Tuesday, March 6, 2012

Hadiah

Bismillahirrahmanirrahim.It’s been a long while since I last wrote something in my blog. And it is something that I regret but at the same time, I feel that it is also something which is out of my control. Sesungguhnya ilmu dan kefahaman itu milik Allah secara mutlak, hanya sahaja ianya dipinjamkan kepada ulama’-ulama’ untuk disebarkan kepada umat manusia. Maka jika hilangnya ‘ia’ dari kotak hatimu, patutlah engkau bersedih, kerana sebutir permata baru sahaja diangkat dan dihilangkan darimu. 

Bukan tak pernah mencuba untuk menulis semula tetapi apabila Allah menguji sedemikian, I guess I have to reflect and contemplate harder about my iman and heart condition. Pun begitu Alhamdulillah, walaupun hati masih belum pulih dan kecelaruan fikiran masih juga memercik-mercik, ada juga titipan kerdil yang berjaya dikerah untuk dikongsi bersama sebagai buah tangan salah satu majlis ilmu yang dihadiri. 

Bingung memikirkan hadiah

Hari ini, di sekolah diadakan sambutan ulang tahun ke 52 pengetua sekolah kami. Memandangkan beliau lahir pada tahun lompat, sambutan yang agak meriah telah dirancang, 4 tahun sekali katakan. Pun begitu, jika disorot kembali rentetan kisah sambutan ulang tahun hari lahir pengetua ini ke beberapa hari sebelumnya, satu isu yang paling hangat diperkatakan adalah berkenaan hadiah. 

Ya, hadiah adalah sesuatu yang sangat dititikberatkan untuk dipersembahkan kepada seseorang tambahan pula jika seseorang itu sangat dekat di hati kita. Kesannya, peninglah kepala memikirkan hadiah apakah yang paling sesuai sebagai perantara dalam bukan sahaja menunjukkan bahawa kita ingat akan ulangtahunnya atau dirinya, bahkan sebagai penyalur; jalan tengah, medium lambakan kasih sayang yang membuak-buak di dalam hati. Ya hadiah begitu simbolik; harus sahaja ia berjaya menjadi tinta yang menulis dengan kemas segala-galanya yang tersirat dan terbuku di dada. Hebat bukan?

Intipati Hadiah 

Justeru, secara fitrah intipati paling penting sesebuah hadiah, adalah yang ianya adalah berupa jambatan yang memberi kebaikan kepada si penerima hadiah itu. Kebaikan , yang mana, menurut kefahaman kita yang cetek ini, akan membawa kebahagiaan dan membuahkan kegembiraan kepada si penerima hadiah. 

Sebagai contoh, seorang ibu yang mahukan anaknya mengutip mutiara ilmu, akan menghadiahkan anaknya buku dengan harapan, akan tumbuh perasaan cinta kepada ilmu di hati anak itu yang akan menjadi penjaganya kelak. Seorang ibu yang lain pula akan memberikan hadiah permainan kepada anaknya kerana dia tahu permainan itu akan memberi keriangan dan kesukaan di hati anak kecilnya. Ibu yang lain pula mungkin akan menghadiahkan hadiah yang lain. Kesemuanya pilihan ini berbeza –beza dek kerana berbeza-bezanya output yang diharapkan daripada hadiah itu. 

Hadiah daripada Allah

Namun, Allah SWT memberikan kita satu dimensi atau pandangan berkenaan dengan kebaikan yang kita cari-cari ini. Nabi Muhammad SAW berkata, “Apabila Allah menginginkan kebaikan bagi seseorang , maka dia akan diberi kefahaman mendalam tentang agama.” Jadi, jika dirungkai secara mudah dan secara logiknya jika Allah sayang kepada seseorang hamba, akan diberi kebaikan. Dan kebaikan itu datang dalam bentuk kefahaman tentang agama yang mana hanya akan didapati melalui ilmu. Dan ilmu ini harus dicari dan diusahakan. 

Ringkasnya, jika Allah memberi gambaran tentang hadiah yang paling baik adalah ilmu agama, mengapa ibu bapa, pasangan suami isteri hatta guru-guru di sekolah sekalipun, jarang meletakkan usaha untuk menyediakan jambatan yang menuju kepada kefahaman ilmu agama kepada orang-orang yang dikasihi ini? Jika ada pun, hanya minoriti. Hadiah-hadiah berupa majlis harijadi, beg tangan berjenama, jam tangan berjenama lebih jadi pilihan 

Hadis Hadiah

Tidak salah memberi hadiah berupa kebendaan malahan Nabi Muhammad SAW sendiri sememangnya menganjurkan kita memberi hadiah sesama sendiri “ Salinglah kalian member hadiah, nescaya kalian akan saling mencintai (kerana Allah).” [al-Adab al-Mufrad, hadis no: 594 dengan sanad hasan]. Namun mengapa setiap kali hadiah ini sahaja menjadi pilihan, mengapa tidak digandingkan dengan hadiah berupa langkah-langkah yang membawa orang-orang tersayang disekeliling ini mendapat kebaikan hakiki? 

Kadangkala yang lebih menyedihkan, unsur kefahaman agama tidak langsung diselitkan dalam mendidik anak-anak atau membangunkan institusi kekeluargaan sedangkan kita semua mendambakan kebaikan. Ibu bapa kini, lebih cenderung mendedahkan anak-anak dengan kelas-kelas tarian, kesenian se dari kecil, ujar mereka, bimbang anak-anak bakal membesar menjadi anak-anak yang buta seni, yang menghairan tidak pula mereka bimbang anak-anak ini membesar menjadi manusia yang tidak mengenal Allah. 

Seharusnya kita lebih sedar akan Allah itu lebih mengetahui hakikat lekuk hati manusia dan tindak-tanduk makhluk ciptaanNya ini. Justeru pastilah Allah yang paling mengetahui apakah yang paling baik untuk kita. 

Penutup

Hari ni saya beli satu hadiah. Seperti yang saya sebut tadi, hadiah adalah medium curahan kasih sayang anda yang membuak-buak itu. Jadi, soalannya lensa mata siapa yang anda gunakan dalam meneliti dan memilih hadiah anda hari ini? Lensa mata manusia yang kadangkala kabur kadangkala terang, atau kanta dari langit?  

Renungan

Dan setiap orang bersungguh-sungguh mencari hidayah Allah, pasti Allah membukakan jalan untuknya. 
( Surah al-Ankabut:69), “Dan orang yang bersungguh-sungguh di jalan kami, maka akan kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan kami. Dan sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang melakukan ihsan.” Cara bersunguh-sungguh mencari hidayah adalah teruskan menuntut ilmu dengan bersungguh-sungguh. Tiada hari tanpa mencari ilmu. Tiada hari kecuali bertambah amal. Dan tiada hari kecuali semakin bersih hati kita. 

Wallahu’alam.

No comments:

Post a Comment