Saturday, July 2, 2011

Monolog Bisu - Menjejak Kasut Terbaik

Setiap manusia mempunyai fitrah yang sama terhadap apa yang dia berkehendak, iaitu tidak lain tidak bukan, mahukan yang terbaik. Terbaik disini, selalunya lebih membawa maksud, terbaik mengikut satu-satu pemikiran atau fahaman yang disepakati, sebagai contoh kenderaan terbaik bagi sesetengah orang adalah yang menawarkan kelajuan, tetapi mungkin sahaja kenderaan terbaik mengikut definisi sekelompok manusia yang lain adalah kenderaan yang kelihatan hebat.

Siapa yang menggariskan maksud terbaik yang selalu digunapakai oleh kita? Selalunya, terbaik yang kita pakai sebagai ‘bench mark’ adalah apa yang dipersetujui oleh masyarakat secara berkelompok. Namun selalunya, di dalam kita ghairah menggunapakai maksud terbaik yang diberikan persekitaran kita, Allah taala juga ada memberikan kita maksud apakah ‘terbaik’ mengikut kanta mata Allah.

Terbaik mengikut kaca mata Allah inilah terbaik sebenar. Kerana apa? Definisi terbaik ini direka sendiri oleh Dzat yang menciptakan kita, justeru pastinya jurutera yang merekabentuk kapal itu sendirilah yang paling ariff tentang rekaannya. Namun, terbaik menurut kaca mata Allah ini tidak mudah dicapai, ia tidak semudah mendapatkan iphone terbaru, yang mana jika merasakannya sebagai telefon mudah alih terbaik, jika tidak mampu membeli tunai, ada yang bertindak membeli secara ansuran, pakej dan sebagainya. Yang pasti iphone berjaya berada dalam genggaman akhirnya.

Terbaik lukisan Allah jauh sekali dari itu. Kadangkala, terbaik mengikut definisi Allah tidak semurah iphone. Sebagai contoh, definisi terbaik bagi Allah terhadap seorang Islam, khususnya seorang wanita adalah untuk menutup aurat sebaik-baiknya mengikut garisan dan panduan yang Allah tetapkan. Namun, apa yang menghalang kita daripada menutup aurat menepati ciri-ciri terbaik yang Allah gariskan ini? Tidak lain tidak bukan adalah iman. Nescaya jika kita mencuba sehabis-dayapun, jika iman itu tidak lekat dihati mencapai tahapnya, kita akan merasa lemah, janggal, tidak berdaya menegakkan hukum Allah dengan yakin.

Kita akan tewas dengan pujuk rayu dunia. Kita mudah berasa lemah dengan pandangan orang ramai serta tidak yakin bahawa apa yang terbaik bagi Allah itu sesungguhnya apa yang paling indah, yakni keindahan hakiki.

Itulah harga iman. Tidak terdapat di pasar-pasar, tidak terdapat dalam kebiasaan yang selesa yang kita sangka dengan mudah boleh tertancap di hati. Kerendahan nilai iman inilah yang menjadikan kita mencampur adukkan definisi terbaik ini sesuka hati dan mengikut acuan sendiri dan apa yang terlarat di hati, walaupun hakikatnya kita sendiri tahu, itu akhirnya akan mengubah definisi terbaik Allah kepada definisi terbaik manusia, contohnya terbaik bagi rata-rata masyarakat masakini dalam berpakaian adalah memakai tudung tidak semestinya labuh ke dada, bersanggul, harus menggayakan ala-ala pereka pakaian 'muslimah' antarabangsa, kelihatan 'cool', menarik perhatian ramai. Jauh daripada definisi Allah, bukan? Tidaklah Allah beri anugerah iman itu dengan mudah melainkan dengan mujahadah yang tidak terbayang dek mata.

Iman itu hakikatnya, terlalu mahal sehingga pada hari ini saya tersedar yang saya tidak dapat menggapainya sebagaimana yang disangka atau diagak. Teruji dengan definisi terbaik, mengikut perkiraan Allah di dalam satu aspek kehidupan, saya, selari dengan fitrah manusia tamak untuk mendapatkan yang terbaik itu. Namun terbaik mengikut definisi Allah itu apa? Terbaik itu berat, hebat, penuh dugaan dan duri dilaluan. Terbaik itu terlalu jauh untuk digapai. Terbaik itu sarat dengan racun berbisa yang akan membuatkan kita lemah jika iman rendah.

Saya mahu, tetapi sejujurnya saya tidak mampu. Kerana lemahnya iman, saya tidak kuat, dan berasa lemah dan tidak layak dalam memiliki apa yang terbaik itu, walaupun jauh dilubuk hati saya, tidak dapat saya gambarkan betapa peluang mendapatkan apa yang terbaik itu di depan mata. Tetapi mata saya masih kabur, saya masih kuat dicengkam definisi terbaik rekaan manusia.

Perumpamaannya adalah, saya melihat sepasang kasut yang tersangat cantik. Kasut itu masalahnya terlalu besar untuk memuatkan kaki saya. Saya boleh sahaja membelinya kerana tamakkan keindahan kasut itu, tapi saya sendiri tahu, pada hakikatnya saya tidak akan bisa memperagakan kasut itu . Jika saya berdegil tetap mahu memakainya, saya mungkin terjatuh dan tercedera dengan teruk pergelangan kaki kerana saiz yang salah. Saya juga tidak akan dapat berjalan dengan baik, saya akan menyeret-nyeret kaki kerana risau kasut yang besar itu lucut dari kaki saya. Lalu dimanakah kegembiraan saya dalam mendapati kasut yang indah itu? Tiada, jawapannya tiada kerana seindah mana pun kasut itu, saya harus menerima kenyataan kaki saya pada masa ini belum cukup besar untuk memakainya.

Saya mahukan kasut yang indah itu, saya yakin dengan masa yang gerakkan Allah, kaki saya akan melalui process pertumbuhan, iaitu sebegitulah iman insya Allah, akan sampai satu masa, kaki saya akan muat untuk berpijak dengan selesa di dalam kasut idaman itu, yang mana memakainya tidak akan menyakitkan, menggunakannya membanggakan, melaluinya pencapaian akan dilakar, melihatnya sahaja akan menimbukan kegirangan kerana saya mampu dan layak untuk menyarung kasut yang indah yakni apabila iman itu cukup teguh, adalah menjadi mudah untuk menggapai definisi terbaik, mengikut perintah Allah.

Tetapi hari yang menggembirakan itu bukan hari ini. Hari ini cuma hari Allah memperkenalkan peraturan, dan makna ‘terbaik’ mengikut definisiNya dan apa yang harus saya tinggalkan dalam mengecapkan yang terbaik itu. Akan saya nanti hari itu…. Ameen.

p/s: Doakan saya menjadi manusia yang redha dengan nikmat Allah yang dibahagi-bahagikan

1 comment:

  1. wow. penulisan yang hebat!

    memang benar, kita seringkali kalah dengan bujukan duniawi, hingga merendahkan definisi 'terbaik' di sisi Tuhan itu sebagai setaraf dengan defini manusiawi.

    astaghfirullah. sama-sama berusaha merubah diri!

    terima kasih atas pengisian yang begitu bernas. :)

    ReplyDelete