Bismillahirrahmanirrahim.
Terpesona dengan cetusan hati Puad Latip saya pun ingin menulis mengenai watak-watak ‘pemain’ di atas bumi Allah.
Di dalam hidup ini Allah tidak pernah meminta kita mencari kesempurnaan. Ini adalah kerana kesempurnaan di mata manusia itu sendiri lain dari kesempurnaan di ‘kaca’ penglihatan Ilahi. Kita secara kolektif kita sudah mempunyai satu definisi sempurna yang di persetujui bersama sedangkan makna sebenar kesempurnaan itu bukan begitu. Lantas apabila kita menurut definisi kesempurnaan ini, kita akan berasa lelah kerana ianya pastilah berbeza dengan segala yang diharapkan atau difikirkan.
Terlalu mendambakan kesempurnaan kadangkala menjadikan kita terlepas melihat keindahan sebuah cerita yang sengaja digarap dengan kesalahan supaya membuahkan sejenis keindahan di hujungnya yang tertitik tolak daripada kesalahan itu sendiri.
Lihat sahaja kisah Yusuf a.s yang tidak sudah-sudah dirundung kedukaan sedari kecil. Tetapi tidak ada keluhan yang diluahkannya melainkan penuh percaya bahawa apa yang terjadi punya sebab tersendiri. Nabi Yusuf a.s tabah larut di dalam lencongan-lencongan kehidupan yang seringkali membawanya ke satu frasa yang baru. Frasa ini bukan semuanya indah tetapi jika diteliti, adalah penuh hikmah, berisi jawapan di masa hadapan.
Hakikatnya tugas kita hanyalah memainkan peranan kita sebaik mungkin. Bukan untuk menukar script ‘drama’ lakonan kita kerana dirasakan tidak sesuai. Kita juga bukan di sini untuk membuang watak-watak kecil yang dirasakan tidak mempunyai apa-apa fungsi atau membuang ‘pelakon’ lain yang dirasakan tidak mencapai mutu lakonannya.
Kerana setiap ‘pelakon’ berdiri di atas takdir sendiri. Tidak ditanya mengapa seorang doctor tidak mengembala kambing sedangkan yang dia ada hanyalah pesakit yang siap sedia untuk rawati. Dan tidak ditanya seseorang yang mandul mengapa tidak menyekolahkan anak sedangkan takdirnya mungkin sahaja tidak berzuriat sehingga ke tua.
Ringkasnya, kita semua berdiri di dalam lingkungan takdir masing-masing yang tidak mungkin sama dengan orang lain. Cumanya kita semua berpaksikan satu tujuan iaitu menggembirakan seorang ‘Director’ besar yang mengawal segala segi cerita dengan penghayatan ‘lakonan’ kita dalam watak yang diberi.
Meskipun kita tidak boleh membuang pelakon lain, menidakkan fungsi mereka, ada sesuatu yang boleh kita lakukan untuk menjayakan ini semua; iaitu menjadikan pelakon lain selesa menjadi diri mereka, tanpa membanding-banding apatah lagi merendahkannya.
Dakaplah takdirmu, dan jadilah hamba Allah yang paling baik, paling berusaha di bawah takdir kurniaannya, nescaya disitu akan terlihat satu kesempurnaan ceritera yang mungkin saja engkau alpa mengamatinya. Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment