Pada sebuah ketentuan itu,
Bermula satu helaian hidupan,
yang terlalu asing, untuk dibuat tatapan
apatah lagi untuk aku lagukan.
Pada sebuah ketentuan itu,
Aku melihat takdir menari-nari
Di kaca sangkaan,
Menguis-nguis hati,
Namun ianya tidak pernah terjadi
Tidak juga tertulis di lembaran Ilahi
Sekadar mengacah sambil menguji
Harga sabar yang mampu aku daki
Pada sebuah kententuan itu,
Aku melihat kepekatan malam
Semakin hari ku tenung semakin kelam
Seolah-olah semakin tenggelam
Ditelan perasaan paling dalam.
Pada sebuah ketentuan itu,
Aku teringat akan matahari,
Saksi sejati kehidupan manusia
Saksi bisu tamadun yang sia-sia
Ia menyaksi segala,
Dari kisah pembunuhan pertama
Dari kisah kehebatan agama
Menemani manusia tercinta
Membawa dakwah pengubat jiwa
Yang kosong dari cintaNya
Pada sebuah ketentuan itu,
Aku teringat akan bulan bercahaya
Yang melihat sejarah kita
Perlahan mengikis agama di dalam dada
Menukarnya dengan dunia
Sehingga lemah tak berdaya
Sehingga kita kembali alpa
Seakan tiada apa-apa
Cumanya dia tak berdaya berkata-kata
Pada sebuah ketentuan itu,
Dia mahu mengajar aku
Melunakkan hati ku
Meringankan lidahku juga anggota yang keras membatu
Lalu diberi detik waktu,
Untuk berjanji temu,
Walaupun tidaklah aku tahu,
Mungkinkah dapat aku akan redha Mu
Pada sebuah ketentuan itu,
Biarlah Engkau rahsiakan dariku
Jalan mana, apa, dan bila,
Agar aku sentiasa tertanya-tanya
Juga agar aku tidak lupa
Betapa Agungnya Maha Pencipta
Yakinlah aku selamat dijalanNya,
Agar dapat kuserah seluruh raga
Agar tiada lagi aku bertanya
Atau menduga-duga
Sungguh, aku terima...
Bahawa inilah harganya..
Sebuah penghijrahan jiwa..
Kembali kepadaNya.
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.
~jjo 22/7/11~
No comments:
Post a Comment