Thursday, August 18, 2011

jom RAYA

Dari setahun ke setahun, sambutan Hari Raya dirasakan semakin sunyi. Ntah mengapa. Saya tidak tahu adakah kerana ahli keluarga yang kian berkurangan kerana masing-masing berkeluarga sendiri dan tinggal di rumah sendiri, tambahan pula adik kini belajar jauh di perantauan, ataukah kerana makna Hari Raya yang selama ini saya fahami kian jauh dari kehendak hati?

Makna Raya

Hari raya merupakan hari kemenangan umat Islam setelah perjuangan getir di bulan Ramadhan kita lalui. Ianya adalah hari menghirup madu setelah bertungkus-lumus mendidik dan melunakkan nafsu agar menjadi hamba yang bertaqwa. Kedatangan Hari Raya dinanti seumpama, seorang pahlawan menanti hari perkalungan anugerah kepahlawanan untuk membalas jasanya yang berjuang melawan musuh. Di hari ini, pahlawan itu pastinya akan berpakaian serba cantik, berasa gembira. Tetapi kegembiraan ini disertai azam yang kuat untuk terus berbakti mempertahankan negara.

Begitu jugalah Hari Raya. Hari ini ada hari merasa indahnya ‘dibayar’ atau ‘dibalas’ setelah bekerja keras serta hari yang mana direalisasikan hasil kemanisan mujahadah. Lihat sahaja berapa banyak kegembiraan yang Allah letakkan di hati kita sempena Hari Raya. Kita dapat makan di siang hari setelah sebulan tidak makan dan minum di waktu itu, kita senang bertemu sanak saudara, sahabat handai, menyambung ukhwah yang mungkin sahaja telah terbengkalai atas faktor-faktor geografi, kita berasa tenang kerana lazimkan kita akan membuka lembaran baru ‘start anew’ dengan setiap orang yang kita temui setalah memaafkan dan meminta maaf kepadanya.

Lihatlah, dalam sehari sahaja, Allah telah mencampakkan begitu banyak nikmat, sakeenah (ketenangan) dan keseronokkan dihati kita walaupun kadangkala ibadah serta usaha kita dalam memanfaatkan Madrasah Ramadhan tu tidaklah begitu membanggakan. Inilah yang dinamakan kasih sayang Allah.

Hari Yang Didustakan

Malangnya dan sedihnya, Hari Raya juga kadang-kadang menjadi medan, membiakkan nafsu serta sifat mazmumah yang telah puas dibentuk di bulan Ramadhan. Inilah harinya kita bertanding antara satu sama lain untuk mempamerkan busana yang terhebat, terutamanya wanita. Baju siapa yang paling bergemerlapan, paling mahal, paling galak dihiasi batu-batu berkilau menjadi tandingan. Hari untuk menyambung ukhwah yang seeloknya dihiasi dengan bertanya khabar dan bercakap tentang hal-hal yang menyenangkan hati dan menambah cinta menjadi menjadi medan berbangga-bangga dan medan menilik-nilik harta, bergosip-gosip atas label bermesra, membuka aib cerita.

Akhirnya, si dia yang memakai baju biasa-biasa dan tidak menepati definisi ‘baju raya’ masa kini merasa terpinggir atau terkeluar dari lingkungan perbualan kerana tidak tahu apa hendak dikatakan. Rimas, mungkin juga. Allah sesungguhnya tidak pernah menyusahkan kita. Yang digalakkan hanyalah berpakaian baru dan cantik menurut kemampuan sendiri dan tujuannya bukanlah untuk bertandingan antara satu sama lain.

Hari Raya juga menyaksikan leburnya iman kita yang memberi alamat bahawa nafsu yang cuba kita kekang sepanjang Ramadhan masih liar dan tidak dapat kita jinakkan. Masakan tidak, berkunjungan di rumah saudara mara dan sahabat handai kadangkala menjadi sebab untuk melengah-lengahkan solat fardhu, atau lebih buruk tertinggal terus padahal sembahyang Terawikh yang sunat pun kita buat sampai 20rakaat di sepanjang bulan.

Ada diantara kita juga berasa ralat untuk menolak bersalaman dengan ahli keluarga yang bukan muhrim atas alasan dia telah menghulurkan salam. Bijak iblis mengatur strategi, hendak menyelamatkan air muka, tangan menjadi mangsa. Tidak ada salahnya menolak dengan cara baik dan beradab, tetapi lemahnya iman kita untuk melaksanakannya. Malas kot sebenarnya.

Malam Hari Raya Pertama

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, seringkala setelah Hari Raya pertama berlalu, malamnya saya akan termenung panjang.

“Hari apakah ini yang telah aku lalui? Perut penuh melebihi tahap kenyang, sarat dengan semua juadah. Perasaan ibadah juga luntur, kerana penat dan berat dengan manisan. Esok pasti perut yang kenyang dan terlalu penuh ini akan dipaksa-paksa diisi tatkala berkunjung lagi. Tapi ukhwah itu indah, yang tak cantiknya perut yang diisi terlalu penuh. Hati rindu pada Ramadhan yang berlalu. Hati rindu pada hari-hari biasa yang mana berlalunya ia, lebih mudah mengira-ngira apakah lebih baik hari ini dari semalam. Kerana di hari raya, belum tentu apa yang dilakukan yang aku sangka baik itu adalah benar-benar baik menurut mata Allah. Terlalu melekakan~”

Cerita Nabi

Seorang tabib dihantar oleh Penguasa Mesir ke Madinah sebagai menunjukkan tanda persahabatan. Sepanjang dua tahun tabib itu berada di sana, tidak ada seorang pun yang datang untuk mendapatkan rawatan perubatan. Tabib menjadi hairan dan bosan kerana tidak dapat memberikan sebarang perkhidmatan dan pertolongan kepada penduduk Madinah seperti yang diarahkan oleh tuannya.

Dengan keraguan yang menyelimuti hati dan fikirannya, Tabib itu pergi berjumpa Nabi Muhammad SAW untuk mendapatkan kepastian yang jelas.

Dia bertanya Nabi Muhammad SAW, “Adakah penduduk sini takut untuk berjumpa tabib?”

“Tidak! Dengan musuh mereka tidak takut, apatah lagi dengan tabib.” Jawab Nabi Muhammad SAW dengan tegas.

Tabib bertanya lagi, “Tapi mengapa sepanjang 2 tahun saya di sini, seorang pun tidak berubat dengan saya ?”

Nabi menjelaskan “Sebab penduduk Madinah tidak ada seorang pun yang sakit.”

Tabib itu kurang mempercayai Nabi dan berkata, “Masakan tidak ada satu orang pun yang sakit.”

Melihat keraguan tabib itu, Nabi mempersilakan tabib itu menjelajah ke merata pelusuk Medinah untuk membuktikan kebenaran kata-katanya.
Tabib itu beredar dan menjelajah ke pelusuk Madinah. Puas dia mencari pesakit tetapi tidak menjumpai walau seorang pun daripada yang bayi sehinggalag orang tua. Terbuktilah kepadanya kebenaran kata-kata Nabi itu.

Didorong oleh perasaan ingin tahu dan kekagumannya, tabib itu sekali lagi berjumpa Nabi saw. lalu berkata, “Benar seperti kata-kata baginda. Apakah petua sehingga semua penduduk Madinah sihat-sihat belaka?”

Nabi menerangkan, “Kami adalah satu kaum yang tidak akan makan jika tidak lapar. Dan jika kami makan, kami tidak makan sehingga terlalu kenyang.
Itulah petua untuk kesihatan. Yakinilah makanan yang halal dan baik.
Makanlah untuk terus hidup kerana ingin bertaqwa kepada Allah bukan sekadar memuaskan hawa nafsu.”

Penutup dan Doa

Harapnya tahun ini lebih baik daripada yang sebelumnya dan saya berharap semoga Allah menghadiahi saya, ibu bapa dan ahli keluarga tercinta, sahabat-sahabat handai yang dikasihi, guru-guru saya, pelajar-pelajar yang disayangi saya dan orang-orang Mukmin yang berkongsi jiwa dengan keampunan dan rahmatnya, kemanisan iman, kekuatan jiwa dan keindahan akhlak sebagai perisai buat berjuang setelah berakhirnya bulan yang entah berjodoh atau tidak lagi di tahun hadapan. Semoga kita semua tergolong dalam golongan yang menang sebenar-benar menang. Ameen ya Rabb.

P/s: Belum berakhir, dah rindu Ramadhan. Semoga kita bertemu dengan LailatulQadar, kawan-kawan :-) oh sedikit perkongsian berdasarkan kuliah membincangkan Ramadhan yang saya dengar, Sunat bagi orang yang melihat/bertemu Lailatul Qadar bagi menyembunyikannya dari manusia melainkan ahli rumah. Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment