Thursday, December 8, 2011

Mencari Bahagia


Dalam dunia ini, sebenarnya, sebagai manusia kita semua mencari satu rasa yang sama. Sedar atau tidak, sehari-harian sama ada secara bersahaja atau mungkin juga bermati-matian, rasa inilah yang cuba kita daki, kita kejar, kita tumbuhkan di sanubari. Bermacam-macam cara dicuba agar rasa ini mekar di hati, kekal disitu untuk dibuat ubat jiwa dengan harapan ianya dalam memenuhi kekosongan yang melompangi hati.

Ya, kita semua mencari rasa bahagia. Rasa yang cukup mahal, tidak dapat dibeli dengan apa-apa. Dan hakikatnya ianya adalah anugerah paling indah tiada tolok bandingan.

Pencarian

Kerana mencari rasa inilah, di dalam kebosanan, kita berjenaka dengan kawan-kawan, kerana mencari rasa ini jugalah, seorang ibu membuat keputusan memasak masakan kegemaran anaknya, seorang anak memberikan yang terbaik di dalam peperiksaan untuk ibu bapanya, seorang lelaki tak dikenali tersenyum dan menyapa semua orang yang dilaluinya, seorang pelagak ngeri menunggang motorsikal melompat dengan motorsikalnya melepasi berpuluh-puluh biji kereta dari udara.

Seorang jutawan mengumpul berpuluh-puluh biji kereta mewah yang walhal jarang digunakan, seorang anak muda mendendangkan lagu cinta kepada gadis pujaan dari luar tingkap, seorang seniwati melakukan pembedahan plastik ke atas mukanya agar bisa mengejutkan dunia, seorang pejuang agama melepaskan segala-galanya dan seorang yang berdiet meninggalkan makan malamnya. Semuanya semata-mata kerana mencari secalit bahagia.

‘Carilah, mana tahu jumpa!?’

Namun jika dikaji dan diteliti, tidak semua usaha mendapatkan bahagia yang dicari membuahkan hasil. Jika tidak mengapa setelah berkali-kali menyuntik botox, wajah dicermin tidak juga cantik-cantik, setelah habis dinding sekolah dilimpahi kata-kata carutan dan makian, hati bahkan bertambah marah.

Mengapa setelah kesemua kereta yang ada dipasaran dibeli, masih ada juga yang kurang dihati dan tidak hairankah kita juga apabila seorang artis Hollywood berada dipuncak dunia, dadah yang datang dalam rupa alam fantasi yang menjanjikan kehidupan bahagia juga di cari? Jadi di manakah bahagia?

Ironi

Bagaimana pula dengan lelaki yg cacat, penuh kekurangan, hidup juga belum tentu di mana tidurnya atau waktu makannya tetapi dia selalu tersenyum mengatakan dia bahagia?

Bagaimana pula dengan seorang pelajar di kelas terakhir, datang ke sekolah sahaja sudah 10 km jalan diredahinya dengan basikal buruk, pakaian seragamnya kuning mengiyakan keuzuran pakaian itu, kerja sekolah cuba dihabiskan bahkan diulang-ulang tetapi tetap juga salah- semua merah, tidak memuaskan hati guru dituduh pula kepala batu, adakalanya menjadi cemuhan dan kutukan, tercorot nah itu nama diberikan kepadanya, tetapi dia tetap tersenyum katanya inilah hidup yang paling bahagia.

Mereka bahagia? Tidak mungkin mereka mendustai perasaan itu. Jadi bahagia itu terletak di mana?

Rahsia Hati

Bahagia yang kita cari pada hakikatnya adalah sebuah perasaan tenang yang dikurniakan Allah ke dalam hati-hati hambaNya yang terpilih. Pada saat ketenangan diturunkan kepada kita, kesemua masalah seakan-akan sirna, kecelaruan serasa tiada dan kegusaran hilang entah ke mana. Di saat itu hati terasa lapang, fikiran terasa luas lantas seluruh tubuh badan merasa bahagia, dan dizahirkan dengan luaran, mungkin melalui secebis senyuman yang paling jujur datang dari hati yang dilimpahi bahagia.

Inilah perasaan bersandar kepada Allah. Kerana apa? Kerana seandainya makhluk, keadaan, situasi, atau material menjadi tempat berteduh atau sandaran kita lambat laun, ianya akan musnah dan mengecewakan.

Sandaran kepada Allah, Dzat Agung yang kekal inilah yang memberikan kita kekuatan bahawa – tidak mengapa, dunia boleh berbuat apa sahaja, tetapi Allah masih ada. Ya, perasaan inilah yang kita cari-cari. Perasaan selamat dan sentiasa punya pelindung. Maka siapakah pelindung yang lebih baik di kala kesemua matlamat dunia menidakkanmu, seluruh manusia memulaukanmu, kesemua harta menjauh darimu, dan kesemua yang kau lakukan membawa ke jalan buntu kalau bukan Allah SWT? Inilah juga tawakkal.

Bayangkan jika ketenangan dan bahagia itu dihitung dengan kelebihan dan nikmat yang dikurniakan Allah SWT berbentuk material dan harta benda, pasti ramai manusia yang tidak bahagia. Sebaliknya rahsia bahagia itu ringkas sekali, iaitu sekeping hati – yang mana dipunyai oleh semua manusia. Ini juga membawa makna bahagia mampu dan boleh dicapai oleh setiap manusia, tidak kira siapa boleh merebuti kebahagiaan dan ketenangan yang ditawarkan ini kerana komponen utamanya hanyalah hati.

Tenang Menghadapi Musibah Terbesar

Pada pagi jasad Rasulullah SAW sudah terbaring kaku, Umar RA sudah tidak dapat menahan kegalauan hatinya yang sesak dan sakit. Beliau bergegas keluar daripada rumah Aisyah RA, Ummul Mukminin, untuk bertemu orang ramai. Ada sesuatu yang ingin beliau katakan. Tatkala Abu Bakar RA baru datang dilihatnya Umar Al-Khattab sudah di luar mengumpulkan orang ramai.

Abu Bakar, sahabat yang paling disayangi Rasulullah, paling lembut hatinya merenung dan mencium wajah Rasulullah SAW sambil berkata “ Sungguh manis wajahmu, baik semasa hayat mahupun wafat!”

Tidak lama selepas itu Abu Bakar menutup wajah Rasulullah SAW dengan selembar kain dan terus keluar ke masjid, di mana kelihatan Umar masih meneruskan ucapan kepada orang ramai sekelilingnya.

Sambil menghampiri Umar, Abu Bakar berkata, “Wahai Umar! Bertenang, dan hentikan ucapanmu itu.” Tanpa mempedulikan nasihat Abu Bakar tadi, Umar terus berkata dengan keras “Muhammad tidak mati!”.

Beliau meneruskan lagi, “Orang-orang yang tidak jujur mendakwa Rasulullah telah mati. Demi Allah! Dia tidak mati, dia pergi kerana menemui Tuhannya sebagaimana Musa bin Imran menghilangkan diri selama 40 hari dan kemudian kembali semula kepada kaumnya yang mengatakan dia telah mati”

Umar meneruskan kata-katanya “ Demi Allah Rasulullah akan kembali semula seperti Musa, dan aku akan kerat tangan mereka yang mengatakan bahawa Rasulullah telah mati”.

Dengan menghadapkan diri kepada khalayak ramai yang mengelilingi Umar, Abu Bakar dengan tenang berkata, “Wahai umar manusia! Siapa yang menyembah Muhammad, Muhammad sudah mati, tetapi sesiapa yang menyembah Allah maka Allah hidup kekal abadi.”

Selanjutnya Abu Bakar membacakan ayat Al-Quran yang bermaksud,

“ Dan Muhammad itu hanyalah seorang Rasul, sungguh telah berlalu sebelumnya beberapa Rasul; apakah jika ia mati atau dibunuh kamu berpaling ke belakang (murtad)? Sesiapa berpaling ke belakang maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur. Sungguh kamu (Muhammad) akan mati , dan sungguh mereka pun akan mati”

(‘Ali Imran :144 dan Al-Zumar:30)

Mendengar ayat suci Al-Quran itu Umar yang tadinya lantang seakan-akan terpana lalu dia berkata “Demi Allah! Mendengarkan ayat-ayat yang dibacakan oleh Abu Bakar itu, aku termangu sehingga kakiku seakan-akan lumpuh dan terjatuh duduk, kemudian baru kusedar benar-benar bahawa Rasulullah sesungguhnya telah mati”

Lihatlah ketenangan sahabat yang bernama Abu Bakar. Inilah sahabat yang di dalam solatnya tatkala menjadi imam di hari-hari terakhir Rasulullah hidup, teresak-esak menangis tatkala melagukan ayat-ayat suci Al-Quran. Inilah sahabat yang hatinya paling lembut, paling halus dan paling dekat dengan Rasulullah. Tetapi lihatlah dia di hari kewafatan Rasulullah, dia adalah orang yang paling tenang, paling yakin, paling lurus pemahamannya tidak sedikitpun gentar menerima takdir kematian yang paling menusuk kalbu ini.

Inilah ketenangan hakiki, berbekalkan iman yang tinggi, hati yang menerima dan sabar; sandaran kepada Ilahi, tiada yang lain lagi. Bersandarlah kepada Allah sahaja, itulah ketenangan abadi.

Bagaimana Beroleh Ketenangan dan Kebahagiaan?

“Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram”

(al-Ra`d:28)

Rasulullah SAW pernah bersabda bermaksud “ Bukanlah kekayaan itu dengan banyaknya harta benda tetapi kekayaan itu adalah sebenarnya kekayaan hati” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Selain itu Rasulullah juga bersabda bermaksud “Bahawasanya di dalam tubuh badan manusia ada seketul daging, apabila ia baik, baik pulalah seluruh badan. Apabila ia rosak, maka rosak pulalah seluruh badan. Ingatlah ia adalah hati.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Allah mengajar kita bagaimana memperoleh ketenteraman hati iaitu dengan mengingati Allah. Namun maksud disebalik ayat ini lebih dari sekadar yang terzahir. Ianya harus dikupas dan diteliti. Mengingati yang sebagaimana? Dengan memusatkan hati kepada Allah melebihi segala-galanya.

Mengingati di sini mengambil makna aktif dan bukan pasif. Ini adalah kerana seandainya kita benar-benar menyelami makna mengingati Allah ini, kita akan sedar yang segala-galanya yang berlaku tidak lain tidak bukan datang daripada takdir Allah.

Inilah yang akan memberikan kita kesabaran dan kekuatan hati dan jiwa untuk tenang, sabar dan syukur dalam menghadapi ujian-ujian yang mendatang. Ini jugalah rahsia mereka-mereka yang tampak pada zahirnya sengsara menanggung beban dunia yang kita lihat seakan-akan tak tergalas dek bahu tetapi masih bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Ya mereka yakin Allah sedang menguji dan sedang memberi kasih sayang, Allah maha melihat dan Allah jugalah akan membalas.

Apabila hati sentiasa bersih mengingati Allah dan mendahulukan Allah sebelum fikiran merayau-rayau membenarkan nafsu bermaharajalela maka jiwa akan rasa bahagia dan tenang. Inilah kunci kebahagiaan kita dan bukan dengan mengikut nafsu liar yang menyuruh yang bukan-bukan.

Namun ternyata kita selalu tertipu.

Contohnya, seorang pelajar telah jatuh daripada kerusinya apabila rakan-rakan secara tidak sengaja bersenda gurau berlebihan dan ‘mengenakannya’. Tanpa memikirkan sebab akibatnya, dia bingkas bangun membelasah rakannya tadi. Mungkin dia malu akibat terjatuh tadi. Tatkala dibelasah pada awalnya, rakan tadi masih sedang tertawa dan tidak melawan dan sekadar menyerah diri. Perasaan tidak puas muncul di dalam hati pelajar yang jatuh itu, dia ingin kepuasan yang hakiki. Disangkanya boleh diperolehi dengan membelasah bermati-matian.

Akhirnya rakan yang bersenda gurau itu separuh mati dikerjakan pelajar yang mencari kepuasan untuk melunaskan amarahnya. Kepuasan yang diharap muncul di akhir perbuatannya tidak juga ditemui, bahkan keserabutan, penyesalan, jiwa berkecamuk, rasa bersalah dan kemarahan yang memenuhi harinya.

Bukankah lebih mudah jika tadi dia mendahulukan Allah apabila kejadian itu menimpanya.

‘Mungkin selama ini aku banyak mempermainkan kawan-kawan dan sakitkan hati mereka, ya Allah hari ini Allah membalasnya kepada aku, baru aku tahu rasanya’ ‘Ya Allah malunya aku jatuh kerusi tadi, tetapi mungkin kawan-kawan tak sengaja, dalam bergelak tawa, bergurau senda ni mungkin sahaja berlaku ketidaksengajaan, lebih baik aku bersabar semoga Allah membalas kesabaran aku dengan sesuatu yang lebih baik’.

Tetapi realitinya tidak begitu yang muncul di fikiran kita, tetapi sebaliknya. Itu hanya contoh. Tetapi ianya intipati bahagia. Ianya menerima takdir yang berlaku dengan lapang dada.

Tuntutan Bahagia

Bahagia hakiki menuntut kita menjaga hati kerana disitulah pusat segala-galanya. Oleh itu untuk bahagia, hati perlulah dipelihara dan diisi dengan sifat-sifat mahmudah seperti amanah, sabar, syukur, qanaah, reda, pemaaf dan sebagainya.

Dan apabila hati kita sudah penuh dengan sifat-sifat yang indah ini, bahagia bukan lagi perlu dicari bahkan kita sumber bahagia orang lain.

Kemuncak kebahagiaan ialah apabila hati seseorang mampu mendorongnya melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan dan larangan yang ditentukan oleh Islam dengan mudah dan secara ‘auto pilot’” – Pahrol Muhammad Juoi

Yakni tanpa mujahadah dan bersusah payah lagi, dan kata Imam Al-Ghazali inilah hakikat akhlak yang mulia.

Penutup & Pengajaran

Bahagia itu milik Allah. Bukan pada hidup juga bukan pada matinya seseorang. Dan carilah dengan mendekatkan diri dan melunakkan hati kepada pemilik bahagia ini. Cukuplah kita tahu bahawa Allah bersama kita, nescaya hati kita akan bahagia. Bukan bahagia yang dibuat-buat tetapi bahagia yang meliputi segala-galanya, yang memberi kita semangat yang tidak bisa luntur.

Musa

Musa menemui jalan buntu, terantuk di Laut Merah dalam kejaran Firaun. Bani Israel yang dipimpinnya sudah riuh tercekam panik. “Kita pasti tersusul! Kita pasti tersusul”, kata mereka. “Tidak!” seru Musa. “Sekali-kali tidak akan tersusul!! Sesungguhnya Rabbku bersamaku, dan Dia akan memberi petunjuk kepadaku.”

Lalu petunjuk itupun datang. Musa diperintahkan memukulkan tongkatnya ke laut. Yang lemah tanpa iman berkata “Apa gunanya? Lebih baik dipukulkan ke kepala Firaun!”. Ya, bahkan awalnya Musa pun belum tahu yang lautan akan terbelah kemudiannya. Yang dia tahu Allah bersamanya. Itu sudah cukup baginya.

Dan apabila laut itu terbelah, tahulah dia, bahawa sangkaannya tiadalah yang benar melainkan benar belaka. Ya, Allah bersamanya.

p/s: Bila merasa tidak ada jalan, nescaya Allah lah akan memberikanmu jalan.

4 comments:

  1. panjang entry kali neh ye tecer :)

    ReplyDelete
  2. heh leka menulis. sepanjang perjalanan mencari bahagia kot :)

    ReplyDelete
  3. salam wbth. sangat mantap. teruskan penulisan yg mantap ni, etie tak reti nk tulis panjang2 dan best mcm ni.

    ReplyDelete
  4. tq for reading etie :) insya Allah i will.

    ReplyDelete