Thursday, September 22, 2011

Penantian Doa Yang Tak Termakbul



Bismillahirrahmanirrahim

Iman yang Lemah

Di saat iman jatuh dan sedang lemah, banyak perasaan yang bergelodak di dalam hati. Apa yang sebelumnya kita percaya, kita yakin, mungkin sahaja jadi goyah, was-was, tidak yakin atau percaya lagi.

Apa yang kita pegang sebagai prinsip dan kita jadikan sandaran dan harapan, boleh sahaja hancur dan hilang entah ke mana. Padahal, kita tahu, kita sedar dan sangat percaya bahawa kepercayaan kita disandarkan kepada sesuatu yang betul yakni Janji Allah.

Namun apabila iman jatuh, kita meraba-raba mencari tongkat keyakinan yang dulunya utuh menongkat kita berjalan mengharus arus dunia.Tongkat keyakinan itu juga dulu boleh menolong menongkat orang lain di sekitar kita yang terasa lemah. Seakan-akan satu renjatan, mereka juga merasa kuat setelah keyakinan kita meresap di dalam hati mereka. Mereka berasa selamat acapkali mulut kita mengingatkan janji-janji Allah kepada mereka yang bersabar.

Tapi kerapkali bila tongkat itu dicari-cari dengan menggila waktu itulah ianya hilang entah ke mana.

Apa yang lebih buruk, kadangkala, tongkat itu tidak ditemui lagi. Apatah lagi setelah hebat digasak hujah luaran, perbincangan santai antara rakan sekerja yang tidak menyebelahi keyakinan kita yang dilihat terlalu suci, tulus dan postif, membuta tuli terhadap janji Allah, keyakinan itu langsung hilang.

Di saat ini bergantilah prinsip yang kita percayai selama ini,acuan Al-Quran, module buat mengharungi kehidupan di bumi pemberian Allah dengan prinsip rekaan masyarakat yang lebih popular dan dekat dengan kebiasaan manusia lain. Janji Allah lalu dipandang sepi. Di mulut mungkin mengaku percaya tapi anggota badan semakin menjauhinya.

Keyakinan Boleh Goyah

Sebelum kelahiran Sultan Muhammad al-Fateh lagi, Syeikh Bayram ulama terbilang Turki pernah memberitahu kepada Sultan Murad, ayahanda Sultan Muhammad Al-Fateh bahawa menurut firasatnya, Sultan Murad akan dikurniakan anak yang baik, iaitu seorang pejuang seperti yang dinukilkan di dalam hadis Nabi Muhammad SAW yang mengisyaratkan bahawa kota Konstantinopel akan ditawan oleh Islam apabila muncul seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik.

Kata-kata ini membakar semangat Sultan Murad dan permaisurinya untuk mendidiknya sebaik mungkin kerana telah lama umat Islam menanti saat Kota Konstantinopel jatuh ke tangan Islam. Tambahan pula usaha menzahirkan hadis itu sudah dilakukan sejak zaman Khulafah Ar-Rasyidin tetapi tidak berjaya.

Daripada sebaris kata-kata, ianya mula dipegang sebagai kepercayaan yang jitu oleh, Raja Murad, permaisuri serta warga Turki. Permaisuri sendiri, sejak Sultan Muhammad al-Fateh masih bayi akan membawanya keluar setiap hari untuk memandang Kota Konstantinopel. Kemudian hadis tersebut akan dibacakan kepada Sultan Muhammad Al-Fateh dan penuh yakin Permaisuri menyambung “Dan engkaulah pemerintah yang dimaksudkan itu anakandaku!”

Lihatlah kisah keyakinan yang diresapkan di dalam jiwa Sultan Muhammad al-fateh sejak kecil ini. Ditambah pula dengan didikan yang selari dengan kepercayaan bahawa dialah pemerintah yang baik yang disebutkan itu.Segala-galanya berjalan lancar sehingga beliau dewasa dan mula mentadbir kerajaan Turki.

Namun pada satu ketika, setelah tentera Turki mula menyerang pertahan kota Konstantinopel dalam usaha merebut kota itu, keyakinan yang telah tertanam ini mula goyah kerana usaha menawan kota itu dilihat sukar dan ramai tentera yang syahid. Kesemua usaha mereka untuk menembusi benteng pertahanan Kota Konstantinopel menemui jalan buntu.

Jika dilihat disini, kita pasti bertanya. Begitu mudahkah, perasaan menjadi goyah, keyakinan menurun, padahal kepercayaan ini telah merakar umbi jauh lebih lama dari usia Sultan Muhammad al Fateh sendiri?

Sehingga pada satu ketika Sultan Muhammad al Fateh menyoal gurunya Syeikh Syamsuddin al-Wali, “Tuan guru pernah berkata kota Konstantinopel pasti jatuh ke tangan saya. Tetapi sehingga sekarang belum ada tanda-tanda kota itu dapat kita tawan…”

Pertanyaaan ini mengisyaratkan kegusaran dan keraguan yang mula menapak dihati Sultan kesayangan rakyat itu walaupun tidaklah dan jauh sekali menunjukkan hilangnya keyakinan secara menyeluruh.

“Saya mahu kepastian, bilakah kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan kita”

Dan hanya setelah tuan gurunya diberi ilham oleh Allah untuk menyebut tarikh yang tepat iaitu pada hari ke 53, hari Selasa jam 11 pagi barulah Sultan Muhammad al Fateh berasa gembira dan kembali bersemangat untuk bersungguh-sungguh merebut Kota bersejarah itu.

Ini kisah Sultan Muhammad al-Fateh seorang yang warak dan alim. Baginda sendiri diuji sehingga keyakinannya goyah apatah lagi kita yang bukan siapa-siapa ini. Ya, semudah itulah keyakinan boleh menurun. Tambahan pula apabila diuji dengan hebat, sebegitu hebatnya jugalah cabaran untuk mengekalkan tahap keyakinan di hati.

Takdir

Apabila nasib dan takdir Allah sentiasa meyebelahi kita yakni selari dengan perancangan kita, dapat dilihat, ianya lebih mudah untuk menyekalkan keyakinan. Walaupun kadangkala apa yang kita yakinkan itu sebenarnya tidaklah selari dengan janji Allah. Contohnya seseorang yakin bahawa jika dia berusaha bersungguh-sungguh walaupun dengan menggunakan cara yang kotor, dia akan berjaya. Selagi takdir meyebelahi, mungkin sahaja kepercayaan ini dianggap betul dan tepat dek kerana dilihatnya selama ini jalan inilah yang menuntun kea rah kejayaan.

Namun, apabila kita diuji, jika tidak kuat dalam mempercayai yang sesungguhnya yang kita yakini itulah sebenar-benar kenyataan iaitu Janji Allah yang tak mungkin didustai, kita pasti tergelincir dan menyoal diri sendiri “Betulkah jalan yang aku pilih ini? Benarkah janji Allah ni, mengapa seakan-akan aku sedang ketinggalan ketika orang yang sedang mengecap habuan Allah untuk mereka?Patutkah aku mengikut sahaja jalan seperti yang dilakukan orang lain, nampaknya cara itu lebih dekat dengan hasil? ”

Mengapa Ragu?

Apa yang menyebabkan keyakinan kita terhadap janji Allah itu pudar?

Jawapannya, kurangnya sifat sabar dalam menanti janji itu terlaksana dan tergesa-gesa. Manusia itu dijadikan dalam keadaan tergesa-gesa. Kita berasa ralat menanti saat doa termakbul dan hasrat terlaksana padahal Allah telah berjanji “Berdoalah kepadaKu dan akan Ku perkenankan”.

Tapi itu bukan kegusaran kita, yang kita nanti-nantikan: Bilakah ianya akan diperkenankan?

Kita juga tahu Allah berfirman dalam surah Al Baqarah ayat 216 “…Boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu padahal itu baik bagimu dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu padahal ianya ianya tidak baik bagimu, Allah mengetahui sedang kamu tidak mengetahui”

Ini memberi isyarat bahawa Allah lebih mengetahui apa yang terbaik buat kita, yakni bentuk doa yang diperkenankan, mungkin juga gantian kepada sesuatu yang kita doakan yang dirasakan Allah bukan yang terbaik buat kita, atau masa untuk sesuatu hasrat dikabulkan. Namun kadangkala hati seakan-akan degil. Kita tetap mahukan apa yang rasa berkehendak di hati. Jadi,sekarang salah siapa jika akhirnya kita berasa tertekan dengan permainan perasaan yang direka oleh kita sendiri?

Kita juga tahu Allah akan memberikan yang terbaik buat kita antara yang paling baik kerana Allah Maha Mengetahui. Kita tahu Allah itu penuh kasih sayang, yang mana kasih sayang Allah melebihi kasih sayang seorang ibu kepada anak kesayangannya. Nescaya tidak mungkinlah Allah menganiaya kita melainkan setiap yang berlaku disertai hikmah.

Cumanya untuk menukar semua ‘tahu’ ini menjadi keyakinan yang kukuh tidak berganjak lagi, semua ini bergantung kepada cerminan kebersihan hati kita untuk membaca hikmah-hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap yang terjadi. Jika hati kita sekejap malap betompok dosa, sekejap bersinar penuh cahaya, begitu jugalah kepercayaan kita; turun naik tak mengira masa.

Pengajaran Sirah

Pada hakikatnya kita lupa untuk memerhatikan, menilik sirah dan sejarah perjuangan Islam generasi terdahulu bahawa sesuatu yang baik itu lambat datangnya. Dan sudah memang lumrah, jika benar beriman pasti kita akan diuji. Mungkin lambatnya terkabul sebarang doa dan permintaan inilah ujian kita.

“Ya Rasulullah, mengapa engkau tak berdoa untuk kami, mengapa engkau tak minta pada Allah agar kita segera diberikan kemenangan?

Lalu Rasulullah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya umat-umat sebelum kalian (kerana teguh pada Islam) sebahagian mereka ada yang disiksa dengan cara dibelah mulai hujung kepala sampai hujung kaki dengan menggunakan gergaji sehingga terbelah menjadi dua bahagian. Tapi, itu tak membuat mereka keluar dari agamanya. Bahkan ada yang disisir dengan sikat tajam yang terbuat dari besi, hingga terkelupaslah kulit dan daging mereka daripada tulangnya. Itu pun tak membuat mereka melepas agamanya. Demi Allah, agama ini akan dimenangkan oleh Allah s.w.t dan akan tiba saatnya nanti seseorang akan berjalan secara aman mulai dari Sana’a sampai Hadramaut (tanpa gangguan). Tak ada yang ditakuti kecuali hanya Allah s.w.t. Ia hanya khuatir pada ancaman serigala yang akan menerkam kambingnya. Namun, (ternyata) kalian tidak sabar (mahukan segalanya serba cepat).”

Penantian Yusuf

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia mengetahui org2 yg dusta."(Al-Ankabut: 2-3)

Dalam kisah Nabi Yusuf , ketika mana Yusuf bermimpi melihat bulan matahari dan bintang sujud padanya, dia sendiri masih kecil. Sesudah kisah mimpi itu, di dalam Al-Quran Allah menceritakan segala kesedihan yang dilalui oleh Nabi Yusuf dengan terperinci berkenaan perbuatan saudaranya dan orang lain yang berkehendakkannya.

Namun, sehingga menginjak dewasa, belum ada tanda-tanda mimpi Nabi yusuf itu akan tersana. Dan diriwayatkan hanya setelah lebih kurang dalam kurun waktu 40 hingga ke 80 tahun barulah mimpi itu menjadi kenyataan. Tidak pula Nabi Yusuf memberontak menyoal takdir Allah ke atasnya, padahal bagi kita tempoh itu adalah sangat panjang dan menuntut kesabaran yang menakjubkan untuk terus yakin dan percaya bahawa apa yang dijanji Allah itu pasti berlaku.

Kita pula, sudah berapa tahun menyulam doa, tetapi sudah kian pudar yakinnya?

Kisah Uwais

Nabi Muhammad SAW, ketika masih hidup pernah berpesan kepada Saidina Umar Al Khattab agar mencari seorang lelaki bernama Uwais al-Qarni yang berasal dari Yaman. Menurut baginda Nabi, Umar ini harus mencari lelaki ini kerana doanya makbul.

Setelah baginda Nabi wafat, setiap kali musim haji, Saidina Umar Al-Khattab akan menunggu jemaah dari Yaman dan mencari-cari lelaki yang disebutkan Rasulullah itu. Selepas beberapa tahun lelaki yang disebut-sebutkan dulu itu masih belum ditemui sedangkan Nabi telah wafat untuk meminta kepastian.

Namun begitu Umar sangat yakin hadis Rasulullah SAW itu benar dan dia tidak berputus asa mencarinya. Akhirnya setelah setiap tahun menanti-nanti, pada tahun ke-11 barulah Uwais ditemui.

Ya 11 tahun penantian untuk merealisasikan dan membuktikan satu janji yakni hadis Nabi kepada sahabat yang disayangi, iaitu Umar. Lihatlah bagaimana Allah menguji.

Penutup

Pengajarannya disini, mungkin sahaja doa yang kita panjatkan itu belum termakbul, mungkin sahaja apa yang kita impikan tidak terlaksana, mungkin sahaja apa yang didambakan belum sekilaspun kelihatan, tetapi seandainya benar kita di jalan yang lurus, yakinlah. Yakinlah dengan janji Allah dan RasulNya itu. Yakinlah bila tiba masanya, janji itu akan dibawa kepadamu.

Buat masa ini, didiklah sabarmu, bangunkan kembali semangat dan kepercayaanmu, buangkan jauh-jauh semua prasangka burukmu, padamkan segala was-was dan persoalanmu. Sematkan kisah-kisah umat terdahulu sebagai penguatmu.

Yakinlah satu hari nanti apabila Janji itu terlaksana, kau akan menjadi manusia paling ‘menang’. Kerana apa? Kerana kau yakin dan memilih ‘sahabat’ yang betul untuk dituntut janjiNya, iaitu tak lain tak bukan Allah Subhanawata’ala.

Friday, September 16, 2011

Sunnah: Kasih Sayang Nabi Terhadap Benda


Bismiallahirrahmanirrahim.

Saya ada tonton di TV hijrah selingan pasal Nabi Muhammad s.a.w yang disiarkan setiap hari di waktu-waktu senggang. Comel dan menyejukkan hati sebab Nabi suka memberi nama, bukan sahaja kepada kesemua binatangan tunggangannya tetapi begitu juga pinggan/mangkuk yang digunakan untuk makan. Tapi tak sempat pula saya nak menyalin nama-nama pinggan/mangkuk dan binatangan tunggangan itu satu persatu kerana teruja dengan pengetahuan tentang itu sendiri. Saya cuma tahu unta Nabi yang sangat kuat yang dinamakan ‘Adba itu sahaja.

Tetapi ini semua menunjukkan Nabi itu penuh kasih sayang hatta kepada binatang ataupun benda. Ia juga menunjukkan Nabi Muhammad SWT sendiri adalah seorang yang penuh penghargaan terhadap sesuatu yang dirasakan memberi khidmat atau membawa fungsi sesuatu dalam kehidupan baginda. Indahnya akhlak lelaki agung ini. Mana mungkin manusia tidak jatuh cinta dengan akhlak asuhan 'tangan' Allah yang seindah ini.

Pinggan yang kita makan nasi hari-hari ada nama tak?

Ini menyebabkan saya rasa best pulak nama kereta saya Baktiar Burhanuddin. Tapi selama ini taktahu pulak jatuh category sunnah. Tapi sekarang ni kena niatkan mengikut sunnah dan harap dikira pahala sunnah. Semoga kehadiran Bakti sejak dua tahun lalu dalam hidup saya mendekatkan saya kepada Allah, majlis ilmu dan amal kebajikan. Ameen :-) insya Allah.

p/s: rumah sewa kecik saya nama teratak sufi dan semua kucing-kucing tepi jalan yang saya singgah untuk main-main sekejap saya suka panggil 'adik' ntah kenapa (comel kut), lepas ni boleh panggil nama atas dasar mengikut sunnah Nabi ;)

Allah menciptakan harta sebagai pengantar ke surga. Tetapi ketamakan manusia telah menjadikannya penempah ke neraka. -As Siba'i-

Jalan Cinta Para Pejuang


“Di jalan cinta para pejuang, biarkan cinta berhenti di titik ketaatan.. Meloncati rasa suka dan tidak suka.. Melampaui batas cinta dan benci.. Karena hikmah sejati tak selalu terungkap di awal pagi.. Karena seringkali kebodohan merabunkan kesan sesaat.. Maka taat adalah prioritas yang kadang membuat perasaan-perasaan terkibas.. Tapi yakinlah, di jalan cinta para pejuang, Allah lebih tahu tentang kita..”
Salim A. Fillah, Jalan Cinta Para Pejuang

Jalan Cinta Para Pejuang

di sana, ada cita dan tujuan

yang membuatmu menatap jauh ke depan

di kala malam begitu pekat

dan mata sebaiknya dipejam saja

cintamu masih lincah melesat

jauh melampaui ruang dan masa

kelananya menjejakkan mimpi-mimpi

lalu di sepertiga malam terakhir

engkau terjaga, sadar, dan memilih menyalakan lampu

melanjutkan mimpi indah yang belum selesai

dengan cita yang besar, tinggi dan bening

dengan gairah untuk menerjemahkan cinta sebagai kerja

dengan nurani, tempatmu berkaca tiap kali

dan cinta yang selalu mendengarkan suara hati

teruslah melanglang di jalan cinta para pejuang

menebar kebajikan, menghentikan kebiadaban,

menyeru pada iman

walau duri merantaskan kaki,

walau kerikil mencacah telapak

sampai engkau lelah, sampai engkau payah

sampai keringat dan darah tumpah

tetapi yakinlah, bidadarimu akan tetap tersenyum

di jalan cinta para pejuang


p/s: Ya Allah, nakk buku nii..tapi tak tahu macam mana nak dapatkan dari Indonesia

Wednesday, September 14, 2011

Law Kana Bainana

Puisi Intro
----------
Wahai Tuhanku, kami telah lalai lupa,
Namun setiap orang daripada kami tetap tamakkan,
Keampunan-Mu, dan sifat pemurah-Mu dan kebebasan daripada neraka-Mu,
Dan juga kami tamakkan syurga, yang dimasuki bersama-sama penghulu seluruh manusia.

Kami mohon pada-Mu...
Mohon dengan sangat, wahai Tuhanku,
Dari sudut hati kami yang paling dalam...

Start

-----
Kalaulah Kekasih-Mu, masih berada bersama-sama kami,
Akan terlunaslah segala hutang dan semakin hampirlah
dengan haruman Baginda, sebelum hilangnya,
rasa yang meronta-ronta untuk berada hampir dengan Kekasih-Mu.

Berada berhampiran Baginda, jiwa turut menjadi harum
Dan apa jua yang kalian doakan kepada Allah, akan diperkenankan,
Cahaya Nabi Muhammad tidak akan pernah sirna,
Sempatkanlah kami bertemu dengan Baginda,
Wahai Tuhan yang Maha Memperkenankan doa hamba...

Hidayahmu kepada alam merata meluas,
Tanda hampirnya kasih sayang Tuhan pemberi hidayah,
Hadith-hadithmu ibarat sungai mengalir jernih,
Berada di sisimu bagaikan dahan yang tumbuh segar dan basah.

Kutebus diriku dengan dirimu, wahai Kekasihku,
Nabi Muhammad yang mulia, yang asing,
Berada berhampiranmu, jiwa menjadi harum,
Wahai yang diutuskan sebagai tanda kasih sayang Tuhan kepada seluruh alam....

Wahai Kekasihku, wahai Nabi Muhammad
Wahai doktor hatiku, wahai yang dipuji dipuja
Dirimu memiliki kelebihan yang diakui
Oleh Tuhan yang turut berselawat ke atasmu.

Friday, September 9, 2011

Just an Ordinary Bookmark.

“Teacher, teringat dekat teacher!! Rindunya lamanya tak jumpa!!” kata seorang bekas pelajar tatkala menegur saya di ruangan berbual Yahoo Messenger.

“Tadi saya ngaji pun teringat!” saya terkedu membaca butiran tulisan berbentuk Arial itu.

“ Kenapa teringat masa mengaji?” Hati saya jadi tidak sabar. Menanti-nanti jawapan misteri dari dia.

“Sebab….”

“…sbb dulu teacher pernah bagi kami semua bookmark kan? Saya guna untuk tanda di mana saya baca Al-Quran. Saya memang guna bookmark tu dalam Al-Quran.”

“Kamu masih guna??”

“Of course!! saya memang guna yang teacher bagi saja, sebab tu la selalu teringat”

…………………………………………………………………………

Sepantas kilat, perasaan saya bersalin wajah. Rasa sayu bercampur terharu menyelubungi dan menutupi rongga hati saya.

Masya Allah.

Sebetulnya saya sayu dan sebak dengan nikmat Allah itu.

Kadang-kadang saluran pahala yang Allah nak lorongkan kita tu, tak pernah terlintas dek akal. Paling kuat saya fikir, pasti bookmark biasa buatan tangan yang saya hasilkan sebagai tanda kenang-kenangan 3 bulan sesi praktikal di sekolah menengah di Petaling jaya 4 tahun lepas itu akan disimpan setahun, kemudian akan diletakkan di dalam kotak, akhirnya terbuang begitu sahaja.

Saya cuba seorang guru practical yang bukan siapa-siapa, saya kira. Pelajar mana yang ambil kisah barang pemberian guru practical yang hanya menyinggah 3 bulan di hati mereka. Hari ini terbukti, sangkaan saya meleset.; jauh.

Tak pernah saya terfikir,usaha kecil saya dalam memberi sesuatu kepada pelajar-pelajar ini dibawa Allah sehingga dekat sekali dengan kalamNya; sebagai pengganti jari telunjuk yang menyambung ilmu Allah ke dasar hati manusia yang dahagakan kasihNya.

It was just a bookmark. But Allah denied that. It was not just a bookmark. He made it THE BOOKMARK.

Di atas setiap penanda buku itu saya letakkan nama setiap pelajar kelas saya, saya tuliskan juga adjectives yang menggambarkan mereka dan sedikit nasihat yang ringan menurut firasat saya. Sejujurnya, semua ini terlalu besar buat saya.

Nikmat Allah yang mana yang engkau dustakan?

Tatkala beribadah, kita kadang-kadang berkira. Kita cepatkan bacaan, kita gunakan masa solat untuk memikirkan segala-galanya; semua masalah dunia dan isinya, kita malas, kita melambat-lambatkan. Tapi lihatlah kasih sayang Allah, tak tergambar luasnya, tak mampu dicerna ruangan fikir manusia. Kerana apa? Allah dan kita tidak sama. Kita mungkin kedekut; tapi rahmat dan kasih sayang Allah itu terlalu luas; melepasi keluasan cakerawala. Kerana Dia pernah berjanji:

“Jika dia mendekati Aku sejengkal, nescaya aku mendekatinya sehasta. Dan jika dia mendekati-Ku sehasta, nescaya aku mendekatinya sedepa. Dan kalau dia datang kepadaKu dengan berjalan, nescaya Aku datang kepadanya dengan berlari” (Riwayat Bukhari)

Persoalannya, berapa banyak kasih sayang berteraskan Allah yang kita curahkan hari ini? Semoga kita bersama-sama berlari kepadaNya.