Tuesday, December 27, 2011
New Kids on The Block
Wednesday, December 21, 2011
Syurga Itu Ada
Thursday, December 15, 2011
Senyuman Plastik Mereka
Banyak kekurangan, kesedihan, keaiban yang orang sembunyikan menampakkan hidup mereka lebih baik dari kita. Walhal mereka berjuang menjaga maruah, menjaga iman, menjaga akidah yang paling penting menjaga nama Rabb yang Pengasih, agar tidak dilabel tidak pengasih oleh si lemah iman yang mendengar kisah mereka.
Hentikan rungutanmu, rintihanmu, bangkitlah sebagai orang yang berusaha tanpa bermimpi untuk menghirup hasilnya.
Kerana pada satu ketika, di kala rumah Hassan Al-Banna menjadi sasaran untuk di bom,mereka terpaksa dipindahkan dan menumpang di rumah saudara mara. Di kala itu isterinya berkata "Tidak mengapa suamiku, kita hanya memerlukan rumah yang kecil sahaja, jadi sediakanlah yang sangat sederhana" tetapi Hassan Al Banna dengan yakin menjawab "Tidak isteriku, rumah kita bukan di sini, rumah kita dibina di syurga".
Usaha
Berusaha untuk mencapai apa yang dijanjikan tetapi tidak bermakna kita harus mendapat hasil yang sama dengan usaha orang lain di dunia ini. Inilah tanggungjawab kita, berusaha yakni sunnatullah di dunia ini. Selainnya tawakkal sahaja.
Namun kesalahan kita adalah kita suka membanding-banding takdir lantas menjadikan kita orang yang paling berdendam dengan takdir sendiri. Di dalam fikiran kita menyusun-nyusun perjalanan dan kronologi hidup lalu ditambah dengan apa yang sepatutnya berlaku. Malangnya ini hanya akan menjadi satu kisah istimewa dan gembira jika susunan itu sama dengan rangkaan di kotak fikiran.
Jika sebaliknya?
Muncullah manusia yang menyoal-nyoal takdir. Kenapa aku sudah buat begini tetapi jadi begini? Kenapa aku berusaha tapi tak dapat sedangkan dia tak berusaha langsung di campur dengan akhlak yang buruk tetapi masih dapat. Lihatlah bagaimana nikmat kepada yang lain kita jadikan racun kepada diri sendiri.
Bukan semua yang buruk itu buruk. Jika tidak masakan Asiah yang baik diperisterikan Firaun? Mengapa Nuh sebagai nabi di khianati isterinya? Mengapa Nabi Ayub baik tak ada cela diuji sebegitu rupa, apa dosanya, ya jawapannya kerana tidak melakukan dosalah.
Mungkin kita semua telah lemak mendengar kisah-kisah bahagia ustazah-ustazah di laman blog yang menceritakan kronologi kehidupan mereka yang tampak sempurna kerana memilih jalan Allah. Kita juga lemak menontoh rancangan televisyen berbentuk kegamaan yang bahkan semuanya seakan-akan sempurna. Yang menanggung resah dan bebannya adalah hati kita di kala yang di minta-minta diganti dengan selainnya.
Wahai sahabatku. hentikan permainan perbandingan itu. Jalankan sunnatullah-mu dan yakinlah di jalan itu. Semoga Allah melimpahkan kepada kita semua kekuatan untuk terus berada di jalan ini, insya Allah.
Do it for Allah then He will guide you.
Thursday, December 8, 2011
Mencari Bahagia
Dalam dunia ini, sebenarnya, sebagai manusia kita semua mencari satu rasa yang sama. Sedar atau tidak, sehari-harian sama ada secara bersahaja atau mungkin juga bermati-matian, rasa inilah yang cuba kita daki, kita kejar, kita tumbuhkan di sanubari. Bermacam-macam cara dicuba agar rasa ini mekar di hati, kekal disitu untuk dibuat ubat jiwa dengan harapan ianya dalam memenuhi kekosongan yang melompangi hati.
Ya, kita semua mencari rasa bahagia. Rasa yang cukup mahal, tidak dapat dibeli dengan apa-apa. Dan hakikatnya ianya adalah anugerah paling indah tiada tolok bandingan.
Pencarian
‘Carilah, mana tahu jumpa!?’
Namun jika dikaji dan diteliti, tidak semua usaha mendapatkan bahagia yang dicari membuahkan hasil. Jika tidak mengapa setelah berkali-kali menyuntik botox, wajah dicermin tidak juga cantik-cantik, setelah habis dinding sekolah dilimpahi kata-kata carutan dan makian, hati bahkan bertambah marah.
Ironi
Bagaimana pula dengan seorang pelajar di kelas terakhir, datang ke sekolah sahaja sudah 10 km jalan diredahinya dengan basikal buruk, pakaian seragamnya kuning mengiyakan keuzuran pakaian itu, kerja sekolah cuba dihabiskan bahkan diulang-ulang tetapi tetap juga salah- semua merah, tidak memuaskan hati guru dituduh pula kepala batu, adakalanya menjadi cemuhan dan kutukan, tercorot nah itu nama diberikan kepadanya, tetapi dia tetap tersenyum katanya inilah hidup yang paling bahagia.
Mereka bahagia? Tidak mungkin mereka mendustai perasaan itu. Jadi bahagia itu terletak di mana?
Bahagia yang kita cari pada hakikatnya adalah sebuah perasaan tenang yang dikurniakan Allah ke dalam hati-hati hambaNya yang terpilih. Pada saat ketenangan diturunkan kepada kita, kesemua masalah seakan-akan sirna, kecelaruan serasa tiada dan kegusaran hilang entah ke mana. Di saat itu hati terasa lapang, fikiran terasa luas lantas seluruh tubuh badan merasa bahagia, dan dizahirkan dengan luaran, mungkin melalui secebis senyuman yang paling jujur datang dari hati yang dilimpahi bahagia.
Inilah perasaan bersandar kepada Allah. Kerana apa? Kerana seandainya makhluk, keadaan, situasi, atau material menjadi tempat berteduh atau sandaran kita lambat laun, ianya akan musnah dan mengecewakan.
Sandaran kepada Allah, Dzat Agung yang kekal inilah yang memberikan kita kekuatan bahawa – tidak mengapa, dunia boleh berbuat apa sahaja, tetapi Allah masih ada. Ya, perasaan inilah yang kita cari-cari. Perasaan selamat dan sentiasa punya pelindung. Maka siapakah pelindung yang lebih baik di kala kesemua matlamat dunia menidakkanmu, seluruh manusia memulaukanmu, kesemua harta menjauh darimu, dan kesemua yang kau lakukan membawa ke jalan buntu kalau bukan Allah SWT? Inilah juga tawakkal.
Bayangkan jika ketenangan dan bahagia itu dihitung dengan kelebihan dan nikmat yang dikurniakan Allah SWT berbentuk material dan harta benda, pasti ramai manusia yang tidak bahagia. Sebaliknya rahsia bahagia itu ringkas sekali, iaitu sekeping hati – yang mana dipunyai oleh semua manusia. Ini juga membawa makna bahagia mampu dan boleh dicapai oleh setiap manusia, tidak kira siapa boleh merebuti kebahagiaan dan ketenangan yang ditawarkan ini kerana komponen utamanya hanyalah hati.
Tenang Menghadapi Musibah Terbesar
Pada pagi jasad Rasulullah SAW sudah terbaring kaku, Umar RA sudah tidak dapat menahan kegalauan hatinya yang sesak dan sakit. Beliau bergegas keluar daripada rumah Aisyah RA, Ummul Mukminin, untuk bertemu orang ramai. Ada sesuatu yang ingin beliau katakan. Tatkala Abu Bakar RA baru datang dilihatnya Umar Al-Khattab sudah di luar mengumpulkan orang ramai.
Abu Bakar, sahabat yang paling disayangi Rasulullah, paling lembut hatinya merenung dan mencium wajah Rasulullah SAW sambil berkata “ Sungguh manis wajahmu, baik semasa hayat mahupun wafat!”
Tidak lama selepas itu Abu Bakar menutup wajah Rasulullah SAW dengan selembar kain dan terus keluar ke masjid, di mana kelihatan Umar masih meneruskan ucapan kepada orang ramai sekelilingnya.
Sambil menghampiri Umar, Abu Bakar berkata, “Wahai Umar! Bertenang, dan hentikan ucapanmu itu.” Tanpa mempedulikan nasihat Abu Bakar tadi, Umar terus berkata dengan keras “Muhammad tidak mati!”.
Beliau meneruskan lagi, “Orang-orang yang tidak jujur mendakwa Rasulullah telah mati. Demi Allah! Dia tidak mati, dia pergi kerana menemui Tuhannya sebagaimana Musa bin Imran menghilangkan diri selama 40 hari dan kemudian kembali semula kepada kaumnya yang mengatakan dia telah mati”
Umar meneruskan kata-katanya “ Demi Allah Rasulullah akan kembali semula seperti Musa, dan aku akan kerat tangan mereka yang mengatakan bahawa Rasulullah telah mati”.
Dengan menghadapkan diri kepada khalayak ramai yang mengelilingi Umar, Abu Bakar dengan tenang berkata, “Wahai umar manusia! Siapa yang menyembah Muhammad, Muhammad sudah mati, tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka Allah hidup kekal abadi.”
Selanjutnya Abu Bakar membacakan ayat Al-Quran yang bermaksud,
“ Dan Muhammad itu hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa Rasul; apakah jika ia mati atau dibunuh kamu berpaling ke belakang (murtad)? Sesiapa berpaling ke belakang maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. Sungguh kamu (Muhammad) akan mati , dan sungguh mereka pun akan mati”
(‘Ali Imran :144 dan Al-Zumar:30)
Mendengar ayat suci Al-Quran itu Umar yang tadinya lantang seakan-akan terpana lalu dia berkata “Demi Allah! Mendengarkan ayat-ayat yang dibacakan oleh Abu Bakar itu, aku termangu sehingga kakiku seakan-akan lumpuh dan terjatuh duduk, kemudian baru kusedar benar-benar bahawa Rasulullah sesungguhnya telah mati”
Lihatlah ketenangan sahabat yang bernama Abu Bakar. Inilah sahabat yang di dalam solatnya tatkala menjadi imam di hari-hari terakhir Rasulullah hidup, teresak-esak menangis tatkala melagukan ayat-ayat suci Al-Quran. Inilah sahabat yang hatinya paling lembut, paling halus dan paling dekat dengan Rasulullah. Tetapi lihatlah dia di hari kewafatan Rasulullah, dia adalah orang yang paling tenang, paling yakin, paling lurus pemahamannya tidak sedikitpun gentar menerima takdir kematian yang paling menusuk kalbu ini.
Inilah ketenangan hakiki, berbekalkan iman yang tinggi, hati yang menerima dan sabar; sandaran kepada Ilahi, tiada yang lain lagi. Bersandarlah kepada Allah sahaja, itulah ketenangan abadi.
Bagaimana Beroleh Ketenangan dan Kebahagiaan?
“Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram”
(al-Ra`d:28)
Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud “ Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu adalah sebenarnya kekayaan hati” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Selain itu Rasulullah juga bersabda bermaksud “Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan. Apabila ia rosak, maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Allah mengajar kita bagaimana memperoleh ketenteraman hati iaitu dengan mengingati Allah. Namun maksud disebalik ayat ini lebih dari sekadar yang terzahir. Ianya harus dikupas dan diteliti. Mengingati yang sebagaimana? Dengan memusatkan hati kepada Allah melebihi segala-galanya.
Mengingati di sini mengambil makna aktif dan bukan pasif. Ini adalah kerana seandainya kita benar-benar menyelami makna mengingati Allah ini, kita akan sedar yang segala-galanya yang berlaku tidak lain tidak bukan datang daripada takdir Allah.
Inilah yang akan memberikan kita kesabaran dan kekuatan hati dan jiwa untuk tenang, sabar dan syukur dalam menghadapi ujian-ujian yang mendatang. Ini jugalah rahsia mereka-mereka yang tampak pada zahirnya sengsara menanggung beban dunia yang kita lihat seakan-akan tak tergalas dek bahu tetapi masih bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Ya mereka yakin Allah sedang menguji dan sedang memberi kasih sayang, Allah maha melihat dan Allah jugalah akan membalas.
Apabila hati sentiasa bersih mengingati Allah dan mendahulukan Allah sebelum fikiran merayau-rayau membenarkan nafsu bermaharajalela maka jiwa akan rasa bahagia dan tenang. Inilah kunci kebahagiaan kita dan bukan dengan mengikut nafsu liar yang menyuruh yang bukan-bukan.
Namun ternyata kita selalu tertipu.
Contohnya, seorang pelajar telah jatuh daripada kerusinya apabila rakan-rakan secara tidak sengaja bersenda gurau berlebihan dan ‘mengenakannya’. Tanpa memikirkan sebab akibatnya, dia bingkas bangun membelasah rakannya tadi. Mungkin dia malu akibat terjatuh tadi. Tatkala dibelasah pada awalnya, rakan tadi masih sedang tertawa dan tidak melawan dan sekadar menyerah diri. Perasaan tidak puas muncul di dalam hati pelajar yang jatuh itu, dia ingin kepuasan yang hakiki. Disangkanya boleh diperolehi dengan membelasah bermati-matian.
Akhirnya rakan yang bersenda gurau itu separuh mati dikerjakan pelajar yang mencari kepuasan untuk melunaskan amarahnya. Kepuasan yang diharap muncul di akhir perbuatannya tidak juga ditemui, bahkan keserabutan, penyesalan, jiwa berkecamuk, rasa bersalah dan kemarahan yang memenuhi harinya.
Bukankah lebih mudah jika tadi dia mendahulukan Allah apabila kejadian itu menimpanya.
‘Mungkin selama ini aku banyak mempermainkan kawan-kawan dan sakitkan hati mereka, ya Allah hari ini Allah membalasnya kepada aku, baru aku tahu rasanya’ ‘Ya Allah malunya aku jatuh kerusi tadi, tetapi mungkin kawan-kawan tak sengaja, dalam bergelak tawa, bergurau senda ni mungkin sahaja berlaku ketidaksengajaan, lebih baik aku bersabar semoga Allah membalas kesabaran aku dengan sesuatu yang lebih baik’.
Tetapi realitinya tidak begitu yang muncul di fikiran kita, tetapi sebaliknya. Itu hanya contoh. Tetapi ianya intipati bahagia. Ianya menerima takdir yang berlaku dengan lapang dada.
Tuntutan Bahagia
Bahagia hakiki menuntut kita menjaga hati kerana disitulah pusat segala-galanya. Oleh itu untuk bahagia, hati perlulah dipelihara dan diisi dengan sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya.
Dan apabila hati kita sudah penuh dengan sifat-sifat yang indah ini, bahagia bukan lagi perlu dicari bahkan kita sumber bahagia orang lain.
“Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorongnya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara ‘auto pilot’” – Pahrol Muhammad Juoi
Yakni tanpa mujahadah dan bersusah payah lagi, dan kata Imam Al-Ghazali inilah hakikat akhlak yang mulia.
Penutup & Pengajaran
Bahagia itu milik Allah. Bukan pada hidup juga bukan pada matinya seseorang. Dan carilah dengan mendekatkan diri dan melunakkan hati kepada pemilik bahagia ini. Cukuplah kita tahu bahawa Allah bersama kita, nescaya hati kita akan bahagia. Bukan bahagia yang dibuat-buat tetapi bahagia yang meliputi segala-galanya, yang memberi kita semangat yang tidak bisa luntur.
Musa
Musa menemui jalan buntu, terantuk di Laut Merah dalam kejaran Firaun. Bani Israel yang dipimpinnya sudah riuh tercekam panik. “Kita pasti tersusul! Kita pasti tersusul”, kata mereka. “Tidak!” seru Musa. “Sekali-kali tidak akan tersusul!! Sesungguhnya Rabbku bersamaku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.”
Lalu petunjuk itupun datang. Musa diperintahkan memukulkan tongkatnya ke laut. Yang lemah tanpa iman berkata “Apa gunanya? Lebih baik dipukulkan ke kepala Firaun!”. Ya, bahkan awalnya Musa pun belum tahu yang lautan akan terbelah kemudiannya. Yang dia tahu Allah bersamanya. Itu sudah cukup baginya.
Dan apabila laut itu terbelah, tahulah dia, bahawa sangkaannya tiadalah yang benar melainkan benar belaka. Ya, Allah bersamanya.
p/s: Bila merasa tidak ada jalan, nescaya Allah lah akan memberikanmu jalan.
Hijrah - Artis dan Kita
Sejak kebelakangan ini ramai artis-artis dilihat memilih jalan hijrah menutup buku lama kejahiliahan bagi memulakan langkah baru dengan jiwa fitrah. Daripada berjambul perang, dan berbaju kecil, kini mereka anggun berbusana yang lebih menutup aurat. Daripada melagukan nyanyian berselera cinta manusia yang mendayu-dayu lagi melalaikan, mereka kini selesa memuji-muji Allah dan menghambakan diri disebalik bait-bait lagu.
Walaupun di hati kecil ada yang mempertikai penghijrahan itu kerana apa yang sebahagian daripada mereka labelkan sebagai hijrah itu masih pekat terpalit kejahiliahan, seharusnya kita cuba berbaik sangka dan melihat ini sebagai satu process sebelum penghijrahan yang lebih bersih.
“Everyone has their own story to tell, and it is not the same as yours”
Oleh itu adalah tidak adil untuk kita menidakkan usaha mereka sebegitu kerana kita masing-masing datang daripada lingkungan keluarga dan kehidupan yang berlainan. Seseorang yang ibu bapanya tidak pernah mengenal agama dan tidak mengamalkan kehidupan beragama apatah lagi mengajarkan kepadanya agama hendak dibandingkan dengan seorang anak yang hidupnya ditarbiah 100% dengan agama sedari proses ta’aruf perkenalan ibu bapa? Tidaklah adil perbandingan yang sebegini. Sedangkan yang paling penting itu usaha dan usaha yang berterusan sehingga ke akhirnya dan bukanlah ‘output’ semata.
Saya pernah membaca tulisan Prof. Muhd Kamil berkenaan dengan hijrah yang menurutnya (lebih kurang) “Orang kata, nak tahu haji seseorang itu mabrur atau tidak,lihat perubahannya apabila dia pulang ke tanah air. Kalau begitu orang macam saya lebih senang lah nak dapat haji mabrur sebab dulu saya teruk berbanding dengan orang yang sedia alim.”. Namun lihat sahaja siapa Prof. Muhd Kamil pada hari ini, ternyata penghijrahannya membawa beliau ke satu daerah penghambaan kepada Allah dan dakwah (ini yang paling penting) yang jauh lebih baik daripada mereka-mereka yang mungkin dahulu mengatakan ‘baguslah dah berubah’.
Pengisian Hijrah
Sebaliknya peluang dan yang lebih penting bimbingan dan tunjuk ajar harus diberikan kepada mereka yang memilih jalan hijrah ini agar tidak hanya terlekat di takuk langkah pertama hijrah yang belum lagi mencapai hakikat sebenar hijrah itu. Walaupun hijrah itu adalah langkah yang besar namun langkah yang lebih besar dan sistematik bagi mencapai tujuan hakiki adalah pengisian yang dilakukan dengan perubahan ini. Disinilah datangnya pencarian ilmu, dan kesungguhan dalam mengamalkan ilmu yang dipelajari. Dapat dilihat, artis yang memilih jalan ilmu dan amal ini lebih ‘indah’ jalan hijrahnya malah di buka pula peluang oleh Allah SWT untuk memberi inspirasi kepada mereka yang lain untuk turut mengikuti langkah yang sama.
Kita Pula Bagaimana?
Rata-rata kita sangat suka mendengar berita hijrah artis. Ini adalah kerana sebagai manusia naluri kita amat dekat dengan kejutan dan elemen-elemen suspen. Kita berasa teruja dengan sesuatu yang drastik. Ini adalah kerana ramai di kalangan artis (mohon maaf) yang menunjukkan perubahan 360’ bagi luaran dalam melakukan perubahan. Jadinya ini adalah menarik. “Wah bagus lah berubah. Dulu pakai seksi-seksi tangkap gambar dekat club sekarang dan bertudung litup”. Namun kadang-kadang perasaan ‘sedia’ bagus inilah yang menjadikan kita ralat untuk berubah atau ralat untuk membaiki diri. Kita senang menganggap diri kita sudah betul, dan sekarang artis ini sedang menuju kepada jalan yang betul seperti kita. Salah tu!
Sepatutnya apabila melihat ramai yang berhijrah di sekitar, kita yang sudah sedia berasa di landasan syariat melakukan pemeriksaan ke atas diri kita sama ada benar atau tidak jalan yang kita pilih. Yang bertudung, sudah labuh melepasi dada atau belum? Kaki kita iaitu sebahagian daripada aurat, sudah kita tutupi atau belum? Ini tidak, kita sibuk mengikuti perkembangan hijrah artis padahal kita sendiri di takuk lama.
Yang paling suka kita komen hanyalah ‘Terukkk sungguh dia tu duluu. Sekarang dah bagus’namun kita tidak sedar bahawa syaitan sedang bergembira berkata “Dari dulu dia tu sampai ke sekarang memang begitu”
Kita tidak mengambil pengajaran daripada perubahan yang berlaku di manusia sekeliling kita sebaliknya hanya menyerap cerita-cerita di tabloid sebagai hiburan semata-mata.
Penutup
Apabila melihat orang memakai baju tidak berlengan dan bertudung, kita pasti ketawa atau menjeling kehairanan “Pakai apa macam ni”. Apabila orang memakai baju yang sangat kecil sangat kecil dan sendat, kita juga berasa tidak selesa dan mempertikaikan niatnya berpakaian begitu. Namun, semua itu sama sahaja dengan kita yang tidak menutup aurat dengan sempurna tidak kiralah jika di bahagian kaki dan tidak memakai tudung melepasi dada, walaupun tudung itu sangat-sangatlah cantik. Aurat tetapi aurat dan kecantikan busana atau tudung itu tidak mengubah spesifikasi yang ditetapkan Al-Quran. Masa kan kaki ‘kurang darjat’ dan perlu diremehkan sebab terletak di bawah? Ataupun, bagi kes ini kita mahu menukar mazhab bagi membenarkan perbuatan kita? Terpulang.
I am reminding myself before reminding you. Happy thinking!