Bismillahirrahmanirrahim
Iman yang Lemah
Di saat iman jatuh dan sedang lemah, banyak perasaan yang bergelodak di dalam hati. Apa yang sebelumnya kita percaya, kita yakin, mungkin sahaja jadi goyah, was-was, tidak yakin atau percaya lagi.
Apa yang kita pegang sebagai prinsip dan kita jadikan sandaran dan harapan, boleh sahaja hancur dan hilang entah ke mana. Padahal, kita tahu, kita sedar dan sangat percaya bahawa kepercayaan kita disandarkan kepada sesuatu yang betul yakni Janji Allah.
Namun apabila iman jatuh, kita meraba-raba mencari tongkat keyakinan yang dulunya utuh menongkat kita berjalan mengharus arus dunia.Tongkat keyakinan itu juga dulu boleh menolong menongkat orang lain di sekitar kita yang terasa lemah. Seakan-akan satu renjatan, mereka juga merasa kuat setelah keyakinan kita meresap di dalam hati mereka. Mereka berasa selamat acapkali mulut kita mengingatkan janji-janji Allah kepada mereka yang bersabar.
Tapi kerapkali bila tongkat itu dicari-cari dengan menggila waktu itulah ianya hilang entah ke mana.
Apa yang lebih buruk, kadangkala, tongkat itu tidak ditemui lagi. Apatah lagi setelah hebat digasak hujah luaran, perbincangan santai antara rakan sekerja yang tidak menyebelahi keyakinan kita yang dilihat terlalu suci, tulus dan postif, membuta tuli terhadap janji Allah, keyakinan itu langsung hilang.
Di saat ini bergantilah prinsip yang kita percayai selama ini,acuan Al-Quran, module buat mengharungi kehidupan di bumi pemberian Allah dengan prinsip rekaan masyarakat yang lebih popular dan dekat dengan kebiasaan manusia lain. Janji Allah lalu dipandang sepi. Di mulut mungkin mengaku percaya tapi anggota badan semakin menjauhinya.
Keyakinan Boleh Goyah
Sebelum kelahiran Sultan Muhammad al-Fateh lagi, Syeikh Bayram ulama terbilang Turki pernah memberitahu kepada Sultan Murad, ayahanda Sultan Muhammad Al-Fateh bahawa menurut firasatnya, Sultan Murad akan dikurniakan anak yang baik, iaitu seorang pejuang seperti yang dinukilkan di dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang mengisyaratkan bahawa kota Konstantinopel akan ditawan oleh Islam apabila muncul seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.
Kata-kata ini membakar semangat Sultan Murad dan permaisurinya untuk mendidiknya sebaik mungkin kerana telah lama umat Islam menanti saat Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Tambahan pula usaha menzahirkan hadis itu sudah dilakukan sejak zaman Khulafah Ar-Rasyidin tetapi tidak berjaya.
Daripada sebaris kata-kata, ianya mula dipegang sebagai kepercayaan yang jitu oleh, Raja Murad, permaisuri serta warga Turki. Permaisuri sendiri, sejak Sultan Muhammad al-Fateh masih bayi akan membawanya keluar setiap hari untuk memandang Kota Konstantinopel. Kemudian hadis tersebut akan dibacakan kepada Sultan Muhammad Al-Fateh dan penuh yakin Permaisuri menyambung “Dan engkaulah pemerintah yang dimaksudkan itu anakandaku!”
Lihatlah kisah keyakinan yang diresapkan di dalam jiwa Sultan Muhammad al-fateh sejak kecil ini. Ditambah pula dengan didikan yang selari dengan kepercayaan bahawa dialah pemerintah yang baik yang disebutkan itu.Segala-galanya berjalan lancar sehingga beliau dewasa dan mula mentadbir kerajaan Turki.
Namun pada satu ketika, setelah tentera Turki mula menyerang pertahan kota Konstantinopel dalam usaha merebut kota itu, keyakinan yang telah tertanam ini mula goyah kerana usaha menawan kota itu dilihat sukar dan ramai tentera yang syahid. Kesemua usaha mereka untuk menembusi benteng pertahanan Kota Konstantinopel menemui jalan buntu.
Jika dilihat disini, kita pasti bertanya. Begitu mudahkah, perasaan menjadi goyah, keyakinan menurun, padahal kepercayaan ini telah merakar umbi jauh lebih lama dari usia Sultan Muhammad al Fateh sendiri?
Sehingga pada satu ketika Sultan Muhammad al Fateh menyoal gurunya Syeikh Syamsuddin al-Wali, “Tuan guru pernah berkata kota Konstantinopel pasti jatuh ke tangan saya. Tetapi sehingga sekarang belum ada tanda-tanda kota itu dapat kita tawan…”
Pertanyaaan ini mengisyaratkan kegusaran dan keraguan yang mula menapak dihati Sultan kesayangan rakyat itu walaupun tidaklah dan jauh sekali menunjukkan hilangnya keyakinan secara menyeluruh.
“Saya mahu kepastian, bilakah kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan kita”
Dan hanya setelah tuan gurunya diberi ilham oleh Allah untuk menyebut tarikh yang tepat iaitu pada hari ke 53, hari Selasa jam 11 pagi barulah Sultan Muhammad al Fateh berasa gembira dan kembali bersemangat untuk bersungguh-sungguh merebut Kota bersejarah itu.
Ini kisah Sultan Muhammad al-Fateh seorang yang warak dan alim. Baginda sendiri diuji sehingga keyakinannya goyah apatah lagi kita yang bukan siapa-siapa ini. Ya, semudah itulah keyakinan boleh menurun. Tambahan pula apabila diuji dengan hebat, sebegitu hebatnya jugalah cabaran untuk mengekalkan tahap keyakinan di hati.
Takdir
Apabila nasib dan takdir Allah sentiasa meyebelahi kita yakni selari dengan perancangan kita, dapat dilihat, ianya lebih mudah untuk menyekalkan keyakinan. Walaupun kadangkala apa yang kita yakinkan itu sebenarnya tidaklah selari dengan janji Allah. Contohnya seseorang yakin bahawa jika dia berusaha bersungguh-sungguh walaupun dengan menggunakan cara yang kotor, dia akan berjaya. Selagi takdir meyebelahi, mungkin sahaja kepercayaan ini dianggap betul dan tepat dek kerana dilihatnya selama ini jalan inilah yang menuntun kea rah kejayaan.
Namun, apabila kita diuji, jika tidak kuat dalam mempercayai yang sesungguhnya yang kita yakini itulah sebenar-benar kenyataan iaitu Janji Allah yang tak mungkin didustai, kita pasti tergelincir dan menyoal diri sendiri “Betulkah jalan yang aku pilih ini? Benarkah janji Allah ni, mengapa seakan-akan aku sedang ketinggalan ketika orang yang sedang mengecap habuan Allah untuk mereka?Patutkah aku mengikut sahaja jalan seperti yang dilakukan orang lain, nampaknya cara itu lebih dekat dengan hasil? ”
Mengapa Ragu?
Apa yang menyebabkan keyakinan kita terhadap janji Allah itu pudar?
Jawapannya, kurangnya sifat sabar dalam menanti janji itu terlaksana dan tergesa-gesa. Manusia itu dijadikan dalam keadaan tergesa-gesa. Kita berasa ralat menanti saat doa termakbul dan hasrat terlaksana padahal Allah telah berjanji “Berdoalah kepadaKu dan akan Ku perkenankan”.
Tapi itu bukan kegusaran kita, yang kita nanti-nantikan: Bilakah ianya akan diperkenankan?
Kita juga tahu Allah berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 216 “…Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ianya ianya tidak baik bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”
Ini memberi isyarat bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita, yakni bentuk doa yang diperkenankan, mungkin juga gantian kepada sesuatu yang kita doakan yang dirasakan Allah bukan yang terbaik buat kita, atau masa untuk sesuatu hasrat dikabulkan. Namun kadangkala hati seakan-akan degil. Kita tetap mahukan apa yang rasa berkehendak di hati. Jadi,sekarang salah siapa jika akhirnya kita berasa tertekan dengan permainan perasaan yang direka oleh kita sendiri?
Kita juga tahu Allah akan memberikan yang terbaik buat kita antara yang paling baik kerana Allah Maha Mengetahui. Kita tahu Allah itu penuh kasih sayang, yang mana kasih sayang Allah melebihi kasih sayang seorang ibu kepada anak kesayangannya. Nescaya tidak mungkinlah Allah menganiaya kita melainkan setiap yang berlaku disertai hikmah.
Cumanya untuk menukar semua ‘tahu’ ini menjadi keyakinan yang kukuh tidak berganjak lagi, semua ini bergantung kepada cerminan kebersihan hati kita untuk membaca hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap yang terjadi. Jika hati kita sekejap malap betompok dosa, sekejap bersinar penuh cahaya, begitu jugalah kepercayaan kita; turun naik tak mengira masa.
Pengajaran Sirah
Pada hakikatnya kita lupa untuk memerhatikan, menilik sirah dan sejarah perjuangan Islam generasi terdahulu bahawa sesuatu yang baik itu lambat datangnya. Dan sudah memang lumrah, jika benar beriman pasti kita akan diuji. Mungkin lambatnya terkabul sebarang doa dan permintaan inilah ujian kita.
“Ya Rasulullah, mengapa engkau tak berdoa untuk kami, mengapa engkau tak minta pada Allah agar kita segera diberikan kemenangan?
Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya umat-umat sebelum kalian (kerana teguh pada Islam) sebahagian mereka ada yang disiksa dengan cara dibelah mulai hujung kepala sampai hujung kaki dengan menggunakan gergaji sehingga terbelah menjadi dua bahagian. Tapi, itu tak membuat mereka keluar dari agamanya. Bahkan ada yang disisir dengan sikat tajam yang terbuat dari besi, hingga terkelupaslah kulit dan daging mereka daripada tulangnya. Itu pun tak membuat mereka melepas agamanya. Demi Allah, agama ini akan dimenangkan oleh Allah s.w.t dan akan tiba saatnya nanti seseorang akan berjalan secara aman mulai dari Sana’a sampai Hadramaut (tanpa gangguan). Tak ada yang ditakuti kecuali hanya Allah s.w.t. Ia hanya khuatir pada ancaman serigala yang akan menerkam kambingnya. Namun, (ternyata) kalian tidak sabar (mahukan segalanya serba cepat).”
Penantian Yusuf
Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."(Al-Ankabut: 2-3)
Dalam kisah Nabi Yusuf , ketika mana Yusuf bermimpi melihat bulan matahari dan bintang sujud padanya, dia sendiri masih kecil. Sesudah kisah mimpi itu, di dalam Al-Quran Allah menceritakan segala kesedihan yang dilalui oleh Nabi Yusuf dengan terperinci berkenaan perbuatan saudaranya dan orang lain yang berkehendakkannya.
Namun, sehingga menginjak dewasa, belum ada tanda-tanda mimpi Nabi yusuf itu akan tersana. Dan diriwayatkan hanya setelah lebih kurang dalam kurun waktu 40 hingga ke 80 tahun barulah mimpi itu menjadi kenyataan. Tidak pula Nabi Yusuf memberontak menyoal takdir Allah ke atasnya, padahal bagi kita tempoh itu adalah sangat panjang dan menuntut kesabaran yang menakjubkan untuk terus yakin dan percaya bahawa apa yang dijanji Allah itu pasti berlaku.
Kita pula, sudah berapa tahun menyulam doa, tetapi sudah kian pudar yakinnya?
Kisah Uwais
Nabi Muhammad SAW, ketika masih hidup pernah berpesan kepada Saidina Umar Al Khattab agar mencari seorang lelaki bernama Uwais al-Qarni yang berasal dari Yaman. Menurut baginda Nabi, Umar ini harus mencari lelaki ini kerana doanya makbul.
Setelah baginda Nabi wafat, setiap kali musim haji, Saidina Umar Al-Khattab akan menunggu jemaah dari Yaman dan mencari-cari lelaki yang disebutkan Rasulullah itu. Selepas beberapa tahun lelaki yang disebut-sebutkan dulu itu masih belum ditemui sedangkan Nabi telah wafat untuk meminta kepastian.
Namun begitu Umar sangat yakin hadis Rasulullah SAW itu benar dan dia tidak berputus asa mencarinya. Akhirnya setelah setiap tahun menanti-nanti, pada tahun ke-11 barulah Uwais ditemui.
Ya 11 tahun penantian untuk merealisasikan dan membuktikan satu janji yakni hadis Nabi kepada sahabat yang disayangi, iaitu Umar. Lihatlah bagaimana Allah menguji.
Penutup
Pengajarannya disini, mungkin sahaja doa yang kita panjatkan itu belum termakbul, mungkin sahaja apa yang kita impikan tidak terlaksana, mungkin sahaja apa yang didambakan belum sekilaspun kelihatan, tetapi seandainya benar kita di jalan yang lurus, yakinlah. Yakinlah dengan janji Allah dan RasulNya itu. Yakinlah bila tiba masanya, janji itu akan dibawa kepadamu.
Buat masa ini, didiklah sabarmu, bangunkan kembali semangat dan kepercayaanmu, buangkan jauh-jauh semua prasangka burukmu, padamkan segala was-was dan persoalanmu. Sematkan kisah-kisah umat terdahulu sebagai penguatmu.
Yakinlah satu hari nanti apabila Janji itu terlaksana, kau akan menjadi manusia paling ‘menang’. Kerana apa? Kerana kau yakin dan memilih ‘sahabat’ yang betul untuk dituntut janjiNya, iaitu tak lain tak bukan Allah Subhanawata’ala.
what a beautiful entry :)
ReplyDeleteAda 2 perkara apabila diamalkan akan mendapat kebaikan dunia dan akhirat..
ReplyDelete1- Menerima sesuatu yg tidak disukai tetapi
ianya disukai Allah
2- Membenci sesuatu yang amat disukai dan ianya
amat dibenci oleh Allah
suka baca entry ni...saya nak smbik kata-kata yg kat bahagian penutup tu sebagai penguat semangat di kala lemah setelah sekian lama berdoa..namun dirasakan masih belum dimakbulkan...syukran.. :)
ReplyDelete