Thursday, November 18, 2010

Patut Uzlah?

tempat Nabi Muhammad s.a.w menyampaikan khutbah terakhir

Uzlah adalah memencilkan diri dari masyarakat umum dengan tujuan menjaga iman atau mungkin secara lebih logic dengan iman kita pada zaman ini, adalah memencilkan diri kerana lemahnya iman kita yang dikhuatiri akan tertmbah lemah, kurang konsentrasi, jika terlalu banyak berhubung dengan dunia luar.

Antara contoh perbuatan uzlah yang tercatat dalam al-quran sendiri adalah kisah pemuda-pemuda bergelar ashabul-kahfi yang melarikan diri bersama seekor anjing di dalam satu gua kerana tujuan untuk menyelamatkan keimanan dari desakan pemerintah Raja yang zalim yang mana kemudian mereka ditidurkan Allah selama kurang lebih 309tahun.

Gambaran tentang uzlah juga disebut sendiri oleh Nabi Muhammad s.a.w dalam sebuah hadith yang berasal dari Abdullah bin ‘Amr ibnul-‘Ash.

“Ketika kami tengah berada disekeliling Nabi saw, tiba-tiba disebutkan tentang satu fitnah. Lalu beliau bersabda

‘Apabila kalian melihat manusia telah merusak janjinya, meremehkan amanah, saling bertikai satu sama lain menjadi seperti ini (sambil beliau merangkai jemarinya)’

Kemudian aku bertanya ‘Lalu apa yang harus kita perbuat pada saat itu, semoga Allah taala menjadikan aku sebagai tebusanmu?’

Beliau menjawab,

‘Tetaplah tinggal di rumahmu dan kendalikan lidahmu. Ambillah apa yang engkau tahu dan tinggalkan apa yang hatimu menolaknya. Juga hendaknya engkau memperhatikan urusan peribadimu dan tinggalkan urusan masyarakat umum darimu’

Dan disebut pula pada hadits lain, bahawa beliau pernah bersabda ’Itu adalah zaman kekacauan’

Uzlah menuntut kita mengurangkan perhubungan dengan manusia atas dasar menjaga keimanan. Tambahan pula pada zaman sekarang manusia berlumba-lumba mempromosi dan mencari populariti agar dikenali di laman-laman sosial. Perkenalan tidak memerlukan usaha yang berat, hanyalah sekadar menekan butang kekunci di komputer sahaja.

Uzlah juga bukan bermaksud memutuskan silaturahim sebaliknya uzlah lebih berperanan sebagai langkah pencegahan daripada perkenalan-perkenalan atau perhubungan, komunikasi manusia yang lebih banyak menimbulkan dosa jika dibandingkan dengan manfaat yang kita dapat dari kekerapan pertemuan.

Sebagai contoh, kita mungkin saja mengatakan mahu melepak, menonton wayang, menonton perlawanan bola di kedai mamak dan lain-lain dengan kawan-kawan lama untuk ‘catch up’ atau ‘updating session’ namun updating session ini mungkin saja lebih banyak menceritakan hal-hal duniawi yang melibatkan ghibah, mengumpat, percakapan yang tidak membawa kebaikan dan lain-lain dosa berbanding dengan kebaikan seperti dakwah.

Namun begitu bagi lelaki, antara uzlah yang disarankan adalah uzlah dan hidup berjamaah. Sebagai contoh, seseorang haruslah menjaga diri dan mengurangkan aktiviti luar, lepak, berpeleseran, borak kosong dan lain-lain tetapi pada masa yang sama masih menjalankan aktiviti jemaah yang dituntut agama seperti Solat fadhu di masjid, solat jumaat dan lain-lain kerana
‘ dalam solat jemaah itu terdapat kekuatan agama dan kesempurnaaan Islam, serta membuat orang kafir dan atheis tidak rela dengannya’ (Imam al-Ghazali - Minhajul Abidin).

Saranan ini juga dikuatkan dengan sabda Nabi yang menekankan kepentingan berkumpulan disebalik saranan uzlah. Nabi bersabda,
“Hendaklah kalian hidup bersama jemaah. Sebab sesungguhnya bantuan Allah Ta’ala berada pada jemaah. Dan sesungguhnya setan itu adalah serigala bagi manusia. Serigala itu menyergap dan membunuh domba yang terpisah jauh dari kelompoknya serta menyendiri (dari kelompok, jamaah)”

Baginda Rasulullah juga bersabda;
”Sesungguhnya setan itu bersama orang yang menyendiri dan ia menjaga jarak dengan dia manusia bila jumlahnya dua orang (yang tengah berjemaah).”

Oleh itu uzlah disini, jelas masih menuntut kita berhubung dengan manusia tapi dengan kadar yang bersesuaian sahaja, bukannya berlebih-lebihan tanpa tujuan di laman-laman web terutamanya.

Kebaikan menjaga hubungan agar tidak terlalu kerap bertemu dan bersuka-suka bersama dengan masyarakat umum atau kawan-kawan secara lazimnya juga boleh dilihat daripada pengertian ziarah atau bertamu dari kitab Minhajul Abidin narrated by Imam Al-Ghazali

’...Berziarah dan bertamu pada saudara-saudara seiman di jalan Allah adalah termasuk inti dari ibadah kepadaNya. Di dalamnya terkandung pendekatan mulia kepada Allah Azzawa Jalla, di samping berbagai manfaat dan kebaikan bagi hati si hamba. Akan tetapi, ada dua syarat yang harus di penuhi:

1. Hendaknya engkau tidak melakukannya terlalu sering atau berlebihan. Sebagaimana Nabi saw pernah bersabda kepada Abu Hurairah r.a,

”Berkunjunglah dalam waktu-waktu tertentu, nesacaya engkau akan saling bertambah cinta”

2. Hendaknya engkau memelihara kejujuran selama berkunjung pada sesama muslim, serta menjauhi sikap riya’ dan membagus baguskan diri. Tinggalkan perkataan yang tidak berguna, ghibah dan yang semacamnya.Sebab, hal itu akan berbalik menjadi bencana terhadap dirimu dan saudaramu.’

Dalam percubaan memperbaiki diri, uzlah adalah sesuatu yang cuba aku lakukan, namun amat berat kerana banyaknya hati-hati yang cuba dijaga dan silaturrahim yang cuba dipertahankan walaupun aku amat sedar yang kebanyakkannya kurang memberi manfaat kepadaku. Itulah kelemahan iman seorang hamba.

Ya Rabb uzlah kan aku dari kejahatan
Ya Rabb berikan aku kekuatan dalam menjalani agamaMu
Berikan aku ketenangan dan keteguhan hati’
Kasihani aku ya Allah, jadikanlah aku insan bertaqwa.
Permudahkan yang terbaik buatku dan peliharalah aku dari kembali kufur.
Amin.

No comments:

Post a Comment