Di bahagian satu artikel ini saya ada
membincangkan dan melontarkan kegusaran terhadap ‘trend’ terkini kalangan
adik-adik muslimah yang lebih cenderung berlumba-lumba menjuarai perihal
kecantikan dan kejelitaan seakan-akan wanita di lahirkan sekadar untuk
mengkomersialkan diri di khalayak ramai.
Di bahagian dua ini yakni bahagian terakhir
kita akan membincangan dengan lebih mendalam tentang keindahan Islam yang
datang membebaskan manusia daripada penghambaan kepada selain Allah sekaligus
mencorak wanita menjadi seindah-indah ciptaan lantas menidakkan pengklonan imej
muslimah ideal yang cuba dicelup oleh media baharu.
Agama Pembebasan
Di masa Arab Jahiliyah,
misalnya, wanita tidak begitu dianggap sebagai siapa-siapa selain “mesin
reproduksi”. Sebagian besar orang Arab bahkan merasa anak perempuan sebagai
beban dan aib. Maka, muncullah tradisi mengubur anak perempuan hidup-hidup. Di
masa Yunani, posisi wanita juga tidak lebih baik. Para filosof bahkan saling
berdebat apakah wanita memiliki jiwa atau tidak.
Namun setelah kedatangan Islam, wanita
telah diletakkan di tempat yang tinggi sekali. Hak wanita di berikan sewajarnya
bahkan apabila seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW “Kepada siapa
harus aku berbakti?” Nabi SAW memberi jawapan “ibu” tiga kali sebelum jawapan
itu bertukar kepada “ayah” yang mana mengisyaratkan ketinggian nilai wanita di
dalam Islam.
Cantik
Syariat menutup aurat juga tidak lain tidak
bukan adalah untuk menjaga kesucian nilai wanita. Malang sekali adik-adik
modernisasi bukan sahaja datang dengan kebaikan bahkan dengan ideology yang
menyimpang. Pakaian wanita Islam dimanupulasi dan dianggap sebagai satu bentuk
penindasan terhadap wanita. Barat telah berjaya membuat kita percaya bahawa
menutup aurat dengan sempurna lebih-lebih lagi jika yang mahu berpurdah atas
kerelaan sendiri adalah satu tekanan agama kuno yang mahu menidakkan kewujudan
wanita. Kata mereka, wanita hilang hak di dalam Islam.
Walhal kecantikan, bagi Islam adalah untuk
ditutupi agar dilindungi daripada pandangan-pandangan yang berniat jahat dan
yang boleh menimbulkan fitnah. Kecantikan juga hanya untuk diperlihatkan kepada
yang layak bukan untuk pameran umum. Liciknya manipulasi Barat, sehingga
membuat kita percaya, ‘penelanjangan’ dan eksploitasi kecantikan secara
besar-besaran adalah satu tindakan eksperiasi terhadap wanita. Mana mungkin
begitu jika penonjolan sebegini hanya membangkitkan nafsu syahwat lelaki lantas
membahayakan kaum wanita itu sendiri.
Tapi kita leka, kita mahu dipuja, kita mahu
megah dipuncak. Tertipu namun belum kita sedar. Apa yang melalaikan kita
adik-adik? Tidak lain tidak bukan, pujian menggunung daripada rakan-rakan yang
turut hanyut dan ralit daripada memahami meistimewaan kehormatan diri di dalam
Islam.
Tambahan pula ada lelaki-lelaki yang memuji
makin galaklah kita memperlihatkan perhiasan-perhiasan wanita. Lelaki yang
rajin memuji pula adik-adik labelkan sebagai ‘sweet’ dan pandai mengambil hati
padahal, mereka juga turut hanyut dalam menikmati dan menonton hiburan percuma
bekalan wanita moden hari ini.
Sebab Leka
Ya, jika dikaji selidik, sebab utama kerana
apa ideology menyimpang ini rancak diterima pakai oleh wanita zaman moden,
jawapannya adalah tidak lain tidak bukan kerana lelaki. Terlalu ramai lelaki
yang jahil agama dalam memahami keistimewaan wanita dan tanggungjawab mereka
dalam menjadi pelindung menjadi punca segalanya. Ini adalah kerana, apabila
mereka secara kolektif memandang kecantikan wanita adalah berdasarkan keindahan
luaran yang mampu di pamerkan di khalayak ramai dan sebanyak mana kulit mulus
yang boleh di tangkap lensa mata, maka berlumba-lumbalah Muslimah yang lemah
jiwa mengikutinya. Bahkan yang sudah bertudung, turut mencari-cari cara
menyertainya.
Kesudahannya, iman tergadai prinsip
tersadai.
Adik-adik yang disayangi, itu bukanlah
lelaki-lelaki pelindung yang dicorakkan oleh Islam. Bukan. Selagi mereka tidak
memartabatkan dan menjaga maruah adik-adik apatah lagi mencanang-canang gambar
adik-adik bersama mereka padahal belum mempunyai apa-apa hubungan halal, mereka
juga turut terpalit dengan lumpur modernisasi olahan Barat atas nama
‘keindahan’.
Mengapa saya berkata begitu? Kerana Islam
pernah menceritakan kisah lelaki pelindung di zaman Khalifah yang mungkin boleh
kita sama-sama renungkan dan ambil iktibar.
Khalifah Mu’tashim
Tengoklah apa yang pernah dilakukan
Khalifah Mu’tashim, tatkala seorang wanita di kota Ammunriah ( terletak antara
Iraq Utara dan wilayah Syam) berteriak dan minta pertolongan karena
kehormatannya dinodai oleh seorang pembesar Romawi, kemudian ia berteriak :
" dimana engkau wahai Mu’tashim, ?" Maka tak lama setelah berita
teriakan wanita itu sampai ke telinga Mu’tashim, beliau segera mengerahkan
bantuan dan memenuhi panggilan itu dengan mengerahkan pasukan kaum Muslimin yang
ujung barisannya berada di Kota Ammuriah, sedangkan ekornya berada di Kota Baghad.
Ya, seramai itu untuk menyelamatkan seorang wanita!
Dengan pasukan ini bangsa Romawi
diperangi dan dengan dikalahkan dengan mudah. Kekuatan mereka dapat dipatahkan
dan Kota Ammuriah ditakluki. Jumlah korban dari pihak musuh mencapai 30.000
orang dan jumlah orang yang ditawan juga 30.000 orang.
Bolehkah adik-adik bayangkan demikianlah,
hanya untuk membela dan melindungi seorang wanita saja, Khalifah Mu’tasim telah
mengerahkan demikian banyak pasukan, dan bahkan menaklukkan bangsa Romawi yang
telah melanggar kehormatan umat Islam.
Itu barulah yang dinamakan lelaki
pelindung wanita celupan Islam! Bukannya menambah pencabulan terhadap
kehormatan seorang wanita.
Penutup
Adik-adik, dunia ini ibarat satu
persinggahan sebelum ke tempat yang lebih hakiki yakni di akhirat sana. Tak
mahukah kita menjadi bidadari syurga? Jika jawapannya ya, mungkin sudah tiba
masanya kita meminggirkan idelogi remeh picisan bawaan modernisasi dan Barat
dalam membentuk diri kita. Ambillan Islam sebagai garis panduan dan jadikan
Al-Quran sebagai teman, nescaya, kita akan menjadi wanita paling indah; seindah
hikayat bidadari syurga. Selamat beramal!
No comments:
Post a Comment