharusnya kita cuba berbaik sangka dan melihat ini sebagai satu process sebelum penghijrahan yang lebih bersih.
“Everyone has their own story to tell, and it is not the same as yours”
Oleh itu adalah tidak adil untuk kita menidakkan usaha mereka sebegitu kerana kita masing-masing datang daripada lingkungan keluarga dan kehidupan yang berlainan. Seseorang yang ibu bapanya tidak pernah mengenal agama dan tidak mengamalkan kehidupan beragama apatah lagi mengajarkan kepadanya agama hendak dibandingkan dengan seorang anak yang hidupnya ditarbiah 100% dengan agama sedari proses ta’aruf perkenalan ibu bapa? Tidaklah adil perbandingan yang sebegini. Sedangkan yang paling penting itu usaha dan usaha yang berterusan sehingga ke akhirnya dan bukanlah ‘output’ semata.
Saya pernah membaca tulisan Prof. Muhd Kamil berkenaan dengan hijrah yang menurutnya (lebih kurang) “Orang kata, nak tahu haji seseorang itu mabrur atau tidak,lihat perubahannya apabila dia pulang ke tanah air. Kalau begitu orang macam saya lebih senang lah nak dapat haji mabrur sebab dulu saya teruk berbanding dengan orang yang sedia alim.”. Namun lihat sahaja siapa Prof. Muhd Kamil pada hari ini, ternyata penghijrahannya membawa beliau ke satu daerah penghambaan kepada Allah dan dakwah (ini yang paling penting) yang jauh lebih baik daripada mereka-mereka yang mungkin dahulu mengatakan ‘baguslah dah berubah’.
Pengisian Hijrah
Sebaliknya peluang dan yang lebih penting bimbingan dan tunjuk ajar harus diberikan kepada mereka yang memilih jalan hijrah ini agar tidak hanya terlekat di takuk langkah pertama hijrah yang belum lagi mencapai hakikat sebenar hijrah itu. Walaupun hijrah itu adalah langkah yang besar namun langkah yang lebih besar dan sistematik bagi mencapai tujuan hakiki adalah pengisian yang dilakukan dengan perubahan ini. Disinilah datangnya pencarian ilmu, dan kesungguhan dalam mengamalkan ilmu yang dipelajari. Dapat dilihat, artis yang memilih jalan ilmu dan amal ini lebih ‘indah’ jalan hijrahnya malah di buka pula peluang oleh Allah SWT untuk memberi inspirasi kepada mereka yang lain untuk turut mengikuti langkah yang sama.
Kita Pula Bagaimana?
Rata-rata kita sangat suka mendengar berita hijrah artis. Ini adalah kerana sebagai manusia naluri kita amat dekat dengan kejutan dan elemen-elemen suspen. Kita berasa teruja dengan sesuatu yang drastik. Ini adalah kerana ramai di kalangan artis (mohon maaf) yang menunjukkan perubahan 360’ bagi luaran dalam melakukan perubahan. Jadinya ini adalah menarik. “Wah bagus lah berubah. Dulu pakai seksi-seksi tangkap gambar dekat club sekarang dan bertudung litup”. Namun kadang-kadang perasaan ‘sedia’ bagus inilah yang menjadikan kita ralat untuk berubah atau ralat untuk membaiki diri. Kita senang menganggap diri kita sudah betul, dan sekarang artis ini sedang menuju kepada jalan yang betul seperti kita. Salah tu!
Sepatutnya apabila melihat ramai yang berhijrah di sekitar, kita yang sudah sedia berasa di landasan syariat melakukan pemeriksaan ke atas diri kita sama ada benar atau tidak jalan yang kita pilih. Yang bertudung, sudah labuh melepasi dada atau belum? Kaki kita iaitu sebahagian daripada aurat, sudah kita tutupi atau belum? Ini tidak, kita sibuk mengikuti perkembangan hijrah artis padahal kita sendiri di takuk lama.
Yang paling suka kita komen hanyalah ‘Terukkk sungguh dia tu duluu. Sekarang dah bagus’namun kita tidak sedar bahawa syaitan sedang bergembira berkata “Dari dulu dia tu sampai ke sekarang memang begitu”
Kita tidak mengambil pengajaran daripada perubahan yang berlaku di manusia sekeliling kita sebaliknya hanya menyerap cerita-cerita di tabloid sebagai hiburan semata-mata.
Penutup
Apabila melihat orang memakai baju tidak berlengan dan bertudung, kita pasti ketawa atau menjeling kehairanan “Pakai apa macam ni”. Apabila orang memakai baju yang sangat kecil sangat kecil dan sendat, kita juga berasa tidak selesa dan mempertikaikan niatnya berpakaian begitu. Namun, semua itu sama sahaja dengan kita yang tidak menutup aurat dengan sempurna tidak kiralah jika di bahagian kaki dan tidak memakai tudung melepasi dada, walaupun tudung itu sangat-sangatlah cantik. Aurat tetapi aurat dan kecantikan busana atau tudung itu tidak mengubah spesifikasi yang ditetapkan Al-Quran. Masa kan kaki ‘kurang darjat’ dan perlu diremehkan sebab terletak di bawah? Ataupun, bagi kes ini kita mahu menukar mazhab bagi membenarkan perbuatan kita? Terpulang.
I am reminding myself before reminding you. Happy thinking!
No comments:
Post a Comment