Sunday, April 3, 2011

Cerita Khalifah

Hobi saya ialah membaca. Antara bacaan kegemaran saya ialah sirah dan kisah-kisah Khulafah Ar-Rasyidin. Bagi saya sirah adalah bacaan istimewa dan berjaya menyihir kegilaan membaca di hati saya. Biarpun diulang-ulang baca, tidak pula pernah merasa bosan.

Di sekolah, pelajar-pelajar pun suka mendengar sirah kalau menegur mereka. Rasa fresh kot! Yer lah, kat TV mana ada. Dalam TV banyak hantu berterbangan dan bersembunyi di pokok-pokok saja (dan hilang bila kita toleh untuk cek kenapa rasa meremang bulu roma). Jadi tak dapek lah, cerita hantu dah tak dilayan pelajar-pelajar.

Sirah

Kisah-kisah Nabi dan para sahabat tidak pernah gagal untuk menyuntik inspirasi, semangat, kekuatan jiwa, dan memberi pencerahan bermakna di kala perasaan lemah menyelubungi.

Kisah-kisah ini jugalah yang saya jadikan perbandingan dalam kehidupan seharian yang sangat jauh dari realiti dan hakikat sebenar fitrah kita. Tetapi tidak pula niat saya untuk mengatakan yang saya berjaya meneladaninya. Kerana sebetulnya jika dapat menjejak sedikit sahaja pun amat saya syukuri.

Manusia Berubah

Berlalunya waktu dan zaman menyingkap perubahan hidup manusia. Ibarat pembentukan batu-batu stalaktit dan stalakmit di dalam gua. Ianya mengambil masa yang sangat lama, kadangkala beratus-ratus tahun. Perubahan yang berlaku sangat halus dan amat perlahan sehingga seakan-akan tak terjadi di mata kasar. Namun sedar-sedar, batu itu sudah tersergam menghiasi atap dan perut gua.

Begitu juga dengan perubahan perilaku manusia dari zaman Nabi sehingga kini. Ulama’ –ulama’ zaman dahulu dan kini pun terlalu jauh berbeza. Sememangnya kita tidak layak membandingkan iman kita yang senipis kulit bawang dengan para sahabat, tabii dan tabiin, namun hanya melalui perbandingan dan kesedaran inilah realiti dapat kita tonton dibawah mikroskop hati yang semakin lama semakin kelam di tutup kejahiliahan moden.

Umar Garang

Dahulu, Umar ditakuti kerana ketegasannya sehinggakan apabila Umar melintasi kota kanak-kanak akan berlarian sambil berkata ‘Umar datang mari kita lari’. Kejadian ini menggambarkan betapa Umar amat digeruni kerana perwatakan dan keras hatinya sebagaimana diketahui umum.

Namun ketegasannya bertempat dan bukanlah tak tahu pucuk pangkal. Ketegasan dan garangnya Umar juga tidak pula menjadi bencana, factor kelemahan dan bahaya kepada agama. Kerana apa? Kerana dalam kehidupan para sahabat, sebagaimanapun sifat azali mereka, semuanya dilapisi dan didasari dengan kekuatan iman di jiwa. Justeru, tidak timbul kegusaran di hati penduduk yang dipimpin kerana jiwa khalifah mereka adalah jiwa seorang hamba, hamba Allah yang Esa.

Abu Bakar

Kelembutan jiwa dan sifat Abu Bakar juga tidak pula menjadi sebab beliau untuk lemah dalam mentadbir negara di awal-awal kewafatan Nabi Muhammad saw, di mana semua masalah negara seperti kemunculan nabi-nabi palsu, kawasan jajahan dan keengganan membayar zakat di kalangan penduduk, mula membuka tabir kekhalifahannya.

Khalifah Berjiwa Kental

Banyaknya orang-orang yang murtad dan nabi-nabi palsu membuat para sahabat sangat ketakutan, dan kondisi kemurtadan di sekitar Madinah menjadi lebih memprihatinkan. Justeru sebahagian sahabat mengusulkan orang-orang yang murtad dan nabi-nabi palsu sahaja diperangi, sedangkan orang-orang yang tidak membayar zakat tidak perlu diperangi.

Umar r.a mengatakan bahawa;

“Selama orang mengucapkan ‘La ilaha illallah’ selama itu pula mereka jangan diperangi. Dan setelah mengucapkan kalimah tauhid, diri dan harta mereka terjaga, tidak perlu engkau mengangkat senjata untuk memerangi orang yang mengingkari berzakat. Padahal mereka telah diberi keamanan.”

Setelah Ali r.a juga berkongsi kesepakatan dengan pemikiran Umar r.a, Abu Bakar yang ketika itu menjadi Khalifah berseorangan dalam pendiriannya. Lantas beliau berkata:

“Demi Allah, jika sahaja orang-orang mengurangi pembayarannya walaupun sebesar tali yang biasa digunakan untuk mengikat binatang, sebanyak mana yang biasa dibayar kepada Rasulullah saw, aku akan memerangi mereka.”

Abu Bakar memaksudkan bahawa, orang yang tidak mahu membayar zakat, bererti mereka ingin menghancurkan satu tiang agama sehingga Islam akan roboh.

Abu Bakar berkata lagi:

“Demi Allah, akan aku perangi orang-orang yang membezakan solat dan zakat”

Setelah itu Abu Bakar pantas meninggalkan Umar r.a dan Ali r.a dan pulang ke rumah. Pada hari itu juga, Abu Bakar r.a bertekad mahu berperang sendirian menjulang prinsip yang dirasakan benar dan diambil daripada Rasulullah tanpa ada perubahan sedikitpun. Maka pergilah Abu Bakar r.a menaiki unta dengan niat mahu berjihad seorang diri meredah padang pasir yang panas.

Ali r.a yang mengenderai kudanya dengan kencang menyusul memujuk Abu Bakar dan berkata kepadanya: “Amirul Mukminin, kembalilah. Masukkan pedang ke sarungnya. Jika Khalifah mengalami suatu musibah, islam tidak akan tegak.” Maka kembalilah Abu Bakar. Setelah itu semua pasukan tentera Islam dikirim ke seluruh penjuru kawasan jajahan untuk memerangi golongan yang tidak mahu berzakat itu.

Terharu bukan, membaca kisah-kisah pengorbanan para sahabat demi cinta kepada Allah dan Rasul dalam menegakkan agama Islam?

Pengorbanan

Pahit jerih silih berganti. Keseronokan berkeluarga entah ke mana. Luka-luka dan cedera tak usah dikira. Tetapi kesucian jiwa dan keluhuran hati mereka tiada tolok bandingannya. Ini lah kisah manusia-manusia yang menghambakan hampir seluruh hidup mereka bagi memastikan risalah dan agama yang dibawakan Nabi Muhammad s.a.w sampai kepada kita pada hari ini.

Itu cuma sedikit daripada coretan keperitan yang dihadapi para sahabat dalam menegakkan tiang agama kita. Banyak lagi kisah lain yang bisa saja dan dengan senangnya menyebabkan kita menitis air mata. Menitis air mata kerana apa? Kerana sebak, terharu, sedih, bersyukur, berterima kasih, mungkin juga kecewa dengan diri sendiri?

Kadangkala kita seronok bersuka-suka. Hujung minggu mengatur rencana mahu ke mana, nak tengok cerita apa? Nak makan di restoren mewah mana? Nak membeli-belah dan shopping apa? Namun tanyalah hati, tiliklah sejarah pengorbanan khalifah tercinta. Dan soal lah diri dengan satu persoalan yang mudah. Kemudian jawab lah sejujurnya.

“Untuk Islam sebeginikah khalifah-khalifah berkorban, bermati-matian, menghabiskan sisa-sisa perjuangan sehingga hembusan nafas terakhir semata-mata untuk memastikan agama ini sampai kepadaku?”

Terkesima dengan soalan itu sendiri bukan?

Doa Sedih Perang Badar

Pada malam itu, malam jum’at 17 Ramadhan 2 H, Nabi Allah Muhammad s.a.w lebih banyak mendirikan shalat di dekat pepohonan. Sementara Allah menurunkan rasa kantuk kepada kaum muslimin sebagai penenang bagi mereka agar bisa beristirahat. Sedangkan kaum musyrikin di pihak lain dalam keadaan cemas. Allah menurunkan rasa takut kepada mereka.

Mengikut logik akal, tentera Islam terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan tentera golongan kafir. Berperang ketika Perang Badar boleh diibaratkan seaka-akan menghulurkan leher sendiri untuk dilapah dengan senang, jika dilihat dengan mata kasar. Mana mungkin tentera yang sedikit itu akan dapat mengalahkan tentera-tentera yang berlipat kali ganda jumlahnya dan lengkap persiapannya. Tetapi rencana Allah siapa yang tahu? Tiada siapa. Dan jika sahaja Allah mahu memberikan ajaiban, itu sesungguhnya amat mudah bagi Nya.

Malam itu, dalam keheningan malam Rasulullah s.a.w memanjatkan do’a kepada Allah memohon pertolongan dan bantuan dari-Nya, mengharap kemenangan bagi kaum Muslimin.

Berberulang-ulang Baginda menyeru:

“Ya Hayyu Ya Qayyum...Ya Hayyu Ya Qayyum" mengisyaratkan pengharapan dan sandaran yang teramat sangat.

"...Ya Allah, jika Engkau berkehendak (orang kafir menang), nesacaya Engkau tidak akan disembah. Ya Allah, jika pasukan yang kecil ini Engkau binasakan pada hari ini, nescaya Engkau tidak akan disembah…..”

Beliau s.a.w mengulang-ulang do’a ini sampai selendang beliau tarjatuh karena lamanya berdo’a, kemudian datang Abu Bakar As Shiddiq r.a memakaikan selendang beliau yang terjatuh sambil memeluk beliau… “Cukup-cukup, wahai Rasulullah…”

Tentang kisah ini, diabadikan Allah dalam FirmanNya,

إِذْ يُوحِي رَبُّكَ إِلَى الْمَلَائِكَةِ أَنِّي مَعَكُمْ فَثَبِّتُوا الَّذِينَ آَمَنُوا سَأُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ فَاضْرِبُوا فَوْقَ الْأَعْنَاقِ وَاضْرِبُوا مِنْهُمْ كُلَّ بَنَانٍ (12) ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ شَاقُّوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَمَنْ يُشَاقِقِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (13)

“Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap ujung jari mereka. (Ketentuan) yang demikian itu adalah karena sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya; dan barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah amat keras siksaan-Nya.” (Qs. Al Anfal: 12-13)


Dan hari itu juga,Allah mengabulkan doa Nabi tercinta kita, dan menanglah kaum Muslimin dalam Perang Badar. Kemenangan yang didasari keyakinan dan kebergantungan kepada Allah semata-mata dan tiada yang lain. Juga kemenangan yang dicipta agar mengalirnya dan tertancapnya Islam di hati insan-insan terpilih sehingga ke akhir zaman dan tidak terhenti begitu sahaja dengan kewafatan Nabi selepas itu. Oleh itu tidak mungkinlah dapat kita membandingkan kekuatan tentera Islam dan tentera kafir senadainya tujuan dan niat berperang itu sendiri sudah menjawab keajaiban yang bakal berlaku.


Sayangnya Nabi s.a.w kepada kita umat akhir zaman.

Penutup

Persoalannya sekarang berbaloikah pengorbanan mereka semua untuk kita? Ya ‘kita’, golongan manusia yang tidak pernah bersua dengan Rasulullah dan merasai keperitan hidup menyebarkan Islam tetapi dapat merasa nikmat beragama. Sama-sama lah kita membuka minda dan meneliti refleksi di cermin sejarah ini. Dan soal lah berkali-kali “Untuk kitakah mereka berkorban sebegini rupa?”

Ya, jawapannya ya, untuk kita, kita yang…sebenarnya sedikit sekali mengikut jejak mereka dalam beragama. Sedih tetapi inilah kebenarannya, kita dengan senyuman dan gelak tawa, menggantikan pahit jerih perjuangan silam dengan kehidupan penuh warna dan suka di atas pentas bernama dunia.Astaqfirullahalazim.

p/s: aduh.sedihnya.

3 comments:

  1. jaime, thanks for the wake-up call.

    i think i'm one of those people who "seronok bersuka-suka. Hujung minggu mengatur rencana mahu ke mana, nak tengok cerita apa? Nak makan di restoren mewah mana? Nak membeli-belah dan shopping apa?"

    i've lost my bearings somewhat and it's good to have wonderful friends to pull me in the right direction again.

    :)

    ReplyDelete
  2. tak lah syada...sangat jauh lah i nak pull orang

    more to pulling myself and at the same time i hope the action of pulling myself might trigger others to pull themselves too..

    and i'm glad you're pulled !:)

    ReplyDelete