Saturday, December 18, 2010

Krisis Keyakinan

gambar ni takde kaitan sebenarnya, Aku saja je hihi abaikan

Apabila diuji kerapkali kita melihat ujian itu sebagai satu seksaan dan malapelaka yang kadangkala kesedihan atau kegusaran itu berapa di tahap melampau-lampau. Kita menangis semahu-mahunya, bercerita tidak henti-henti dan menyalahkan diri sendiri dan orang sekeliling yang boleh disalahkan. Terlalu cepat kita melatah. Terlalu dangkal dan singkat sekali pemikiran kita yang pada dasarnya dilapisi ilmu agama. Tanpa kita sedari cerminan ini jugak mungkin bermakna kerendahan iman.

Di luar kotak musibah, boleh sahaja kita menasihati orang lain agar bersabar, supaya banyakkan berserah kepada Allah, bertawakkal dan redha dengan qada’ dan qadar tetapi lihatlah saja berapa ramai antara kita yang akhirnya memakan kata-kata sendiri apabila dihembus angin musibah. Kata-kata nasihat yang bersemangat keluar dari mulut kita sendiri kini pudar dan longlai dipukul ujian dunia. Mungkin ada yang kata
’Tak rasa mana tahu. Kena batang hidung sendiri baru tahu’

”Wahai orang-orang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan...?” (al-Shaf:2)

Mengapa ini terjadi?

Mengapa ada di antara orang-orang yang lebih dulu ’makan garam’ dan mereka yang dalam ilmu kefahamannya tentang hakikat dan takdir Allah juga tidak terlepas dari berkelakuan demikian walaupun mereka tahu ilmu agama? Mereka sepatutnya lebih arif bukan?

...................

Ini kerana kita tidak bercakap soal ilmu. Kita bercakap berkenaan satu kuasa yang jauh lebih kuat dari ilmu yang tersimpan di otak – akal fikiran. Kita bercakap tentang hati. Organ yang menjadi raja kepada tubuh badan setiap dari kita. Jika baik hatinya maka baiklah keseluruhannya.

Hati lah yang membimbing kita untuk kuat menghadapi kesusahan atau ujian Allah. Kerana di hati tersimpannya keyakinan yang tidak bisa muncul melalui ilmu pengetahuan yang kita perolehi semata-mata. Keyakinan dari hati itu terbit tidak lain tidak bukan bersama iman – iman yang datang daripada ilmu pengetahuan yang disertai amalan. Disebabkan itu, mengetahui tidak semestinya meyakini lantas bisa dizahirkan keyakinan itu dengan perbuatan.

Mengetahui itu berpangkalan di otak manakala meyakini berpangakalan di hati dan bersangkutan dengan perihal iman seseorang. Oleh yang demikian, boleh sahaja kita menyuruh seseorang bersabar menghadapi kematian ibu atau ayah tersayang atau difitnah rakan sekerja, dan pasti orang yang ditimpa musibah itu juga tahu dia harus bersabar, tetapi setakat mana kemampuannya untuk bersabar itu bukan di dalam kawalan pengetahuan tentang kesabaran itu. Kemampuan itu ditentukan oleh kekuatan hati dan keyakinan terhadap takdir, qada’ dan qadar’ dan janji-janji Allah sendiri.

Tidak yakinkah kita perjuangan kita dalam bersabar dan terus mentaati perintah Allah ini yang sememangnya tampak berat ini akan di balas dengan balasan lebih baik?

Jika tidak upaya bersabar, redha, tidak ada salah siapa-siapa, salah kita yang tidak yakin. Tidak yakin dengan janji Allah dan lemahnya kita dalam mengenal sifat-sifat Allah. Kita mungkin fasih melaungkan asma-ul-husna tetapi mungkin juga gagal dalam meyakini kebenaran nama-nama Agung yang basah di lidah kita. Bila difikirkan aku sendiri rasa malu dan terlalu daif dan super duper kerdil hendak mencongak iman yang ntah hanya berada di tahap mana kalau hendak dihitung berdasarkan hal ini semata. Disebabkan itulah, kadangkala, mungkin selalu juga kita gagal tenang apabila berhadapan dengan konflik dalam kehidupan seharian.

Sahabat-sahabat yang dikasihi, aku menulis bukan untuk memandai-mandai meneliti kesalahan orang lain tetapi menasihat diri sendiri dan sebagai nota fikir bersama yang aku harap dengan izin Allah dapat menjadi titik bermulanya usaha untuk sama-sama meneliti dan memperbaiki diri dalam mensyukuri nikmat Islam yang kita dapat percuma ini.

Benarkah cinta kita pada Allah jika sifat-sifat Allah pun kita gagal percaya dan yakin?

Di dalam Islam sistem keyakinan itu hakikatnya berada pada tahap foundation atau background dalam beragama. Rukun iman sendiri berkisar tentang kepercayaan yakni keyakinan kita kepada 6 perkara pokok. Dan enam perkara pokok ini sememangnya adalah perkara-perkara ghaib yang tidak bisa kita lihat dengan mata kasar kecuali kitab Al-Quran. Mengapa perkara ghaib? Kerana Allah hendak menguji keyakinan kita. Yakni Haqqul yakin, keyakinan sepenuh hati tanpa melibatkan bukti atau akal. Keyakinan yang diharapkan ini juga membawa maksud keberserahan secara total kepada Allah tanpa bersebab atau bukti. Ringkasnya, Allah mahu kita percaya dan yakin hanya kerana Allah mengatakannya sebegitu.

Teladan Sahabat

Dalam meneladani Haqqul Yakin, satu ketika, di waktu berlakunya peristiwa Israk Mikraj, betapa ramainya yang tidak yakin dengan kenyataan Nabi SAW bahawa beliau telah dijalankan oleh Allah di waktu malam ke Baitulamaqdis Masjid Al-Aqsa daripada Masjidil Haram pada malam yang sama diangkat hingga ke Sidratul Muntaha. Menurut tafsiran Sya’rawi, ramai yang tidak percaya sehingga ada yang murtad sementara golongan kafir Mekah lebih ke arah memaksa Nabi SAW mengaku yang perjalanan itu cumanya perjalanan roh yakni mimpi dan bukan jasad kerana ianya lebih logik dan boleh diterima akal.

Namun di kala itu, Abu Bakar sahabat Nabi SAW menerima berita itu dengan penerimaan seorang mukmin yang membenarkan peristiwa itu.

”Jika Muhammad berkata demikian maka dia benarKemudian dia berkata lagi,
”Bahkan kita mempercayainya jika dia mengatakan yang lebih jauh dari itu, kita telah mempercayainya dalam hal berita langit (wahyu), lalu bagaimana kita tidak mempercayainya dalam hal ini?”

Sayu memikirkan betapa tingginya iman Abu Bakar yang diterjemahkan melalui keyakinannya secara total kepada Rasulullah tanpa memerlukan bukti atau dalil. Begitukah kita? Hikmah kejadian israk’ Mikraj ini tidak lain tidak bukan adalah sebagai ujian keimanan dan permbersihan keyakinan manusia sehingga tidak menetap orang-orang disekeliling Rasulullah melainkan mereka yang memiliki keimanan dan keyakinan yang kuat yang tidak dapat digoyahkan.

Ashabul Kahfi

Kisah pemuda-pemuda Ashabul Kahfi sekali lagi mengajar kita tentang keimanan. Perjuangan mereka melarikan diri ke sebuah gua (yang sepatutnya; zahirnya sempit) bagi menyelamatkan akidah dan keimanan adalah berdasarkan prinsip keyakinan juga.

Cuba kita bayangkan, mereka semua pergi perlindung ke dalam gua dan meninggalkan semua harta, keluarga dan segala-galanya yang mereka miliki. Modal yang ada dibawa cuma agama yakni keimanan, ke tempat yang sempit yang tiada apa pun di dalamnya yang boleh menjamin kehidupan mereka. Namun sedikit tidak terdetik di hati mereka untuk gusar dan risau ketika itu kerana mereka yakin mereka mempunyai Tuhan yang akan menguruskan semua urusan mereka dan mereka cuma berdoa sepenuh hati.

Kemudian Allah menjawab doa mereka. Allah menghadiahi keimanan mereka dan mencukupi keperluan mereka dengan sesuatu yang diluar logik akal.

”Maka Kami tutup telinga mereka beberapa tahun dalam gua itu” (Al-Kahfi: 11)

Mengapa ditutup telinga? Kerana Allah mahu membenarkan mereka tidur yang tidak akan diganggu dengan apa sekali pun kerana telinga merupakan organ yang masih berfungsi di kala kita masih tidur. Dengan tertutupnya telinga, Allah menidurkan mereka selama kurang lebih 309tahun sekaligus mencukupkan keperluan mereka untuk hidup sedangkan mereka tidak sedar langsung akan hal itu.

Mengapa mereka dibantu? Kerana yakin. Kerana keteguhan hati dalam beriman kepada janji Allah dan beramal untuknya.

”Dan Kami telah meneguhkan hati mereka di waktu mereka berdiri lalu mereka berkata, ’Tuhan kami adalah Tuhan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak menyeru Tuhan selain Dia, sesungguhnya kami kalau demikian, telah mengucapkan perkataan yang amat jauh dari kebenaran” (al-Kahfi; 14)

Halangan

Lalu apa yang menghalang kita daripada meyakini janji Allah? Tidak cukupkah pengajaran dari dalam Al Quran mengenai janji-janji Allah yang tepati dengan kurnian terbaik di luar imaginasi kita? Aku mengira ini tidak lain tidak bukan kerana kerendahan iman kita sendiri.

Kita terbiasa melihat ’alat atau medium’ yang digunakan untuk menguji kita sebagai penyebab utama dan bukanlah Allah. Dalam ayat yang lebih ringkas kita mahu ’someone to put the blame on’. Lemah benar iman kita. Sedar tidak sedar kita sudah terlalu terbiasa menjadikan manusia, kejadian atau material sebagai sebab musabab terjadi sesuatu. Kita gagal dalam meyakini semuanya datang dari Allah dan ini semua hanyalah ujian. Hati ini terlalu keras untuk memahami yang semua ini berlaku hanya berlaku kerana Allah mahu ianya berlaku. Kerana jika Allah mentakdirkan sesuatu ke atasmu, nescaya seluruh cakerawala akan bekerjasama menjalankan ’kun’ Allah itu, tetapi seandainya tidak ditakdirkan berlaku, bekerjasamalah keseluruhan jin dan manusia pun, tidak akan bisa membuatkannya terjadi.

Jenuh juga mengingatkan diri berkali-kali di kala terjadinya apa-apa masalah yang sebenarnya kita semua sedang diuji Allah sebenarnya.

Buat sahabat dan diri sendiri, takdir Allah itu sudah tertulis. Apabila dikunjung kesempitan, masalah, konflik, ujian, kesedihan, musibah yang menggoncang keyakinanmu, kembalilah kepada Allah. Tidak usah berterus-terusan melawan takdir dan menyalahkan dunia sekeliling. Kita diuji kerana Allah masih sayangkan kita dan masih mahu menunjukkan jalan yang lurus kepada kita agar tidak dibiar hanyut,leka dan alpa dalam keseronokan, kegembiraan sementara yang belum tentu baik buruknya.

Yakinlah apa sahaja yang hilang; sahabat, kepercayaan, harga diri, saudara, kegembiraan, kebiasaan, kemewahan, maruah, keyakinan diri, atau anak, yang gantian Allah atau balasan atas kesabaran dari kehilangan itu adalah lebih baik. Yang pasti yakinlah kita, seyakin-yakinnya barulah Allah akan memberi yang terbaik kepada kita. Bukankah Allah itu mengikut sangkaan kita terhadapNya?

Penutup

Di dalam kisah Nabi Musa, Allah memberi jaminan kepada bonda Nabi Musa apabila dia perlu menghanyutkan Musa ke sungai. Dalam jaminan Allah, Allah telah menyebut Dia menguatkan hati bonda Nabi Musa supaya iman menjadi kuat dan mampu bersabar serta percaya kepada janji Allah. Kerana secara logiknya ibu mana yang sanggup menghanyutkan anak sendiri di dalam sungai daripada menjaganya sendiri, walaupun keadaan memaksa. Sesungguhnya Allah lah yang memberi ilham dan keyakinan itu.

”Dan hati ibu Musa menjadi kosong, Sungguh hampir saja dia menyatakan (rahsia tentang Musa) seandainya tidak Kami teguhkan hatinya, agar dia termasuk orang-orang yang beriman (kepada janji Allah) (28:10)

Syaratnya kita harus berada dalam kategori orang beriman yakni yakin dahulu. Di dalam surah al-Fath Allah menyebut sekiranya Dia mengetahui keimanan ada dalam hati salah seorang hambanya, pasti Dia akan menurunkan ketenangan ke dalam hati orang itu pada saat terjadinya musibah.

”Sesungguhnya Allah reda kepada orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada di dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)” (48:18)

Renungan

Ketika Nabi Ibrahim mahu meninggalka Siti Hajar di tanah gersang dan kontang yang mana tidak ada hidupan pun di situ, Siti Hajar betanya,Disinikah kami ditinggalkan? Apakah kamu meninggalkan kami di sini atas pilihanmu atau atas pilihan Tuhan?”

Ibrahim menjawab:
”Ini adalah perintah Allah”

Hajar membalas dengan yakin:
”Kalau begitu kami tidak akan ditelantarkanNya”

SELAMAT MENYEMAI KEYAKINAN YANG TIDAK BERBELAH BAHAGI KEPADA ALLAH


Allah is near, dekat dari urat nadimu.

Rujukan:
Lautan Maha Kasih dalam Kisah – saduran tafsir Sya’rawi (2008) – Pustaka Jiwa
Khadijah: Cinta Abadi Kekasih Nabi (2009) -PTS

No comments:

Post a Comment