Tuesday, April 26, 2011

Kuman Di Tengah Laut

Bismillahirrahmanirrahim

Melangkah masuk ke kantin, terdengar suara parau seorang guru lelaki menempik seseorang. Semakin dekat, suara itu semakin kuat. Sesiapa sahaja yang mendengarnya pasti kecut perut. Telinga sensitifku mula menangkap bait-bait kata-kata yang sedang dihambur keluar.

Ternyata amarahnya dimuntahkan kepada seorang pelajar lelaki yang telah mencarut kepada seorang lagi guru lelaki.

Kekurangan Terbongkar

Alif (bukan nama sebenar), tidak seperti pelajar lain. Ada sedikit kelainan kepadanya terutamanya ketika dia bercakap. Mulutnya sedikit ternganga dan seakan-akan mencebik pada ketika dia tidak berkata-kata. Sedikit kekurangan/ujian yang dianugerahkan Allah sedari kecil agaknya.

Namun, perangai Alif yang kurang saya dan guru-guru lain bahkan kawan-kawan (yang bukan kawan baiknya) berkenan adalah ialah suka berkata-kata yang bukan-bukan, memperlekehkan kawan-kawan, guru-guru dan sesiapa sahaja tanpa kawalan. Mengajar Alif sendiri adalah satu ujian besar kerana satu disoal sepuluh atau dua puluh jawabnya.Tambahan pula semua kata-katanya akan disokong gelak tawa kawan-kawan yang kuat memberikan sokongan padu dan tidak berbelah-bagi.

Tetapi hari ini, agaknya memang hari untuk Alif. Hari ini saya lihat Alif menangis. Menyapu-nyapu air mata yang mengalir menggunakan tali leher berlogo sekolah kerana sebak dan berasa terhiris agaknya dengan kata-kata Cikgu Musa (bukan nama sebenar).

“…Kamu tahu kamu tak macam orang lain kan? Kamu tahu kamu ada kekurangan kan? Pernah kami hina kamu? Pernah cikgu-cikgu perlekehkan kamu dalam kelas? Pernah kami permainkan kekurangan kamu?” Mulanya Alif Nampak marah, dadanya berombak mahu protes dan cuba menolak Cikgu Musa.Kini Alif menggeleng kepada…menjawab persoalan guru disiplin itu.

“…Kamu tak sedar diri! Kamu memang jenis manusia tak sedar diri. Semua orang dalam sekolah ni nak menjaga hati kamu. Semua tak mahu kamu terasa sebab kamu tu tak macam orang lain.Kamu sedar tak kekurangan kamu???Kamu tahu tak betapa kami semua bersabar dengan kamu?..”akhirnya air mata Alif berlinangan. Saya tergamam. Dia tidak lagi menolak jari Cikgu Musa yang menunjal-nunjal badannya.Pelajar berbadan besar itu tertunduk sedih.

“..Kamu memang tak tahu diri!! Usaha kami nak menjaga hati kamu, tapi kamu? Kamu mencarut sesuka hati.Kamu mencarut dekat cikgu. Kata macam-macam dekat orang. Kamu sedar tak kamu ni siapa???”…

Alif menangis lagi. Mujur tidak ada yang nampak, kecuali beberapa orang guru dan murid yang berada di kantin ketika itu.

Fikiran saya melayang.Kata-kata Cikgu Musa tertancap di hati saya.

Alif Dalam Diri Kita

Kisah Alif boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Mungkin saja saya adalah watak Alif di dalam kehidupan saya sendiri. Mungkin juga anda Alif.

Sebagai manusia, dek kerana diletakkan Allah di sekitar orang-orang yang sangat tinggi kesabarannya, kita kadang-kadang jadi ‘naik lemak’. Padahal kekurangan kita, usaha Allah samarkan, Allah tutup rapat, Allah tutup dengan menganugerahkan mereka kesabaran dalam menangani perangai kita, Allah tumpahkan rasa kasih sayang yang melebihi rasa benci atau marah serta Allah tumpahkan belas ehsan dalam diri mereka agar tidak sampai hati menzahirkan kekurangan kita.

Tetapi kadang-kadang, kita cepat alpa. Apabila Allah menutup aib kita, kita pula sibuk mencari-cari aib orang. Suka leka, seronok menilai-nilai kekurangan dan kekerdilan orang lain padahal kita semua sama sahaja. Kita semua ada kisah buruk, cerita hitam, kekotoran jiwa, perangai-perangai dan sifat-sifat yang tidak membanggakan yang tidak ingin kita tontonkan kepada umum.

Dilaporkan oleh Saalim berkata ayahnya bahawa Nabi (SAW) bersabda “Sesiapa yang menutup aib saudara muslimnya maka Allah akan menutup aibnya di akhirat”
(riwayat Tirmizi disahihkan oleh Al-Albani).

Dilaporkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah (SAW) “Seorang muslim itu ibarat cermin kepada yang lainnya, bila dia melihat sebarang kekotoran maka segera dia menyapunya” (riwayat Tirmizi dan Abu Daud).

Tetapi kenapa pula, kita begitu berminat membongkar, membuka, menyelak dan mendedahkan dan mengulang-ulang kekurangan orang lain? Tidak terfikirkah kita bahawa orang lain juga seperti kita? Sangat berharap bahawa apa sahaja kekurangannya ditutup Allah. Berharap sangat kekurangannya dilupakan dan ditolak ketepi kerana kekurangan itu bukan sesuatu yang indah, sesuatu yang membanggakan untuk dikongsi bersama, bahkan kadangkala mengusik jiwa.

Mengapa Jadi Begini?

Jawapannya kerana kita lupa dengan kasih sayang Allah. Kita lemak dengan kasih sayang Allah. Kita tenggelam dengan kasih sayang Allah dalam menyekat pancaindera makhluk daripada melihat kehodohan dan kehitaman jiwa kita. Kita terlalu memandang yang zahir. Bagi kita apa yang ternampak, terlihat, terpampang, itulah segala-galanya dan harus kita besar-besarkan untuk perhatian umum.

Kita telah terbiasa membuat perkiraan bahawa apa yang di mata itu, itulah relitinya padahal kita lupa bahawa yang terbias di lensa mata dan lekat di dalam sangkaan kita itu bukan apa-apa.

Betapa banyaknya nikmat yang hebat Allah sembunyikan daripada mata kasar. Contohnya nyawa, iman, taqwa,perasaan dan kasih sayang.

Kasih sayang dan perasaan di hati, siapa yang boleh menduga? Ada yang mengatakan kasih sayang dan perasaan itu boleh dizahirkan dengan perbuatan. Apa pula ceritanya dengan kasih sayang yang tidak terzahir. Dan kenapa ada yang boleh marah sambil tersenyum? Bagaimana pula dengan golongan yang nampak garang diluar tetapi baik sebenarnya?

Zahir itu sesungguhnya boleh menipu.Kerana yang ghaib yang Allah sembunyikan itu mungkin sahaja lebih buruk, jijik, kotor, hitam, kelam….atau mungkin sahaja lebih indah, lebih cantik, bersih, suci yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Nasihat untuk Diri Sendiri

Tidak cukupkah Allah mengajarmu, bahawa apa yang engkau sangkakan itu sekali-kali tidak benar berbanding dengan ilmu yang ada pada Allah. Lihatlah disekelilingmu betapa semua orang bersabar dengan kekuranganmu. Lihatlah kurap di badan sendiri sebelum menunding kudis di kaki temanmu. Tetapi, Terima Kasih, dan Syukur Ya Allah kerana Engkau tidak pernah jemu dan mengajarku jalan cerita yang sama hikmahnya cuma situasinya berbeza. Kelam benar hati ini, sehingga terpaksa diajar berkali-kali untuk menyingkap pengajaran yang sama.

Buat Ibu Bapa dan Rakan-Rakan

Terima kasih kerana bersabar dengan kekuranganku dan terima kasih kerana menjadi perantara mengajar saya melihat keagungan kasih sayang Allah dan menyedarkan saya tentang nikmat ini. Percayalah, kadangkala apa yang saya zahirkan itu tidak lah menggambarkan kasih sayang yang sebenarnya ingin saya luahkan. Semoga jiwa kita sentiasa dikasihi Allah. Ameen.

p/s:takmau buat sangkaan berdasarkan apa yang terzahir dah lah.nanti Allah azabkan dengan perasaan sedih kerana salah sangka itu sendiri.

Thursday, April 21, 2011

Musibah

وَجَاءُوا عَلَىٰ قَمِيصِهِ بِدَمٍ كَذِبٍ ۚ قَالَ بَلْ سَوَّلَتْ لَكُمْ أَنفُسُكُمْ أَمْرًا ۖ فَصَبْرٌ جَمِيلٌ ۖ وَاللَّهُ الْمُسْتَعَانُ عَلَىٰ مَا تَصِفُونَ [١٢:١٨]

They stained his shirt with false blood. He said: "Nay, but your minds have made up a tale (that may pass) with you, (for me) patience is most fitting: Against that which ye assert, it is Allah (alone) Whose help can be sought"..

Monday, April 18, 2011

Dicemburui Nabi dan Para Syuhada

photo By: Deviant Art

Bismillahirrahmanirrahim

Al-Baihaqi dan al-Naqasi telah mentakhrijkan dalam Mu’jamnya dan Ibn al-Najjar daripada Waqid bin Salamah daripada Yazid al-Riqasyi daripada Anas r.a bahawa Rasulullah telah bersabda yang bermaksud:

“Mahukan aku khabarkan kepada kalian akan kaum-kaum yang mana bereka itu bukanlah para nabi bukan pula syuhada, (walhal) pada hari kiamat (nanti) para nabi dan para syuhada berasa ghibtah (iri hati) terhadap mereka lantaran manazil (status-status) mereka (begitu dekat) dengan Allah, di atas mimbar-mimbar daripada cahaya mereka dikenali.”

Lalu mereka (para sahabat) bertanya:“Siapakah mereka itu wahai Rasulullah s.a.w.?”

Baginda menjawab “Mereka itu ialah orang yang dijadikan hamba Allah dicintai oleh Allah s.w.t., dan menjadikan oleh Allah s.w.t.dicintai oleh hamba-Nya. Dan mereka itu berjalan kaki (bertebaran) di atas (permukaan) bumi dalam hal keadaan memberikan nasihat.”

Maka aku berkata: “Inilah menjadikan Allah s.w.t dicintai oleh hambaNya, maka bagaimanakah mereka menjadikan hamba Allah s.w.t dicintai oleh Allah s.w.t?”

Jawab Baginda Rasulullah s.a.w:

“Mereka itu menyuruh hamba-hamba Allah dengan apa yang Allah suka dan mencegah hamba-hamba Allah daripada apa yang Allah s.w.t benci. Maka apabila hamba Allah s.w.t mentaati mereka lalu Allah Azzawajalla mencintai mereka itu (yakni hamba-hamba Allah tadi).”

…………………..

(petikan Kembara Atas Maksud Agama Solusi #30)

Pilihan Allah

Oleh itu marilah kita bertebaran di atas muka bumi Allah di atas maksud agama, maksud menjadikan hamba-hamba Allah semakin mencintai Allah dan atas maksud agar hamba-hamba Allah semakin dicintai Allah.

Mudah sekali mengajak manusia menonton rancangan televisyen yang dirasakan enak dan menyenangkan. Mengapa berat sekali lidah mengajak kebaikan dan mencegah kemungkaran? Sahabat-sahabat sejiwaku, pergunakan jalan hidupmu yang telah dipilih Allah sebaiknya, dan percayalah tidaklah sia-sia engkau dipilih Allah untuk menjadi seorang guru, da’ie melainkan engkau sendiri yang mensia-siakannya.

Sunday, April 3, 2011

Cerita Khalifah

Hobi saya ialah membaca. Antara bacaan kegemaran saya ialah sirah dan kisah-kisah Khulafah Ar-Rasyidin. Bagi saya sirah adalah bacaan istimewa dan berjaya menyihir kegilaan membaca di hati saya. Biarpun diulang-ulang baca, tidak pula pernah merasa bosan.

Di sekolah, pelajar-pelajar pun suka mendengar sirah kalau menegur mereka. Rasa fresh kot! Yer lah, kat TV mana ada. Dalam TV banyak hantu berterbangan dan bersembunyi di pokok-pokok saja (dan hilang bila kita toleh untuk cek kenapa rasa meremang bulu roma). Jadi tak dapek lah, cerita hantu dah tak dilayan pelajar-pelajar.

Sirah

Kisah-kisah Nabi dan para sahabat tidak pernah gagal untuk menyuntik inspirasi, semangat, kekuatan jiwa, dan memberi pencerahan bermakna di kala perasaan lemah menyelubungi.

Kisah-kisah ini jugalah yang saya jadikan perbandingan dalam kehidupan seharian yang sangat jauh dari realiti dan hakikat sebenar fitrah kita. Tetapi tidak pula niat saya untuk mengatakan yang saya berjaya meneladaninya. Kerana sebetulnya jika dapat menjejak sedikit sahaja pun amat saya syukuri.

Manusia Berubah

Berlalunya waktu dan zaman menyingkap perubahan hidup manusia. Ibarat pembentukan batu-batu stalaktit dan stalakmit di dalam gua. Ianya mengambil masa yang sangat lama, kadangkala beratus-ratus tahun. Perubahan yang berlaku sangat halus dan amat perlahan sehingga seakan-akan tak terjadi di mata kasar. Namun sedar-sedar, batu itu sudah tersergam menghiasi atap dan perut gua.

Begitu juga dengan perubahan perilaku manusia dari zaman Nabi sehingga kini. Ulama’ –ulama’ zaman dahulu dan kini pun terlalu jauh berbeza. Sememangnya kita tidak layak membandingkan iman kita yang senipis kulit bawang dengan para sahabat, tabii dan tabiin, namun hanya melalui perbandingan dan kesedaran inilah realiti dapat kita tonton dibawah mikroskop hati yang semakin lama semakin kelam di tutup kejahiliahan moden.

Umar Garang

Dahulu, Umar ditakuti kerana ketegasannya sehinggakan apabila Umar melintasi kota kanak-kanak akan berlarian sambil berkata ‘Umar datang mari kita lari’. Kejadian ini menggambarkan betapa Umar amat digeruni kerana perwatakan dan keras hatinya sebagaimana diketahui umum.

Namun ketegasannya bertempat dan bukanlah tak tahu pucuk pangkal. Ketegasan dan garangnya Umar juga tidak pula menjadi bencana, factor kelemahan dan bahaya kepada agama. Kerana apa? Kerana dalam kehidupan para sahabat, sebagaimanapun sifat azali mereka, semuanya dilapisi dan didasari dengan kekuatan iman di jiwa. Justeru, tidak timbul kegusaran di hati penduduk yang dipimpin kerana jiwa khalifah mereka adalah jiwa seorang hamba, hamba Allah yang Esa.

Abu Bakar

Kelembutan jiwa dan sifat Abu Bakar juga tidak pula menjadi sebab beliau untuk lemah dalam mentadbir negara di awal-awal kewafatan Nabi Muhammad saw, di mana semua masalah negara seperti kemunculan nabi-nabi palsu, kawasan jajahan dan keengganan membayar zakat di kalangan penduduk, mula membuka tabir kekhalifahannya.

Khalifah Berjiwa Kental

Banyaknya orang-orang yang murtad dan nabi-nabi palsu membuat para sahabat sangat ketakutan, dan kondisi kemurtadan di sekitar Madinah menjadi lebih memprihatinkan. Justeru sebahagian sahabat mengusulkan orang-orang yang murtad dan nabi-nabi palsu sahaja diperangi, sedangkan orang-orang yang tidak membayar zakat tidak perlu diperangi.

Umar r.a mengatakan bahawa;

“Selama orang mengucapkan ‘La ilaha illallah’ selama itu pula mereka jangan diperangi. Dan setelah mengucapkan kalimah tauhid, diri dan harta mereka terjaga, tidak perlu engkau mengangkat senjata untuk memerangi orang yang mengingkari berzakat. Padahal mereka telah diberi keamanan.”

Setelah Ali r.a juga berkongsi kesepakatan dengan pemikiran Umar r.a, Abu Bakar yang ketika itu menjadi Khalifah berseorangan dalam pendiriannya. Lantas beliau berkata:

“Demi Allah, jika sahaja orang-orang mengurangi pembayarannya walaupun sebesar tali yang biasa digunakan untuk mengikat binatang, sebanyak mana yang biasa dibayar kepada Rasulullah saw, aku akan memerangi mereka.”

Abu Bakar memaksudkan bahawa, orang yang tidak mahu membayar zakat, bererti mereka ingin menghancurkan satu tiang agama sehingga Islam akan roboh.

Abu Bakar berkata lagi:

“Demi Allah, akan aku perangi orang-orang yang membezakan solat dan zakat”

Setelah itu Abu Bakar pantas meninggalkan Umar r.a dan Ali r.a dan pulang ke rumah. Pada hari itu juga, Abu Bakar r.a bertekad mahu berperang sendirian menjulang prinsip yang dirasakan benar dan diambil daripada Rasulullah tanpa ada perubahan sedikitpun. Maka pergilah Abu Bakar r.a menaiki unta dengan niat mahu berjihad seorang diri meredah padang pasir yang panas.

Ali r.a yang mengenderai kudanya dengan kencang menyusul memujuk Abu Bakar dan berkata kepadanya: “Amirul Mukminin, kembalilah. Masukkan pedang ke sarungnya. Jika Khalifah mengalami suatu musibah, islam tidak akan tegak.” Maka kembalilah Abu Bakar. Setelah itu semua pasukan tentera Islam dikirim ke seluruh penjuru kawasan jajahan untuk memerangi golongan yang tidak mahu berzakat itu.

Terharu bukan, membaca kisah-kisah pengorbanan para sahabat demi cinta kepada Allah dan Rasul dalam menegakkan agama Islam?

Pengorbanan

Pahit jerih silih berganti. Keseronokan berkeluarga entah ke mana. Luka-luka dan cedera tak usah dikira. Tetapi kesucian jiwa dan keluhuran hati mereka tiada tolok bandingannya. Ini lah kisah manusia-manusia yang menghambakan hampir seluruh hidup mereka bagi memastikan risalah dan agama yang dibawakan Nabi Muhammad s.a.w sampai kepada kita pada hari ini.

Itu cuma sedikit daripada coretan keperitan yang dihadapi para sahabat dalam menegakkan tiang agama kita. Banyak lagi kisah lain yang bisa saja dan dengan senangnya menyebabkan kita menitis air mata. Menitis air mata kerana apa? Kerana sebak, terharu, sedih, bersyukur, berterima kasih, mungkin juga kecewa dengan diri sendiri?

Kadangkala kita seronok bersuka-suka. Hujung minggu mengatur rencana mahu ke mana, nak tengok cerita apa? Nak makan di restoren mewah mana? Nak membeli-belah dan shopping apa? Namun tanyalah hati, tiliklah sejarah pengorbanan khalifah tercinta. Dan soal lah diri dengan satu persoalan yang mudah. Kemudian jawab lah sejujurnya.

“Untuk Islam sebeginikah khalifah-khalifah berkorban, bermati-matian, menghabiskan sisa-sisa perjuangan sehingga hembusan nafas terakhir semata-mata untuk memastikan agama ini sampai kepadaku?”

Terkesima dengan soalan itu sendiri bukan?

Doa Sedih Perang Badar

Pada malam itu, malam jum’at 17 Ramadhan 2 H, Nabi Allah Muhammad s.a.w lebih banyak mendirikan shalat di dekat pepohonan. Sementara Allah menurunkan rasa kantuk kepada kaum muslimin sebagai penenang bagi mereka agar bisa beristirahat. Sedangkan kaum musyrikin di pihak lain dalam keadaan cemas. Allah menurunkan rasa takut kepada mereka.

Mengikut logik akal, tentera Islam terlalu sedikit jika hendak dibandingkan dengan tentera golongan kafir. Berperang ketika Perang Badar boleh diibaratkan seaka-akan menghulurkan leher sendiri untuk dilapah dengan senang, jika dilihat dengan mata kasar. Mana mungkin tentera yang sedikit itu akan dapat mengalahkan tentera-tentera yang berlipat kali ganda jumlahnya dan lengkap persiapannya. Tetapi rencana Allah siapa yang tahu? Tiada siapa. Dan jika sahaja Allah mahu memberikan ajaiban, itu sesungguhnya amat mudah bagi Nya.

Malam itu, dalam keheningan malam Rasulullah s.a.w memanjatkan do’a kepada Allah memohon pertolongan dan bantuan dari-Nya, mengharap kemenangan bagi kaum Muslimin.

Berberulang-ulang Baginda menyeru:

“Ya Hayyu Ya Qayyum...Ya Hayyu Ya Qayyum" mengisyaratkan pengharapan dan sandaran yang teramat sangat.

"...Ya Allah, jika Engkau berkehendak (orang kafir menang), nesacaya Engkau tidak akan disembah. Ya Allah, jika pasukan yang kecil ini Engkau binasakan pada hari ini, nescaya Engkau tidak akan disembah…..”

Beliau s.a.w mengulang-ulang do’a ini sampai selendang beliau tarjatuh karena lamanya berdo’a, kemudian datang Abu Bakar As Shiddiq r.a memakaikan selendang beliau yang terjatuh sambil memeluk beliau… “Cukup-cukup, wahai Rasulullah…”

Tentang kisah ini, diabadikan Allah dalam FirmanNya,

إِذْ يُوحِي رَبُّكَ إِلَى الْمَلَائِكَةِ أَنِّي مَعَكُمْ فَثَبِّتُوا الَّذِينَ آَمَنُوا سَأُلْقِي فِي قُلُوبِ الَّذِينَ كَفَرُوا الرُّعْبَ فَاضْرِبُوا فَوْقَ الْأَعْنَاقِ وَاضْرِبُوا مِنْهُمْ كُلَّ بَنَانٍ (12) ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ شَاقُّوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَمَنْ يُشَاقِقِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَإِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ (13)

“Ingatlah), ketika Tuhanmu mewahyukan kepada para malaikat: “Sesungguhnya Aku bersama kamu, maka teguhkan (pendirian) orang-orang yang telah beriman”. Kelak akan Aku jatuhkan rasa ketakutan ke dalam hati orang-orang kafir, maka penggallah kepala mereka dan pancunglah tiap-tiap ujung jari mereka. (Ketentuan) yang demikian itu adalah karena sesungguhnya mereka menentang Allah dan Rasul-Nya; dan barangsiapa menentang Allah dan Rasul-Nya, maka sesungguhnya Allah amat keras siksaan-Nya.” (Qs. Al Anfal: 12-13)


Dan hari itu juga,Allah mengabulkan doa Nabi tercinta kita, dan menanglah kaum Muslimin dalam Perang Badar. Kemenangan yang didasari keyakinan dan kebergantungan kepada Allah semata-mata dan tiada yang lain. Juga kemenangan yang dicipta agar mengalirnya dan tertancapnya Islam di hati insan-insan terpilih sehingga ke akhir zaman dan tidak terhenti begitu sahaja dengan kewafatan Nabi selepas itu. Oleh itu tidak mungkinlah dapat kita membandingkan kekuatan tentera Islam dan tentera kafir senadainya tujuan dan niat berperang itu sendiri sudah menjawab keajaiban yang bakal berlaku.


Sayangnya Nabi s.a.w kepada kita umat akhir zaman.

Penutup

Persoalannya sekarang berbaloikah pengorbanan mereka semua untuk kita? Ya ‘kita’, golongan manusia yang tidak pernah bersua dengan Rasulullah dan merasai keperitan hidup menyebarkan Islam tetapi dapat merasa nikmat beragama. Sama-sama lah kita membuka minda dan meneliti refleksi di cermin sejarah ini. Dan soal lah berkali-kali “Untuk kitakah mereka berkorban sebegini rupa?”

Ya, jawapannya ya, untuk kita, kita yang…sebenarnya sedikit sekali mengikut jejak mereka dalam beragama. Sedih tetapi inilah kebenarannya, kita dengan senyuman dan gelak tawa, menggantikan pahit jerih perjuangan silam dengan kehidupan penuh warna dan suka di atas pentas bernama dunia.Astaqfirullahalazim.

p/s: aduh.sedihnya.

Saturday, April 2, 2011

Jangan Fikir. Jangan Tanya.

Bismillahirrahmanirrahim.

Fikir fikir

Apabila sesuatu ketentuan menjengah, kita bisa sahaja menjadi buntu.

Buntu memikirkan sebab-musabab kejadian. Buntu memikirkan salah silap sendiri. Buntu dalam memahami hikmah tarbiah Allah s.w.t yang dicuba disampaikan melalui apa yang terjadi. Ringkasnya segala-galanya menjadi sempit. Nafas bagaikan tersekat dicelah tekak. Tak tertelan dek paru-paru.

Mujur nyawa masih dipinjamkan, kadangkala kerana terlalu rumit memikirkan hal-hal sebegini, kita boleh sahaja melangkah ke alam separa sedar. Tahu-tahu telah melanggar lampu isyarat dan menderu laju menuju ke ‘I don’t know where’.

Daya fikir itu adalah pemberian Allah. Dan tindakan berfikir itu sendiri adalah atas gerakkan Allah jua. Namun, percayalah, sekiranya dikerahkan seluruh sel-sel , neuron yang berpangkalan di seluruh pelosok otakpun, kau tidak akan dapat membaca percaturan Allah. Otak ini tidak mampu mengingkap ilmu ghaib Allah. Dan tidaklah ianya dijadikan untuk tujuan itu.

“Dia telah menciptakan manusia dari mani, tiba-tiba ia menjadi pembantah yang nyata.” (An-Nahl:4)

Kunci Keyakinan

Kuncinya Allah mahu kita meyakini bahawa Allah telah menetapkan suatu ketentuan atas segala sesuatu, bahkan sebelum sesuatu itu ada dan terjadi. Semuanya telah tertulis. hatta kejadian seperti kad bank yang terlekat di mesin ATM pun telah ditakdirkan apatah lagi, ujian-ujian yang tersusun rapi menghiasi kehidupan sehari-harian.

Lalu apa yang bisa terlepas dari takdir atau ketentuan Allah. Tak ada.Tidak ada.

Jadi siapa aku untuk menghitung sebab musabab turun naik iman. Kenapa itu kenapa ini?

Kisah Perit Lukisan Allah

Diceritakan daripada Syeikh Afifuddin az-Zahid, bahawasanya, ketika berada di Mesir, dia mendengar khabar tentang peristiwa pelanggaran dan penaklukan Kota Baghdad yang dilakukan oleh orang-orang kafir terhadap kaum muslimin. Selama hampir 3-4 tahun, Baghdad menjadi kota mati tanpa kepimpinan seorang khalifah.

Pada waktu itu, orang-orang kafir berleluasa melakukan penindasan terhadap Islam dengan cara mengalungkan mashaf-mashaf al-Quran pada leher-leher anjing mereka serta membuang kitab-kitab karangan ulama Islam di Sungai Tigris, sehingakan kerana banyakkan kitab yang mereka lemparkan di sungai tersebut, orang-orang kafir dapat menjadikannya sebagai jambatan untuk dilalui oleh tentera dan kuda2 mereka.

Suasana begitu membuatkan Syeikh Afifuddin az-Zahid sedih dan prihatin hingga dia pun mengadu kepada Allah

"Wahai Tuhanku, bagaimana (kau biarkan keadaan seperti) ini terjadi begitu sahaja sementara di sana banyak anak-anak kecil dan orang2 yang tidak berdosa?

Pada malam harinya, Syeikh Afifuddin az-Zahid bermimpi bertemu seorang lelaki yang membawa suatu kitab di tangannya. Kemudian dia mengambil kita b tersebut, lalu ia membukanya. Di dalamnya dia mendapati dua bait syair berikut .

"Tinggalkanlah rasa keberatanmu kerana itu bukanlah urusanmu dan tiada suatu hukum pun atas pergerakan bahtera (di lautan).

Dan jangnlah engkau menentukan atas apa yang akan dilakukan Allah, kerana barangsiapa berusaha meredakan gelombang samudera maka ia sendiri akan binasa."

Penutup

Wahai otak yang berdaya fikir. Berhentilah meneka-neka. Kerahkan usahamu, fikirkan keagungan Allah bukan bertanya-tanya kenapa itu dan ini nescaya kau akan selamat. Astaqfirullahalazim.

Ya Allah kasihani aku. Ampunkan aku. Ameen.

Rujukan: Mutiara-mutiara keimanan – Sheikh Nawawi Al-Bantani