Tuesday, April 26, 2011

Kuman Di Tengah Laut

Bismillahirrahmanirrahim

Melangkah masuk ke kantin, terdengar suara parau seorang guru lelaki menempik seseorang. Semakin dekat, suara itu semakin kuat. Sesiapa sahaja yang mendengarnya pasti kecut perut. Telinga sensitifku mula menangkap bait-bait kata-kata yang sedang dihambur keluar.

Ternyata amarahnya dimuntahkan kepada seorang pelajar lelaki yang telah mencarut kepada seorang lagi guru lelaki.

Kekurangan Terbongkar

Alif (bukan nama sebenar), tidak seperti pelajar lain. Ada sedikit kelainan kepadanya terutamanya ketika dia bercakap. Mulutnya sedikit ternganga dan seakan-akan mencebik pada ketika dia tidak berkata-kata. Sedikit kekurangan/ujian yang dianugerahkan Allah sedari kecil agaknya.

Namun, perangai Alif yang kurang saya dan guru-guru lain bahkan kawan-kawan (yang bukan kawan baiknya) berkenan adalah ialah suka berkata-kata yang bukan-bukan, memperlekehkan kawan-kawan, guru-guru dan sesiapa sahaja tanpa kawalan. Mengajar Alif sendiri adalah satu ujian besar kerana satu disoal sepuluh atau dua puluh jawabnya.Tambahan pula semua kata-katanya akan disokong gelak tawa kawan-kawan yang kuat memberikan sokongan padu dan tidak berbelah-bagi.

Tetapi hari ini, agaknya memang hari untuk Alif. Hari ini saya lihat Alif menangis. Menyapu-nyapu air mata yang mengalir menggunakan tali leher berlogo sekolah kerana sebak dan berasa terhiris agaknya dengan kata-kata Cikgu Musa (bukan nama sebenar).

“…Kamu tahu kamu tak macam orang lain kan? Kamu tahu kamu ada kekurangan kan? Pernah kami hina kamu? Pernah cikgu-cikgu perlekehkan kamu dalam kelas? Pernah kami permainkan kekurangan kamu?” Mulanya Alif Nampak marah, dadanya berombak mahu protes dan cuba menolak Cikgu Musa.Kini Alif menggeleng kepada…menjawab persoalan guru disiplin itu.

“…Kamu tak sedar diri! Kamu memang jenis manusia tak sedar diri. Semua orang dalam sekolah ni nak menjaga hati kamu. Semua tak mahu kamu terasa sebab kamu tu tak macam orang lain.Kamu sedar tak kekurangan kamu???Kamu tahu tak betapa kami semua bersabar dengan kamu?..”akhirnya air mata Alif berlinangan. Saya tergamam. Dia tidak lagi menolak jari Cikgu Musa yang menunjal-nunjal badannya.Pelajar berbadan besar itu tertunduk sedih.

“..Kamu memang tak tahu diri!! Usaha kami nak menjaga hati kamu, tapi kamu? Kamu mencarut sesuka hati.Kamu mencarut dekat cikgu. Kata macam-macam dekat orang. Kamu sedar tak kamu ni siapa???”…

Alif menangis lagi. Mujur tidak ada yang nampak, kecuali beberapa orang guru dan murid yang berada di kantin ketika itu.

Fikiran saya melayang.Kata-kata Cikgu Musa tertancap di hati saya.

Alif Dalam Diri Kita

Kisah Alif boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. Mungkin saja saya adalah watak Alif di dalam kehidupan saya sendiri. Mungkin juga anda Alif.

Sebagai manusia, dek kerana diletakkan Allah di sekitar orang-orang yang sangat tinggi kesabarannya, kita kadang-kadang jadi ‘naik lemak’. Padahal kekurangan kita, usaha Allah samarkan, Allah tutup rapat, Allah tutup dengan menganugerahkan mereka kesabaran dalam menangani perangai kita, Allah tumpahkan rasa kasih sayang yang melebihi rasa benci atau marah serta Allah tumpahkan belas ehsan dalam diri mereka agar tidak sampai hati menzahirkan kekurangan kita.

Tetapi kadang-kadang, kita cepat alpa. Apabila Allah menutup aib kita, kita pula sibuk mencari-cari aib orang. Suka leka, seronok menilai-nilai kekurangan dan kekerdilan orang lain padahal kita semua sama sahaja. Kita semua ada kisah buruk, cerita hitam, kekotoran jiwa, perangai-perangai dan sifat-sifat yang tidak membanggakan yang tidak ingin kita tontonkan kepada umum.

Dilaporkan oleh Saalim berkata ayahnya bahawa Nabi (SAW) bersabda “Sesiapa yang menutup aib saudara muslimnya maka Allah akan menutup aibnya di akhirat”
(riwayat Tirmizi disahihkan oleh Al-Albani).

Dilaporkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah (SAW) “Seorang muslim itu ibarat cermin kepada yang lainnya, bila dia melihat sebarang kekotoran maka segera dia menyapunya” (riwayat Tirmizi dan Abu Daud).

Tetapi kenapa pula, kita begitu berminat membongkar, membuka, menyelak dan mendedahkan dan mengulang-ulang kekurangan orang lain? Tidak terfikirkah kita bahawa orang lain juga seperti kita? Sangat berharap bahawa apa sahaja kekurangannya ditutup Allah. Berharap sangat kekurangannya dilupakan dan ditolak ketepi kerana kekurangan itu bukan sesuatu yang indah, sesuatu yang membanggakan untuk dikongsi bersama, bahkan kadangkala mengusik jiwa.

Mengapa Jadi Begini?

Jawapannya kerana kita lupa dengan kasih sayang Allah. Kita lemak dengan kasih sayang Allah. Kita tenggelam dengan kasih sayang Allah dalam menyekat pancaindera makhluk daripada melihat kehodohan dan kehitaman jiwa kita. Kita terlalu memandang yang zahir. Bagi kita apa yang ternampak, terlihat, terpampang, itulah segala-galanya dan harus kita besar-besarkan untuk perhatian umum.

Kita telah terbiasa membuat perkiraan bahawa apa yang di mata itu, itulah relitinya padahal kita lupa bahawa yang terbias di lensa mata dan lekat di dalam sangkaan kita itu bukan apa-apa.

Betapa banyaknya nikmat yang hebat Allah sembunyikan daripada mata kasar. Contohnya nyawa, iman, taqwa,perasaan dan kasih sayang.

Kasih sayang dan perasaan di hati, siapa yang boleh menduga? Ada yang mengatakan kasih sayang dan perasaan itu boleh dizahirkan dengan perbuatan. Apa pula ceritanya dengan kasih sayang yang tidak terzahir. Dan kenapa ada yang boleh marah sambil tersenyum? Bagaimana pula dengan golongan yang nampak garang diluar tetapi baik sebenarnya?

Zahir itu sesungguhnya boleh menipu.Kerana yang ghaib yang Allah sembunyikan itu mungkin sahaja lebih buruk, jijik, kotor, hitam, kelam….atau mungkin sahaja lebih indah, lebih cantik, bersih, suci yang tidak tergambar dengan kata-kata.

Nasihat untuk Diri Sendiri

Tidak cukupkah Allah mengajarmu, bahawa apa yang engkau sangkakan itu sekali-kali tidak benar berbanding dengan ilmu yang ada pada Allah. Lihatlah disekelilingmu betapa semua orang bersabar dengan kekuranganmu. Lihatlah kurap di badan sendiri sebelum menunding kudis di kaki temanmu. Tetapi, Terima Kasih, dan Syukur Ya Allah kerana Engkau tidak pernah jemu dan mengajarku jalan cerita yang sama hikmahnya cuma situasinya berbeza. Kelam benar hati ini, sehingga terpaksa diajar berkali-kali untuk menyingkap pengajaran yang sama.

Buat Ibu Bapa dan Rakan-Rakan

Terima kasih kerana bersabar dengan kekuranganku dan terima kasih kerana menjadi perantara mengajar saya melihat keagungan kasih sayang Allah dan menyedarkan saya tentang nikmat ini. Percayalah, kadangkala apa yang saya zahirkan itu tidak lah menggambarkan kasih sayang yang sebenarnya ingin saya luahkan. Semoga jiwa kita sentiasa dikasihi Allah. Ameen.

p/s:takmau buat sangkaan berdasarkan apa yang terzahir dah lah.nanti Allah azabkan dengan perasaan sedih kerana salah sangka itu sendiri.

5 comments: