Tuesday, January 8, 2013

Tatkala Allah 'Membaling Batu'



Teguran Allah ni datang dalam berbagai cara. Mungkin selama ini, di kala kita sedang lena diulit nikmat, dengan lemas didakap bahagia, Allah pernah memanggil kita. Cumanya, barangkali panggilan itu terlalu lembut untuk kita dengari. Umpama bunyi kokokan ayam di pagi hari, dek kerana terlalu selalu didengari panggilan itu seakan-akan basi. Seakan tidak kedengaran lagi.

Panggilnya Allah akan kita, bukan kerana kita lupa akan Dia, tapi sekadar menegur seorang kekasih yang dulunya berjanji setia, yang tidak lekang Allah dari lintasan lidah dan hati, yang malam-malamnya lebih banyak terisi menangisi kerinduan seorang hamba kepada Penciptanya, yang masa lapangnya penuh dengan gambaran inspirasi apa yang mahu diperbuat akan lebih dekat dan dicintai Kekasih Agung itu. Ya, Allah memanggil hambanya yang itu. Allah cemburu barangkali.

Ternyata hamba itu tidak sekuat mana tatkala ditaburi nikmat. Umpama kata-kata sahabat kepada Rasulullah saw “ Ya Rasulullah, kami tidak apa diuliti kemiskinan, kerana kami tahu kami mampu menghadapi ujian ini, yang kami takut adalah ujian kekayaan, kemewahan kerana kami takut kami tidak berdaya menghadapinya”.

Dan Allah sedar akan kekurangan hambanya itu, Dia sudah awal-awal lagi tahu lemahnya di hamba tatkala ditaburi nikmat berbagai arah. Dan kerana itulah dia memanggilnya. Tapi, malang sekali kita terlalu leka untuk mendengar panggilan itu.

…Dan kerana sayang, Allah memanggil lagi, namun kali ini panggilan itu kasar sekali. Berupa ujian yang mungkin tidak kita suka, yang berat, yang menyakitkan, yang meruntun hati. Namun hakikatnya itu hanyalah panggilan Allah terhadap hamba yang masih dicintaiNya, agar cepat-cepat sedar, supaya berpaling dan sedar, hanya Allah sandaran hati, sandaran seluruh jiwa raga.

Jadi ingatlah jangan marah ketika Allah membaling batu memanggil kita kerana apabila Allah melemparkan kain sutera kita terlalu alpa untuk berpaling kepadaNya.

Alhamdulillah. Ahlan Wa Sahlan wahai ujian. Selamat berpesta, sesungguhnya kita masih disayangi Allah. Wallahu’alam.

1 comment: