Saturday, March 19, 2011

Asal Usul Sembahyang 5 Waktu


Setengah Hukama’ mengatakan: Setiap sembahyang itu ditentukan kepada seorang nabi daripada Anbia Allah menyembahyangkan pada waktunya.

Subuh

Orang yang mula-mula sembahyang Subuh adalah Nabi Adam a.s tatkala keluar daripada syurga. Ketika itu beliau melihat kegelapan dan merasa amat takut. Maka tatkala tiba waktu subuh dan ternampak fajar, beliau sembahyang dua raka’at.

Rakaat pertama untuk bersyukur kerana terlepas daripada kegelapan dan raka’at kedua adalah untuk bersyukur kerana kembalinya siang hari.

Zohor

Orang yang mula-mula sembahyang Zohor adalah Nabi Ibrahim a.s tatkala Allah menyuruh menyembelih anaknya, yang kemudiannya ditukar kepada menyembelih kibas. Suruhan itu berlaku ketika gelincir matahari (mula masuk waktu Zohor). Beliau bersembahyang empat raka’at .

Rakaat pertama untuk bersyukur kerana anaknya ditebus dengan kibas. Raka’at kedua untuk bersyukur kerana dibuang dukacita daripada anaknya. Raka’at ketiga untuk menuntut keredhaan Allah dan raka’at keempat untuk melahirkan perasaan gembira kerana mendapat penebus yang amat besar (kibas Habil dari syurga) seperti dalam firman Allah:

وَفَدَيْنَاهُ بِذِبْحٍ عَظِيمٍ (37:107)

Dan Kami tebuskan dia dengan sembelihan kibas yang amat besar.

Asar

Orang yang mula-mula sembahyang Asar itu ialah Nabi Yunus a.s tatkala Allah mengeluarkannya daripada perut ikan Nun dalam keadaan seperti anak burung yang tidak berbulu. Beliau mengalami empat kegelapan.

Pertama kegelapan kesalahannya. Kedua, kegelapan air, ketiga kegelapan malam dan keempat kegelapan perut ikan. Beliau dikeluarkan daripada perut ikan pada waktu Asar. Maka beliau sembahyang empat raka’at kerana bersyukur kepada Allah yang melepaskannya daripada empat kegelapan tersebut.

Maghrib

Orang yang mula-mula sembahyang Maghrib itu ialah Nabi Isa a.s tatkala Allah mengeluarkan beliau daripada kepungan kaumnya. Peristiwa ini berlaku sewaktu lenyap matahari.

Raka’at pertama untuk menafikan ketuhanan yang lain selain Allah. Raka’at kedua untuk menafikan tohmahan terhadap ibunya yang dituduh oleh kaumnya. Raka’at ketiga untuk menyatakan bahawa tiada tuhan yang dapat member kesan melainkan Allah jua. Sebab itulah dua raka’at pertama berhubung dan raka’at terakhir tingga bersendirian.

Isyak

Orang yang mula-mula sembahyang Isyak itu adalah Nabi Musa a.s ketika tersesat jalan, waktu keluar dari negeri Madyan (suatu daerah dalam Negara Jordan berdekatan dengan Sinai dan Laut Merah). Beliau mengalami dukacita tentang isterinya, Harun saudaranya, Firaun serta seterusnya beberapa orang anaknya. Semua dukacita itu dilepaskan oleh Allah berpegang kepada janjiNya yang benar. Peristiwa ini berlaku pada waktu Isyak yang akhir. Maka beliau bersembahyang empat raka’at kerana bersyukur kepada Allah yang melepaskan dirinya daripada semua dukacita itu.

Penutup

Menurut riwayat lain, sembahyang Subuh itu dimulai oleh Nabi Adam a.s, sembahyang Zohor oleh Nabi Daud a.s, sembahyang Asar oleh Nabi Sulaiman a.s, sembahyang Maghrib oleh Nabi Yaakob a.s, dan sembahyang Isyak oleh Nabi Yunus a.s

Taken from:

Munyatul Musolli& Bahjah Mardhiah – Sheikh Daud Abdullah Al-Fathoni

No comments:

Post a Comment